Jumaat, 29 Mei 2009

LAGU SEBAGAI TERAPI LUKA?

PERNAHKAH anda menggunakan lagu sebagai satu dedikasi perasaan kepada seseorang? Bukan kebiasaan bagi saya mendengar lagu-lagu melankolik. Bagaimanapun, ada hal-hal tertentu yang akan memaksa kita kembali membiarkan hati kita menyingkap kembali hal-hal seperti itu dalam cara yang tidak kita nujum dan fahami.  Terapi luka perasaan menggunakan muzik?

Sejak bilakah terapi muzik bermula?  Khazanah pengetahuan China Purba yang didokumentasikan dalam ajaran I Ching menyatakan, "muzik mempunyai kuasa untuk menenangkan ketegangan dalaman serta berupaya mengurangkan gangguan emosi seseorang". Kuasa penyembuhan dalam muzik juga telah dikenali sezaman dengan tulisan Aristotle dan Plato. Epik India seperti "Ramayana" turut membuktikan bahawa muzik adalah sumber yang mempunyai kuasa luar biasa yang rapat kaitannya dengan alunan alam semula jadi. Ahli psikologi dan ahli teori muzik Parsi purba seperti al-Farabi (872-950) juga menyokong idea pengaruh muzik terhadap kesihatan manusia seperti yang diusulkan dalam kajiannya yang berjudul "Meanings of the Intellect" yakni buku yang membincangkan impak terapi muzik terhadap jiwa manusia. 

Dalam konteks Malaysia, terapi muzik yakni bidang yang mengandalkan muzik bagi usaha pemulihan, pemeliharaan, dan peningkatan taraf kesihatan mental dan fizikal agak kurang dikenali.  Di Amerika Syarikat, terapi muzik kini adalah perkara yang biasa didengar. Program ijazah terapi muzik yang pertama di dunia juga bermula di  Amerika Syarikat yang dipelopori oleh Michigan State University pada tahun 1944. Pada 1998, American Music Therapy Association telah ditubuhkan sebagai sekutu kepada National Association for Music Therapy dan American Association for Music Therapy.

Muzik ialah satu getaran tenaga bunyi yang bergetar pada pada tahap-tahap yang berbeza. Tenaga yang serupa juga wujud dalam tubuh dan minda kita. Sekiranya getaran tenaga bunyi h bergetar seiringan dengan tenaga dalam badan kita, muzik dapat dianggap sebagai satu ubat yang memulihkan. Sebahagian pendukung terapi muzik ini beranggapan terapi muzik bahkan mempunyai nilai penyembuhan terhadap pengidap penyakit berbahaya seperti AIDS. 

Salah satu objektif bagi terapi muzik ini ialah memberi peluang melepaskan perasaan dan menenangkan fikiran.  Dalam terapi muzik profesional, pakar muzik biasanya terlibat dan berperanan memilih muzik yang sesuai, memainkan alat-alat muzik, menyanyi, perbincangan lirik-lirik lagu, menggubah lagu, persembahan berkumpulan, hipnosis muzik, dan menari atau melukis dengan muzik.  Peranan  pakar muzik inilah yang diharapkan dapat menjana perubahan dari segi kognitif, sosial dan emosi. 

Ramai pakar yang mencadangkan bahawa ritma muzik atau rentaknya yang mempunyai keberkesanan untuk menenangkan kita semua walaupun kita mungkin tidak begitu sedar mengenainya. Muzik dianggap penting sebagai pemangkin bagi memudahkan wanita bersalin, terapi kerohanian, meditasi dan seumpamanya.  Sejak dalam kandungan, denyutan jantung ibu dianggap merupakan alunan muzik alamiah yang memberi ketenangan kepada janin/bayi. Sesudah kita lahir, manusia dikatakan bertindak balas terhadap muzik yang ada di persekitaran yang mungkin ada kaitan dengan persepsi yang telah terbina sejak kandungan yakni muzik berkait rapat dengan keselamatan, persekitaran yang menenangkan, dan juga perlindungan daripada ibu.  

Pakar terapi muzik mendakwa terdapat tujuh sistem kelenjar dalam badan manusia, tujuh warna dalam spektrum dan tujuh nota dalam skala muzik. Setiap warna dan setiap nota mempunyai satu getaran atau tahap tenaga yang unik yang merangsang pusat tenaga di minda dalam cara unik, rangsangan yang sama ini akan disusuli ke tubuh kita. Apabila kita terdedah pada getaran-getaran ini, neur-endokrina dan sistem imun kita akan diperkukuhkan dan disucikan. Pusat keseronokan dalam otak kita juga memberikan rangsangan untuk merembeskan endorfina, iaitu penenang kesakitan semula jadi badan. Tekanan hidup selalunya akan menyebabkan himpitan antara kelenjar-kelenjar thymus dan ini mengakibatkan pengurangan tenaga dalam tubuh seseorang. Dengan menggunakan terapi warna dan muzik untuk merangsang dan meningkatkan fungsi kelenjar-kelenjar thymus, kita akan mengalami sejenis kepuasan yang mengalir ke semua deria kita sekaligus meringankan tekanan. 

Muzik mengidentifikasikan kewujudannya dengan gelombang-gelombang tenaga dalam badan dan persekitaran kita. Seringkali apabila kita mendengar sebuah lagu walau apa pun genrenya, alunan muzik itu mencipta satu perubahan secara tiba-tiba dalam tahap emosi kita. Beberapa lagu yang kita anggapkan nostalgik mempunyai sejenis kuasa magnetik yang hebat berjalinan dengan ingatan kita yang mempengaruhi emosi kita kembali pada satu masa yang telah hilang selamanya di samping melahirkan sejenis perasaan yang membuat kita berasakan kita telah kehilangan sesuatu....  

Berikut ialah salah satu klip video favourite saya yang saya anggap sarat dengan ungkapan dan penzahiran kasih sayang daripada seseorang kepada seorang yang lain. Benar, kadang-kadang lirik lagu yang kita anggap mempunyai sentimental value terhadap kita akan menjadikan lagu yang melodinya biasa-biasa sahaja menjadi sesuatu yang payah untuk kita hakis daripada ingatan kita. 

    

Got a picture of you I carry in my heart
Close my eyes to see it when the world gets dark
Got a memory of you I carry in my soul
I wrap it close around me when the nights get cold
If you asked me how I'm doin' I'd say just fine
But the truth is baby, if you could read my mind

Not a day goes by that I don't think of you
After all this time you're still with me it's true
Somehow you remain locked so deep inside
Baby, baby, oh baby, not a day goes by

I still wait for the phone in the middle of the night
Thinkin' you might call me if your dreams don't turn out right
And it still amazes me that I lie here in the dark
Wishin' you were next to me, your head against my heart
If you asked me how I'm doing I'd say just fine
But the truth is baby, if you could read my mind

Not a day goes by that I don't think of you
After all this time you're still with me it's true
Somehow you remain locked so deep inside
Baby, baby, oh baby, not a day goes by

Minutes turn to hours, and the hours to days
Seems its been forever that I've felt this way

Not a day goes by that I don't think of you
After all this time you're still with me it's true
Somehow you remain locked so deep inside
Baby, baby, oh baby, not a day goes by

Saya masih percaya bahawa kadang-kadang dalam hidup ini kita akan berkenalan dengan seseorang yang kita tahu kita cintai sepenuh hati dan kita tahu sia-sia untuk kita paksa hati melupakannya. Benar kata pujangga, "what the heart has once owned and had, it shall never lose...."

Mungkin ungkapan lagu ini mengingatkan anda atau saya sendiri kepada seseorang.  

Atau, apakah ini dedikasi peribadi saya untuk seseorang? Seseorang yang kepadanya saya pernah katakan: "Engkau terlalu baik untuk saya lupakan...."
      

(C) WITER GUNIK

Rabu, 27 Mei 2009

KITA PERLUKAN SEJARAWAN KELUARGA

SAYA tidak pasti sama ada istilah Sejarawan Keluarga ini benar-benar wujud atau tidak. Saya menggunakan istilah ini bagi memudahkan saya merujuk kepada seseorang yang ada kecenderungan untuk mencari maklumat berkenaan salasilah atau geneologi keluarganya. Masyarakat Barat, China dan Arab sebenarnya jauh ke hadapan meninggalkan kita di Nusantara ini dalam hal mendokumentasikan jurai keturunan keluarga.

Dalam masyarakat feudal Malaysia, kecenderungan menyimpan salasilah ini lazimnya hanya ada pada golongan pemerintah demi memastikan status sebagai 'penguasa' kepada golongan biasa itu disedari, dihormati dan yang paling penting dilestarikan. Sedarkah anda bahawa Sulalatus Salatin Sejarah Melayu susunan A. Samad Ahmad yang menjadi teks kajian dan dianggap karya agung di peringkat Tingkatan Enam itu sebenarnya berintikan salasilah keturunan raja-raja Melayu di Malaysia yang dikatakan berasal daripada keturunan Iskandar Zulkarnain dari Makaduniah (Macedon/Mecadonia). Mungkin inilah kepintaran 'penguasa' zaman dahulu yang menyuntikkan banyak elemen 'luar biasa' seperti legenda, mitos, dan seumpamanya supaya mereka dilihat sebagai keturunan yang berbeza daripada orang biasa.

Usaha menjejaki keturunan sebenarnya tugas dan amanah yang berat. Hal ini amat benar dalam masyarakat Kadazandusun yang memang kurang kecenderungan untuk merekodkan salasilah kekeluargaan secara bertulis. Hanya pada akhir-akhir ini, sudah timbul beberapa keluarga  yang menampakkan kesungguhan untuk mencari kerabat dan suku sakat yang terpencar di sana sini.

Terdapat beberapa dokumen bagi mendapatkan maklumat berkenaan salasilah. Ini termasuklah, Sijil Kelahiran, Sijil Perkahwinan/Nikah, Sijil Kematian, Bancian, Rekod Badan Keagamaan, dan pada tahap yang tegar termasuklah maklumat dari Jabatan Pendaftaran Negara, Rekod Mahkamah, Rekod di Pejabat Tanah, malah Rekod Tentera bagi yang berkenaan. Selain itu, maklumat tentang keturunan juga dapat diperoleh daripada cerita lisan individu, sejarah tempatan, dan surat menyurat peribadi.

Saya melihat usaha ini sebagai satu perkara yang positif kerana menyumbang kepada beberapa faedah termasuklah membantu kita mengenal jati diri kita. Seorang rakan yang lahir di Ranau dan mengenal dirinya sebagai Dusun sejak kecil, terkejut kerana rupa-rupanya mempunyai darah Iban dari Sarawak (jangan terkejut; jika anda orang Ranau anda mungkin juga titisan darah Iban). Hal ini tidak dihairankan kerana pada masa dahulu, orang Iban ramai yang berhijrah ke Sabah untuk bekerja dengan Inggeris. Mereka ditugaskan di seluruh Sabah, termasuklah di Ranau. Perkahwinan dengan masyarakat tempatan akhirnya telah memberikan identiti baru kepada mereka apatah lagi dengan adaptasi adat resam setempat serta asimilasi dengan penduduk tempatan. 

Mengenal jati diri kita juga bermakna kita dapat mengenal kaum kerabat kita. Kita juga akan terkejut kerana akan mendapat kita ada kaitan dengan pelbagai jenis manusia. Ada yang orang biasa dan termasuklah orang yang dianggap mempunyai profile tinggi dalam masyarakat. "Tak saya sangka si Datuk Anu itu rupanya saudara bapa saya...." Barangkali itulah akan terluah daripada bibir anda.  Anda juga mungkin berkata, "Bergaduh sampai hampir bertetak parang, rupanya satu keturunan!"

Kita juga akan takjub bagaimana dalam salasilah itu, kita akan melihat anutan agama yang berbeza.  Dalam masyarakat Sabah yang kian majmuk sekarang, kita juga akan terkejut kerana rupanya kita mungkin ada kaitan persaudaraan dengan rakan kita daripada masyarakat Melayu, Banjar, Bajau, Iranun, Filipina atau mungkin Timor!  Jangan dulu katakan "mustahil", sebab dalam dunia sekarang hal itu tidak mustahil lagi. 

Tidak dapat tidak maklumat sumbangan Sejarawan Keluarga ini pasti juga menimbulkan keinsafan bahawa kita perlu berhati-hati dan tidak sewenang-wenangnya berpatah arang dengan seseorang kerana dia mungkin sebahagian daripada keturunan keluarga kita. Secara tidak langsung, kita juga belajar menggunakan dengan tepat istilah panggilan seperti aman, inan, odu, aki, seruoi, langu, magalong, ipag, aleng,  dan seumpamanya. Bukankah ini juga satu cara bagi kita menjana keharmonian dan perpaduan dalam masyarakat kita?

Melalui maklumat salasilah, perkara seperti kes 'berkahwin dengan saudara dekat' juga dapat dielakkan. Saya gemar untuk mengulas kes 'berkahwin dengan saudara dekat'.  Berbeza dengan amalan masyarakat Melayu di Semenanjung Malaysia, perkahwinan antara kerabat rapat seperti sepupu dalam masyarakat Dusun/Kadazan masih dianggap 'panas'. Secara adat, hal itu masih dianggap taboo meskipun para ulama mungkin mempunyai pendapat berbeza. Sebenarnya perkahwinan melibatkan kes-kes seperti itu masih dapat direstui secara adat yakni dengan syarat ada pitas. Dalam penyempurnaan pitas, sogit akan dikenakan kepada pihak yang berkenaan sebagai cara melepaskan tulah/kepanasan.  Ehm,  hati-hati ya, para sumandak dan tanakwagu!

Oleh hal yang demikian, setiap pihak sudah sewajarnya melihat kecenderungan masyarakat kita membukukan maklumat keturunan mereka sebagai satu yang sangat positif.  Tugas sebagai Sejarawan Keluarga lazimnya diserahkan kepada seseorang yang ada banyak masa untuk bergerak ke sana sini atau banyak jaringan maklumat. Bagaimanapun, pada masa ini, semua ahli keluarga mesti mampu mengambil alih tugasan sebagai Sejarawan Keluarga tersebut pada bila-bila masa.  Ini kerana semua ada kemungkinan untuk menjadi ibu dan bapa.  Dengan kata lain, setiap orang mesti memastikan dia berupaya memberikan maklumat jelas tentang asal usul keluarga dan bagaimana pertalian kekeluargaan itu wujud. Kemahiran ini penting bagi membolehkan anak-anak kita juga tidak kehilangan akar keturunan yang mereka warisi.

Jika usia bumi ini masih panjang, keturunan kita di muka bumi ini mungkin akan masih sempat menjangkau beberapa generasi. Jika tiada dalam kalangan keluarga kita pada masa kini yang mampu mendokumentasikan salasilah yang ada, maka jangan marah jika nama anda sebagai leluhur kepada anak cucu pada masa itu mungkin sudah terlupakan. Salah siapa?

Anda akan berasa takjub kerana anda akan menyedari betapa sebenarnya anda ditakdirkan mempunyai ramai saudara di sekeliling anda. Saudara yang mungkin anda sangkakan tidak punyai kaitan sama sekali dengan anda. 

Berterima kasihlah kepada Sejarawan Keluarga yang telah berkorban masa, wang ringgit semata-mata membantu mempermudah pencarian maklumat tentang jurai keturunan yang ada kaitan dengan anda. Berterima kasih juga kepada Sejarawan Keluarga yang telah memberi anda kejutan dan barangkali tamparan atas keangkuhan atas darah keturunan anda. Kita semua bersaudara.... 

Seorang kawan yang gemar bergurau dengan penuh cita-cita mengatakan: "Saya mahu mencari kaitan darah saya dengan Barrack Obama!"

Salam sukses untuk beliau!

(C) WITER GUNIK

Sabtu, 23 Mei 2009

RANAU HEBAT BAH: SEKARANG RANAU ADA RATU PECUT!

APABILA pelari pecut Sabah, Jarmella Washif menjuarai acara 100 meter kategori 15 tahun pada 22 Mei 2009 yang lalu, peristiwa itu memberi keterujaan yang tidak sedikit.  Jarmella Washif mengungguli kategori perempuan 15 tahun ke bawah dengan catatan masa 12.67s mengalahkan Nur Amirah Aida Kamaruddin dari Pahang (12.91s) di tempat kedua dan M.Tanalaksiumy dari Pulau Pinang di tempat ketiga (12.93s).  Apabila bersaing di peringkat kebangsaan pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) ke-51 seperti itu, dan berjaya pula bergelar juara, apakah lagi yang dapat kita berikan selain pujian kerana yang terbaik berjaya dinobatkan sebagai johan?

Salute kepada Pengetua SMK Lohan, Ranau, sekolah tempat Jarmella sedang belajar iaitu Tuan Majus Munsing dan barisan jurulatih sukan sekolah berkenaan  atas kejayaan melahirkan seorang lagi Ratu Pecut tanah air. Kejayaan adik Jarmella Washif itu sebenarnya berjaya membuktikan bahawa keupayaan potensi seseorang pelajar dapat dirancang sedemikian rupa sehingga mencapai peringkat terbaik dan terarah kepada kecenderungan semula jadi pelajar itu. Peranan ayahnya, Encik Washif Jefri yang juga salah seorang jurulatihnya wajar dijadikan teladan kerana berjaya menyemai dan mengekalkan minat bersukan dalam diri Jarmella Washif sejak kecil sehinggalah sekarang. Sebagai ayah kepada Ratu Pecut baru ini, sudah tentu Encik Washif kini lebih yakin menyasarkan kejohanan pada skala yang lebih besar untuk Jarmella Washif. 

Saya tinggal di kawasan SMK Lohan dan setiap hari melihat dedikasi guru-guru sukan SMK Lohan pagi dan petang bertungkus lumus melatih para atletnya. Seawal jam lima pagi setiap pagi, sehingga ke hari ni, atlet SMK Lohan sudah berada di padang untuk siri latihan kecergasan terancang yang mereka usahakan. Saya kurang cenderung bagi acara padang dan disebabkan ketidakcenderungan ini saya sentiasa berasa kagum yang tidak sedikit dengan dedikasi mereka yang berlatih tak kenal jemu termasuk pada masa cuaca yang mendung dan hujan lebat.  

Saya suka untuk mencatatkan semula ulasan Pengetua SMK Lohan, Tuan Majus Munsing sebaik sahaja tujuh atlet SMK Lohan memperoleh emas dalam Kejohanan MSSM peringkat Negeri di Kompleks Sukan Likas Sabah akhir bulan Mac yang lalu. Menurut beliau, “Ibu bapa memainkan peranan yang penting. Selain itu, persediaan awal juga memberi sumbangan kepada kejayaan atlet. Usaha mencapai kecemerlangan dalam sukan, sama halnya dengan berusaha dalam akademik. Jika anda mahu mencapai keputusan yang baik dalam pembelajaran anda, anda mesti belajar bersungguh-sungguh; jika anda mahu mencatat kecemerlangan dalam sukan anda perlu berlatih sepanjang masa." 
    Kecemerlangan Jarmella Washif ini melengkapkan satu lagi titik kecemerlangan warga Lohan Ranau di peringkat kebangsaan. Jika pada Mac yang lalu kita dikejutkan kejayaan Farizie Morinding mengungguli Astro Kirana Short Film Awards,  sekarang ini terpesona dengan kejayaan Jarmella Washif.... Jangan lupa pada hari pertama kejohanan ini (21 Mei 2009) ini, seorang lagi warga SMK Lohan  iaitu Addyshem Daimes menjuarai acara Merejam Lembing dengan rejaman sejauh 53.10m. Wow, kepada Tuan Majus Munsing, Cikgu Adzain Biun, Cikgu Jasli Mian, Cikgu Maiali Jainol dan Encik Washif Jefri yang melatih dan mengiringi atlet elit SMK Lohan, mudah-mudahan akan ada lagi kejutan daripada kontinjen Ranau yang mewakili Sabah di Stadium Bukit Jalil selepas ini!  

Teruskan Jarmella Washif, warga Ranau ingin melihat anda menjadi 'lebih besar' dalam dunia sukan yang anda minati dan cintai ini!

Tahniah Kontinjen Sabah!

Tahniah Jarmella Washif!

Tahniah para guru SMK Lohan!

Tahniah Pengetua SMK Lohan!

Benar, Ranau hebat bah! Kita kini ada Ratu Pecut!

 (C) WITER GUNIK

NILAI PATRIOTIK & LAGU KEBANGSAAN....


DI MANA-MANA sekolah sekarang, adalah satu amalan biasa untuk mengadakan perhimpunan lima belas minit sebelum masa rasmi pembelajaran bermula pada setiap pagi sebagai satu strategi pendisiplinan pelajar. Pendisiplinan ini tidak hanya merujuk kepada pembiasaan agar pelajar awal ke sekolah bahkan juga usaha menerapkan nilai patriotisme dalam kalangan pelajar. Pada kesempatan perhimpunan pagi inilah, lagu kebangsaan, lagu negeri dan lagu sekolah dinyanyikan di samping ruang bagi "Laungan Semangat Sekolah". Disebabkan sesi ini bukan Perhimpunan Rasmi (seperti yang biasanya diadakan pada pagi hari Isnin), lazimnya yang akan berada di tapak perhimpunan ialah guru-guru yang bertugas sepanjang minggu berkenaan, guru-guru disiplin, Pengetua, serta para Penolong Kanan. Kaunselor juga turut hadir dengan slot khas sebagai pemotivasi kepada para pelajar.  

Sebenarnya saya terfikir untuk membuat catatan sedikit berkenaan hal ini apabila seorang rakan (yang sangat) baik bertanyakan pendapat saya tentang punca pelajar (sekarang) tidak menyanyikan lagu kebangsaan, lagu negeri hatta lagu sekolah dengan sikap yang sepatutnya - penuh hormat dan khusyuk. Kawan baik ini malah mahukan pendapat saya sama ada kehadiran guru yang kurang (berbeza dengan hari Perhimpunan Rasmi) mempunyai kaitan terhadap isu tersebut. 

Pertanyaan itu 'sangat mahal' bagi saya kerana hal ini menunjukkan keprihatinan kawan baik saya itu tentang sikap segelintir pelajar pada masa ini yang kurang mengambil berat tentang sikap pelajar semasa menyanyikan lagu-lagu rasmi. 

Saya melihat isu ini sebagai kes terpencil yang hanya melibatkan kelompok yang kecil dalam komuniti sekolah. Guru sepanjang masa (sejak pelajar ini memasuki alam persekolahan di prasekolah sehinggalah ke sekolah menengah) telah mengasuh dan mendidik pelajar tentang sikap yang sepatutnya diamalkan semasa menyanyikan lagu-lagu rasmi. Nilai menghormati lambang dan jati diri telah diterap seawal mungkin sesuai dengan misi yang tersurat dan tersirat dalam Falsafah Pendidikan Negara. Nilai menghormati lambang dan jati diri rasmi ini bahkan diberi penekanan dalam semua kegiatan kokurikulum di sekolah (tidak seputar Kelab Rukun Negara semata-mata). Akta Pendidikan 1996 dengan jelas menyatakan: “Kegiatan kokurikulum sebagai kegiatan yang dirancang lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik kuliah yang memberikan pelajar peluang untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang dipelajari di bilik kuliah”. Usaha pemantapan nilai berkenaan itu belum lagi termasuk siri program semua sekolah seperti Sambutan Hari Kemerdekaan atau Bulan Patriotik yang sememangnya diadakan pada saban tahun.

Bagi saya pertanyaan yang lebih relevan ialah penerimaan di pihak pelajar sendiri. Saya akur dengan hakikat bahawa tahap penerimaan dan keupayaan penghayatan pelajar, sebagaimana dalam penerimaan maklumat akademik, tidak sama. Ada yang sekali diperingatkan sudah mampu mempraktikkan apa yang diterima. Sebahagiannya ada yang perlu berulang kali diberitahu. Segelintir pula ada yang tidak mengendahkan langsung. Pihak yang disebut terakhir inilah yang selalu menimbulkan salah anggapan terhadap kejayaan penerapan dan amalan nilai menghormati lagu kebangsaan, negeri atau sekolah. Pepatah Melayu ada mengatakan kerana nila setitik rosak susu sebelanga; seekor kerbau membawa lumpur semuanya terpalit.

Sesungguhnya, tanggung jawab menjana semangat patriotik dalam kalangan generasi muda khususnya pelajar bukan tanggung jawab sekolah sahaja. Pihak lain yang perlu turut sama berganding tangan namun jarang ditimbulkan dalam hal ini ialah pihak ibu bapa dan media massa.  

Amat malang ada ibu bapa yang langsung tidak mengendahkan nilai menghormati lambang dan lagu-lagu rasmi. Hal ini memberi gambaran seolah-olah nilai menghormati itu hanya untuk para pelajar. Pada masa sukan sekolah misalnya, apabila warga sekolah berdiri tegak untuk menghormati lagu kebangsaan, lagu negeri atau lagu sekolah, ada ibu bapa yang masih duduk bercerita seolah tidak peduli pun dengan lagu-lagu rasmi yang sedang didengar. Tidak hairanlah sikap negatif ini turut mempengaruhi anak-anak mereka.   

Media massa sebagai pengaruh yang kuat kepada masyarakat sepatutnya mengambil kesempatan sepanjang masa dengan turut memberi ruang kepada iklan yang bersifat ketatanegaraan yang membawa mesej menghormati lambang dan lagu-lagu rasmi. Sehingga ke tarikh tulisan ini saya tulis, amat jarang kita melihat stesen televisyen kita sama ada swasta atau kerajaan (RTM) yang menyiarkan selingan iklan yang membawa mesej yang sedemikian.  Janganlah hanya menjelang Ogos barulah keluar iklan, "Aku masih ingat lagi...." Jika media massa yang mempunyai jutaan 'penonton' dan 'pengikut' setia ini tidak tekal dalam memberi sekelumit ruang untuk menyokong pemantapan kesedaran menghormati lambang dan lagu-lagu rasmi negara kita, siapakah lagi yang dapat kita harapkan?  

Di peringkat lokal, Pengerusi Rukun Tetangga, Yang Dipertua PIBG, Ketua Kampung, Penggawa, dan Penghulu juga tidak harus lepas tangan. Jawatan yang disandang itu tidak harus menenggelamkan usaha pemantapan kesedaran patriotik dalam kalangan bawahan kita.

"Benarkah kurang guru (pada perhimpunan pagi) menjadi salah satu faktor yang kebanyakan pelajar tidak menyanyikan lagu kebangsaan atau apa-apa lagu dengan bersungguh-sungguh?"

Apabila kembali mengingat pertanyaan kawan baik itu, saya berasakan ada perasaan yang aneh menyusup dalam hati.  Perasaan yang aneh ini bertitik tolak daripada hakikat bahawa saya mempunyai kawan (yang sangat) baik yang ada kesedaran patriotik. 

"Tapi, Cikgu setuju juga (jika melihat isu itu) daripada persepsi seorang pelajar?"

Jika itulah pertanyaannya, barangkali saya boleh menjawab, "Ya...." Ataupun, lebih afdal seandainya saya mencadangkan kepadanya membaca tulisan saya pada blog ini. Ini bukan jawapan sebenarnya namun bukankah tidak semuanya perlu dijawab; memadai jika direnungi dan direnungi? 

Memiliki seorang kawan (yang sangat) baik yang patriot seperti itu mendorong saya bernafas lega dan kagum: "Wah!" Dia barangkali bersetuju dengan saya bahawa bagi Sang Patriot, setiap hari adalah Hari Kebangsaan!


(C) WITER GUNIK

Khamis, 21 Mei 2009

RISAU YANG MENENANGKAN!

SAYA berasa tersentuh hati dengan SMS salah seorang daripada pelajar saya yang mengatakan betapa dirinya risau dengan 'takdirnya' memasuki Tingkatan 6. Alasannya dia takut dirinya tak dapat berbuat yang terbaik dan takut menjadi salah seorang daripada X-calon STPM yang gagal. Setamat SPM pada tahun lalu, pelajar yang sama turut mengungkapkan kerisauannya dek takut keputusannya akan kecundang. 

Anehnya, dengan pelajar seperti ini saya sebaliknya berasakan kurang yang perlu saya risaukan. Mereka inilah yang lebih terbukti lebih dedikasi, bersungguh-sungguh dalam hal memperkasa persediaan mereka mencipta kejayaan untuk diri mereka sendiri. Mereka inilah yang lebih fokus terhadap peluang akademik yang mereka ada. Mereka inilah juga yang lebih bijaksana dalam memilih bidang kerjaya mereka sesuai dengan minat dan kecenderungan mereka. 

Sesungguhnya, ketakutan tidak semuanya negatif (meskipun kebanyakan ketakutan memang negatif). Perasaan takut sejak sekian lama telah difahami sebagai satu anugerah perasaan yang sangat berpengaruh kuat dalam psikologi manusia bagi membangkitkan motivasi kendiri manusia.  Dalam kajian psikologi,  secara umum motivasi mempunyai tiga tipa iaitu Motivasi Ketakutan (Fear Motivation), Motivasi Imbalan (Incentive Motivation) dan Motivasi Sikap (Attitude Motivation).  Saya selalu percaya tiga motivasi ini bergerak serentak dalam membentuk kekuatan dalaman seseorang pelajar. Misalannya, pelajar saya tadi menyatakan ketakutannya terhadap kemungkinan dia gagal. Ini bermakna, dia  dapat membayangkan keadaannya pada masa hadapan jika dirinya gagal. Dia juga dapat menjangka kesan positif sebagai imbalan jika dirinya belajar  bersungguh-sungguh dan fokus kepada  usaha meraih cita-citanya. Oleh yang demikian, dia akan mengamalkan sikap-sikap positif  yang akan membantunya sukses dalam akademiknya. Tiga jenis motivasi yang bergerak serentak ini sudah pasti akan  menjana keberhasilan luar biasa yang terlihat daripada 'kesengsaraan/jerih payah' pelajar berkenaan berusaha memajukan diri. Benar sekali kata-kata indah yang menyatakan '... kesengsaraan itu menimbulkan ketekunan, dan ketekunan menimbulkan tahan uji dan tahan uji menimbulkan pengharapan. Dan pengharapan tidak mengecewakan....'

Dalam konteks mendidik anak-anak dalam keluarga, ketakutan bukanlah alat yang sentiasa digalakkan dalam memotivasikan anak. Bagaimanapun, setiap anak-anak perlu dibimbing agar faham maksud ketakutan dalam erti yang positif sehingga daripada pemahaman terbimbing itu mereka mampu mengenal ketakutan diri sendiri dan akhirnya menegur serta memperingat diri sendiri tentang hal-hal positif yang perlu mereka amalkan untuk berjaya. Benar, amalan positif akan sangat membantu sesiapa pun juga untuk menggunakan upaya, potensi dan bakat peribadi  ke arah kecemerlangan.  
Berbalik kepada pelajar yang saya sebutkan pada awal tulisan ini, dia salah seorang pelajar yang meraih kombinasi cemerlang dalam SPM 2008 dan hanya kerana rezekinya belum sampai, namanya tidak tersenarai sebagai pelatih Institut Perguruan Malaysia bagi ambilan Julai 2009. Saya yakin, jika dia dapat mengekalkan 'perasaan risaunya yang menenangkan' itu, pada suatu hari nanti dia pasti akan berjaya juga menempatkan dirinya sebagai salah seorang warga pendidik seperti yang diimpikannya.  

Tabik untukmu, Aquarian Girl!



(C) WITER GUNIK

Selasa, 19 Mei 2009

SCAM: WASPADA!

KEJUTAN memang sentiasa menarik perhatian. Hari ini saya mendapat satu emel daripada seseorang yang mendakwa dirinya sebagai Louis Momo. Membaca e-mel daripada 'si kawan' ini benar-benar membuat saya teruja dan hanyalah kerana mengingat betapa lihai dan liciknya para penipu di internet,  saya menggagahkan diri melakukan beberapa 'penyelidikan online' untuk mendapatkan maklumat berkenaan Louis Momo.  

Kandungan e-mel yang telah saya terima itu ialah seperti berikut:

From The Desk Of Louis Momo.
The Head Of File Department,
   
("REMITTANCE OF $15 MILLION U.S.A DOLLARS  CONFIDENTIAL IS THE CASE")
 
Compliments Of The Season,
 
Forgive my indignation if this message comes to you as a surprise and may offend your personality for contacting you without your prior consent and writing through this channel.I got your contact from the proffesional data base found in the internet Yahoo tourist search.When i was searching for a foreign reliable partner.I assured of your capability and reliability to champion this business opportunity.
 
  After series of prayers/fasting.i was divinely directed to contact you among other names found in the data base Yahoo tourist search.I believe that God has a way of helping who is in need.
 
  I am (Louis Momo).the Head of file Department in African development bank (ADB).
 
In my department we discovered an abandoned sum of $15 million U.S.A dollars ( fifteen million U.S.A dollars).In an account that belongs to one of our foreign customer who died along with his entire family on (Monday 31st July 2000) in a plane crash.Since we got information about his death,we have been expecting his next of kin to come over and claim his money because we cannot release it unless somebody apply for it as next of kin or relation to the deceased as indicated in our banking guidelines,but unfortunately i learnt that all his supposed next of kin or relation died along side with him at the plane crash leaving nobody behind for the claim.It is therefore upon this discovery that I now decided to make this business proposal to you and release the money to you as the next of kin or relation to the deceased for safety and subsequent disbursement since nobody is coming for it and we don’t want this money to go into the bank treasury as unclaimed bill.
 
The Banking law and guideline here stipulates that if such money remained unclaimed after nine years,the money will be transferred into the Bank treasury as unclaimed fund.The request of foreigner as next of kin in this business is occasioned by the fact that the customer was a foreigner, and a Burkinabe cannot stand as next of kin to a foreigner.We agree that 40% of this money will be for you as foreign partner,in respect to the provision of a foreign account and 60% would be for me and my woman colleague.That means ($6 million) six million dollars for you and ($9 million) nine million dollars for me and my partner.There after i will visit your country for disbursement according to the percentages indicated. 
 
Therefore to enable the immediate transfer of this fund to you as arranged,you must apply first to the bank as relations or next of kin of the deceased indicating your bank name,your bank account number,your private telephone and fax number for easy and effective communication and location where the money will be remitted.Upon receipt of your reply,I will send to you by fax or email the text of the application I will not fail to bring to your notice that this transaction is hitch free and that you should not entertain any atom of fear as all required arrangements have been made for the transfer. 
 
I am awaiting for your immediate response as you receive this mail.Extend my sincere greetings to your entire family and bye for now.
 
Your’s faithfully, 
Louis Momo
FROM (ADB) OUAGADOUGOU BURKINA-FASO.
 
  (FILL THIS FORM BELLOW PLEASE AND RESEND IT TO ME).
 
1) Your Full Name......................................
2) Your Age...............................................
3) Marital Status.........................................
4) Your Cell Phone Number.......................
5) Your Fax Number.................................
6) Your Country.........................................
7) Your Occupation....................................
8) Sex........................................................
9) Your Religion........................................
10) Your Private E-mail Address..................
 
POST SCRITUM: You have to keep everything secret as to enable the transfer to move very smoothly in to the account you will prove to the bank.

Mengejutkan sebab rupa-rupanya surat tawaran ini sudah dikirimkan kepada ramai orang dan muncul atas beberapa nama seperti Louis Momo, Mr. Amen O. William, Mr Kenneth Souza, Gilles Saint-Martin, Mr Donald Kaberuka, Emma Eze, Mr.solomon Akpan, MR KABORE WATARA, Godwin Amiri, Mr. AZMAN KARIM, dan Mr Kanu Amady. Pasti ada banyak lagi nama yang kedengarannya 'seolah-olah nama penama yang berketurunan Afrika'.

Modus operandi yang digunakan serupa: e-mel yang menawarkan berita baik kononnya nama kita telah dipilih secara rawak untuk menerima peninggalan si mati berjuta dollar yang tidak dapat dituntut oleh pemilik asal yang telah meninggal dunia dalam nahas kapal terbang. Logik yang digunakan untuk memerangkap penerima e-mel ialah daripada duit itu hangus begitu sahaja (dipulangkan ke Perbendaharaan Negara), maka anda dikatakan akan menerima beberapa peratus daripada jumlah berkenaan dengan syarat anda menjadi rakan kongsi kepada pengirim emel. Anda diingatkan bahawa supaya mendapat bahagian dariapada 'kekayaan bergolek' itu, anda mesti memohon seolah-olah sebagai pihak ada kaitan saudara dengan si jutawan yang sudah meninggal itu. Anda akan diminta merahsiakan hal ini dan perlu membalas e-mel tersebut dengan memberikan beberapa maklumat yang diperlukan seperti nama penuh, umur, status perkahwinan, nombor telefon bimbit,  nombor faks, negara, pekerjaan, jantina, agama dan emel peribadi. 

Kejutan itu juga datangnya dalam bentuk kemenangan wang loteri.  Daripada salah satu contoh yang saya peroleh di internet, saya mendapati pihak yang mengirim e-mel bahkan sanggup menghantar bungkusan untuk meyakinkan mangsa. Jangan terkejut sebab para fraudsters dan scammer itu juga sanggup menelefon anda untuk mendapatkan keyakinan anda. Kata orang kita, kalau alang-alang pertimbangan kita, kita sudah hanyut....
     Sasaran bagi penipuan ini bukan hanya rakyat negara maju seperti Britain bahkan penduduk negara yang masih belum berstatus negara maju seperti Indonesia dan termasuklah rakyat negara kita. Salah satu contoh yang saya maksudkan dapat diselidiki melalui link ini. 

Siapakah yang menjadi dalang kepada 'benda mengarut' ini? Benarkah mereka itu terdiri daripada para penipu warga negara Afrika? Perkara yang kita mesti sedari ialah perbuatan ini ialah operasi terancang oleh sindiket antarabangsa yang fokusnya memaksa anda mengeluarkan wang dari simpanan anda bagi tujuan (kononnya) mendapatkan wang yang lebih besar.

Terima kasih kerana internet yang juga adakalanya menjadikan kita sebagai perayau 'gila' di internet mempermudah penyelidikan kita. Berapa ramai yang telah terperangkap dalam kemulukan dan kemanisan tawaran yang diberi? Apakah wang memang akan menyebabkan kita hilang pertimbangan? 

Jawapannya ada dalam hati dan nurani masing-masing kita.


(C) WITER GUNIK

Isnin, 18 Mei 2009

REMAJA WANITA DAN PENCAK BELA DIRI


KEJADIAN rogol melibatkan dua orang remaja perempuan bersaudara (sepupu) yang dirogol secara bergilir-gilir oleh sembilan orang lelaki di sebuah bangsal getah berhampiran Pusat Perkelahan Lata Ulu Lawin, Grik  dekat sini, 13 Mei 2009 yang lalu amat mengejutkan kita.  

Dalam musibah itu, Berita Harian melaporkan (19 Mei 2009) bahawa mangsa yang masing-masing berusia 16 dan 17 tahun keluar dari rumah keluarga mereka di Kati, Kuala Kangsar apabila seorang daripadanya menghubungi teman lelakinya untuk mengajak makan di pekan Lenggong dan dibawa membonceng motosikal oleh teman lelaki mangsa dan rakannya. Malangnya, mereka dibawa ke Lawin Selatan, Grik sejauh lebih 50 kilometer dari rumah mereka. Sumber polis berkata, apabila tiba di bangsal ladang getah itu kira-kira jam 10.30 malam, kedua-dua gadis berkenaan dirogol teman lelaki dan rakannya. Beberapa ketika kemudian, tujuh lagi lelaki yang menaiki motosikal tiba di situ dan merogol mereka secara bergilir-gilir

Laporan rasmi  oleh Datuk Chor Chee Heung (Timbalan Menteri Dalam Negeri) di Dewan Negara pada 2 April  2009 menyatakan bahawa kes rogol di negara ini telah meningkat 300 peratus. 

Pertambahan itu merujuk kepada kes rogol pada tahun 2007 yakni sebanyak 1,241 kes dan mendadak mencapai 4,959 kes bagi tahun 2008. Dalam dua bulan pertama bagi tahun 2009 ini sahaja, sebanyak 769 kes rogol telah dilaporkan. Tidakkah ini satu petanda awal tentang akan berlakunya sekali lagi pertambahan luar biasa dalam kes rogol di negara kita bagi tahun 2009?    Statistik tersebut merupakan igauan ngeri untuk semua rakyat Malaysia yang berfikiran waras.  Benarkah isu rogol seolah tidak mempunyai penyelesaiannya? Jika benar, siapakah yang sepatutnya dibebankan dengan kegagalan usaha pencarian penyelesaian tersebut? 

Kelemahan di pihak wanita yang selalu dibangkitkan ialah:  a) kecenderungan wanita remaja sekarang untuk keluar malam; b) sikap dan perasaan mudah percaya terhadap teman lelaki; dan c) terpedaya kerana pengaruh ubat khayal seperti dadah. Sesungguhnya, tiga perkara ini wajar dijadikan sebagai alasan bagi melihat persoalan pokok dalam insiden itu.

Dalam pada itu, timbul pula pertanyaan: Apakah kejadian itu berlaku jika kedua wanita malang itu mengetahui cara mempertahankan diri?  Bagaimanakah wanita yang kudratnya lemah mampu menyelamatkan diri apabila berhadapan dengan ancaman lelaki durjana? Jawapannya ialah dengan memiliki pengetahuan pencak bela diri. Sama ada pencak bela diri itu silat, shorinji kempo, karate, taekwondo, aikido, hapkido atau sebarang 'pencak yang lain', yang utama di sini ialah mereka mampu mempertahankan dan menyelamatkan diri.

Kes rogol melibatkan pelaku dan mangsa remaja bukan isu baru. Seruan tentang betapa pentingnya mempelajari pencak bela diri juga bukan baru. Bagaimanapun, masyarakat kita kurang memberi perhatian yang khusus. Hal ini mungkin berlaku kerana kita beranggapan yang terlibat itu bukan kita. Kita menjadi lupa betapa dunia sekarang berbeza dengan dunia 10 tahun yang lalu. Nilai-nilai kemanusiaan sudah kian terhakis. Nafsu kebinatangan mengaburi mata sehingga adakalanya kita terkejut pelaku terhadap kejadian rogol ini melibatkan pihak yang ada kaitan darah dengan mangsa rogol itu sendiri. Insiden rogol yang disebutkan di atas merupakan satu contoh kejadian 'rogol secara berkumpulan', perkara yang jarang kita dengar sebelum ini dalam masyarakat kita. Pengaruh media massa yang kini sukar ditapis dan dibendung pengaruhnya telah menumbuhkan 'pengikut jahil' terhadap perkara yang sebelum ini hanya kita dapat dengar dan mungkin tatap di kaca televisyen. 

Mungkin agak keterlaluan meminta Kementerian Pelajaran mewajibkan pelajar wanita memilih pencak bela diri sebagai kegiatan kokurikulum. Bagaimanapun, jika hal ini satu-satunya jalan akhir bagi membantu menjaga keselamatan dan kebajikan para wanita remaja kita, pada hemat saya, opsyen ini harus diberi perhatian yang mendalam.

Kita tidak nafikan bahawa kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia dan badan-badan agama di negara ini telah dan sentiasa berusaha menanamkan nilai-nilai murni termasuklah nilai menghormati wanita. Perkara yang selalu dibincangkan di kedai-kedai kopi ialah: apakah usaha tersebut gagal?

Tanpa menafikan pengaruh faktor-faktor 'lain' terhadap peningkatan kes rogol, ibu bapa dan guru diharapkan mendorong anak-anak mereka untuk menyertai organisasi pencak bela diri di sekolah atau di kawasan tempat tinggal. Dunia ini semakin kasar dan hilang pertimbangan moral dan akhlak. Bahan lucah dapat dicapai oleh anak-anak dengan mudah dan lebih kerap di luar pengetahuan golongan tua. Perkara yang dikejar kebanyakannya menjurus kepada kekayaan material dan keseronokan hidup semata sehingga adakalanya keghairahan terhadap dua perkara ini memaksa mereka menepis nilai-nilai ketimuran yang pernah leluhur kita banggai. Memingit anak-anak di rumah sebagai cara 'sebelum merdeka' untuk mempertahankan kemurnian anak-anak adalah tidak praktikal pada masa sekarang.  Dengan kerencaman dunia sekarang, kita juga tidak dapat menjamin mereka akan sentiasa bersama-sama teman apabila berada di luar; akan ada masa mereka terpaksa menguruskan sesuatu seorang diri tanpa kehadiran ibu bapa atau rakan-rakan.

Apalah gunanya jika anak yang kita jaga sebaik mungkin sejak kecil tiba-tiba dikhabarkan ditemui dalam keadaan pengsan (atau meninggal dunia!) kerana diperkosa lelaki durjana? Kepada anak-anak, ibu bapa dan guru-guru sudah sewajarnya menanamkan nasihat agar sentiasa berwaspada hatta terhadap orang yang dikenali. Pada hemat saya, kewanitaan seseorang perempuan tidak akan terjejas hanya kerana dia pandai menendang atau menumbuk. Jika kaedah karate itu terlalu kasar pada anggapan kita untuk anak gadis kita, mengapa tidak kita galakkan dia menyertai kelas yang lembut tetapi tetap berkesan sebagai 'human weapon' seperti aikido? Kita juga wajar menepis kebimbangan kononnya anak-anak kita akan 'menjadi samseng' apabila mempunyai kemahiran pencak bela diri. Maaf, setahu saya setiap 'martial arts' ini mempunyai rukun dan etika tersendiri yang lazimnya positif dan membentuk disiplin kendiri yang tinggi pada pengamalnya. (Jika ibu bapa dapat meluangkan masa bertanya kepada guru-guru disiplin di sekolah, pasti mereka akan terkejut apabila mendapati pelajar yang lazimnya terbabit dalam pergaduhan di sekolah itu ialah pelajar yang bukan ahli kepada persatuan pencak bela diri!) Perkara penting di sini ialah kita sebenarnya ada pilihan persatuan pencak bela diri mana yang harus disertai oleh anak-anak kita mengikut kesesuaian dan berdasarkan pertimbangan kita sebagai ibu bapa. Masalahnya ialah kita tidak mengganggap kemahiran membela dan mempertahankan diri itu satu yang cukup penting. Berapa ramaikah dalam kalangan kita yang menyedari betapa golongan wanita yang terjebak dalam kancah bohsia, pelacuran atau 'sugar daddy' ini ada yang asalnya bermula sebagai remaja yang menjadi mangsa rogol?


Sediakan payung sebelum hujan; beringat sebelum kena. Semarakkan keinginan anak-anak remaja kita untuk mendekati pencak bela diri demi manfaat yang tidak kita sangka-sangka pada masa yang kita tidak duga sama sekali. Percayalah, sekelumit ilmu dunia pencak bela diri tidak pernah merugikan.

(C) WITER GUNIK

Khamis, 14 Mei 2009

I'M GLAD TO BE A TEACHER

I’m Glad to be a Teacher

I would rather be a teacher than a bookkeeper
For he balances accounts, but I help balance lives.

I would rather be a teacher than a great business executive
For he works with facts and figures and lifeless coins, but I
work with minds that open and futures that unfold and
principles that grow.

I would rather be a teacher than an orator
For an orator stirs an adult to applaud and admiration, but I
stir little children to right choosing and noble thinking.

I would rather be a teacher than a musician
For a musician plays on violin strings and piano strings, but I
play on the heartstrings.

I would rather be a teacher than a decorator
For he deals with perspective and harmony and line in
templates not made with hands.

I would rather be a teacher than a potter
For he shapes vessels of clay, but I shape destinies.

I would rather be a teacher than an interpreter
For he interprets words and ideas, but I interpret motives and
purposes and endeavours.

I would rather be a teacher than an archaeologist
For he unearths buried treasure, but I unearth talent.

I would rather be a teacher than an explorer
For he explores unchartered seas but, I explore unchartered
minds and discover treasure islands and continents of
untold possibilities.

I would rather be a teacher than a statesman
For he deals with finished citizens but I deal with future citizens.

I would rather be a teacher than a scientist
For he studies the wonders of the rocks and beauty of
the stars and the miracles of the plants and the glory of the skies
I deal with that which is still more miraculous in the
throbbing human hearts, unfolding human lives and the
formation of lifetime characters.

Journal of True Education, October 1958

(C) WITER GUNIK

Selasa, 12 Mei 2009

TAKEN: FILEM KELUARGA PENUH AKSI!


"I don't know who you are. I don't know what you want. If you are looking for ransom, I can tell you I don't have money. But what I do have are a very particular set of skills; skills I have acquired over a very long career. Skills that make me a nightmare for people like you. If you let my daughter go now, that'll be the end of it. I will not look for you, I will not pursue you. But if you don't, I will look for you, I will find you, and I will kill you."   
     
DIALOG di atas ialah salah satu dialog yang paling berkesan daripada filem "Taken" lakonan Liam Neeson. Filem ini dihasilkan sebagai sebuah produksi Perancis (yang berbahasa Inggeris) yang mantap sebagai buah tangan Luc Beeson sebagai produser yang bergabung tenaga dengan Pengarah Pierre Morel serta  penulis lakon layar, Michel Abramowicz. 
     
Amat jelas, Taken dihasilkan untuk pencinta filem keluarga yang turut sarat dengan elemen suspens dan aksi ala perisikan James Bond. Liam Neeson sebagai teraju utama filem ini ialah salah satu ikon Hollywood yang telah memberikan nyawa kepada filem-filem blockbuster seperti Les MisĆ©rables,  Batman Begin, Schindler's List  dan Rob Roy.

Kelebihan Liam Neeson sebagai pelakon ialah wajah versatilenya yang dapat dibentuk melakonkan watak apa sahaja. Siapakah yang menyangka watak Valjean yang pendiam dalam Les MisĆ©rables itu kini berubah menjadi 'orang tua' perisik yang kecergasan dan kecerdasannya mengalahkan para penjenayah yang relatif lebih muda itu. Benar, anda akan mengakui betapa pengalaman masih ada tempat  dan ruang yang sangat bermakna dalam kehidupan ini. 

Filem ini mengisahkan Bryan Mills (Liam Neeson), bekas ejen CIA yang meletak jawatan dan berhijrah ke Los Angeles supaya lebih rapat dengan anak remajanya, Kim (Maggie Grace). Bryan Mills ini telah berpisah dengan isterinya Leonore (Famke Janssen) yang telah berkahwin dengan seorang hartawan (Xander Berkeley).  Perpisahan antara Mills dengan Leonore dalam filem ini banyak dipengaruhi oleh kesibukan Mills dahulunya sebagai perisik. Penghijrahan itu sebenarnya satu usaha untuk menebus semula masa berkualiti yang tidak dinikmatinya bersama anaknya semasa dia masih bertugas sebagai perisik.

Pada hari ulang tahunnya yang ketujuh belas, Kim dan kawan baiknya Amanda (Katie Cassidy) melakukan perjalanan jauh ke Paris. Syarat yang dikenakan Mills kepada Kim adalah menghubunginya sebaik sahaja tiba di tempat tujuan. Nasib mereka malang sebab mereka telah diculik oleh rangkaian penjenayah Albanian yang menjadikan kegiatan menyeludup gadis-gadis remaja sebagai komoditi bernilai jutaan dollar; mangsa culik itu disasarkan  sebagai perempuan simpanan dan hamba seks kepada orang-orang kaya yang gilakan gadis-gadis muda.  Penculikan itu mendorong Mills berkejar ke Perancis berbekalkan rakaman suara penculik Kim yang sempat dirakamnya dengan bantuan Kim yang kebetulan melihat rakannya Amanda diculik. Kerjasama Kim mematuhi arahan ayahnya meskipun hanya melalui telefon telah menjadi titik tolak misi penyelamatan terhadap dirinya oleh Mills. Dengan kepakaran yang diperoleh hasil daripada pengalaman bertahun-tahun sebagai perisik CIA, Mills menjejaki Kim.  Demi misi Mills mendapatkan semula anaknya itu, dia menggunakan apa juga cara bagi mendapatkan maklumat yang boleh membawanya kepada penculik Kim. 

Meskipun saya sendiri agak lambat mendapat peluang menonton filem ini dan anda juga (dengan andaian selepas ini anda juga akan berusaha mendapatkan peluang menonton filem ini), anda akan mendapati anda mempelajari banyak perkara berharga dalam filem ini. Kasih sayang seorang ayah, perceraian keluarga kerana hambatan tugas. Seperkara yang jarang dapat kita lihat ialah usaha pengkarya menonjolkan hubungan baik antara ayah sebenar dan ayah tiri.  Memang ada persaingan sedikit terutama ketika babak pemberian hadiah hari jadi daripada ayah kandung dan ayah tiri kepada Kim namun ini tidak berlanjutan. Ketika masalah timbul, dapat dikatakan ayah kandung dan ayah tiri ini bekerjasama demi menggembirakan Kim yang disayangi. Dalam konteks mendapat perhatian daripada dua ayah seperti yang dipaparkan dalam sikap Mills dan suami baru Leonore, pada ketika ini saya terfikir betapa beruntungnya mempunyai 'dua ayah'!

Kita disuguhkan dengan persoalan dan amanat betapa kasih sayang perlu dikongsi dan diberikan secara berhati-hati. Dalam konteks anak-anak, kemanjaan yang membabi buta perlu sentiasa dicurigai terlebih dalam persekitaran yang sukar untuk dinujum kemurniannya lagi ini. Ibu bapa juga dididik supaya tidak panik apabila menghadapi suasana genting terutama yang melibatkan keselamatan anak-anak; tidak terlupa bahawa ada kelebihan-kelebihan sedia ada yang dapat diperguna untuk menyelesaikan permasalahan yang dihadapi. Mungkin kita perlu meneladani sikap Mills yang melihat dunia moden ini dengan penuh kecurigaan. Tuturnya dalam filem ini, "I know the world, sweetie."

Mungkin tidak salah jika saya mengajuk dialog watak antagonis dalam filem ini, Marko (Arben Bajraktaraj) yang menggumam: "Good luck!" Saya ulangi dialog itu kerana mengharapkan anda dapat menghayati elemen, nilai dan mesej yang terdapat dalam filem ini. Selamat menonton!

"Good luck!"
(C) WITER GUNIK

Isnin, 11 Mei 2009

SELAMAT HARI GURU, CIKGUKU!


"CIKGU, apa khabar?"
 
"Cikgu mengajar di mana sekarang?"

"Saya masih ingat lagi...."

Ungkapan penuh mesra di atas adalah satu perkara nan lumrah namun amat manis untuk didengar para guru. Apabila berhijrah atau berada di tempat lain dan orang mengetahui kita ini penjawat jawatan guru, seperkara yang selalu mengharukan hati para guru ialah ingatan manis dan layanan penuh hormat daripada ibu bapa dan bekas pelajar.

Saya kurang percaya guru semakin tidak dihormati. Mereka yang kurang dihormati itu 'bukan guru' dalam erti kata yang sesungguhnya: mereka ialah ahli MLM, ahli politik, pemain snooker (atau banyak lagi kecenderungan sebenar) yang 'berbulukan' pakaian seorang guru. Mereka sentiasa melihat profesion keguruan sebagai ruang untuk menambah kekayaan dan bukan sebagai ruang untuk berbakti kepada anak bangsa. Sikap menuntut sesuatu yang memang hak kita memang baik, tetapi lazimnya segelintir guru lebih melihat kepada imbalan yang diperoleh sebagai guru. Mereka inilah yang juga 'terlalu berkira' sehingga mereka tak sanggup untuk kerugian sedikit pun daripada Elaun Khidmat Awam mereka demi pelajar. Mereka inilah juga yang enggan untuk berhijrah ke kawasan yang lebih baik dengan alasan di bandar tiada imbuhan RM1500, RM100 atau RM500 bertopengkan kata-kata "aku hendak berkhidmat kepada penduduk luar bandar".  Mereka inilah juga yang adakalanya mengambil kesempatan menindas pelajar dengan yuran tidak masuk akal melalui aneka program 'motivasi' yang meragukan.  (Nota: saya tidak mengatakan semua guru; saya juga tidak mengatakan program motivasi itu tidak bagus). Sedih?  Golongan inilah yang disindir oleh Tan Sri P. Ramlee dalam salah sebuah filem tentang pemain muzik yang gagal sebagai guru kerana asyik dengan 'kerjaya' muziknya di Kelab Malam.  Malu?

Saya selalu tersentuh hati dengan kesanggupan para rakan guru yang sanggup berkorban demi kecemerlangan anak muridnya. Seorang rakan guru yang mengajar di salah sebuah sekolah menengah agama di Ranau mengatakan kepada saya hari ini (ketika bertemu di salah sebuah kedai fotostat) betapa apabila anak didiknya pada sesi SPM 2008 mencatatkan kecemerlangan luar biasa dalam subjek Bahasa Malaysia yang diajarnya, ada segelintar rakan sejawat yang mempersendakan: "Itu politik tu!" dalam lafaz kecurigaan 'ketulenan' hasil kecemerlangan tersebut. Namun, kata guru tersebut kepada saya: "Pada tahun 2008 saya selalu balik pukul tiga petang ke rumah dan hampir tidak sempat ke kantin sehingga isteri sayalah yang menghantar makanan kepada saya yang sibuk memeriksa latihan penulisan pelajar saya."

Benar, kecemerlangan yang disumbangkan guru sememangnya adakalanya tidak 'ternampak' oleh rakan-rakan sejawat sendiri meskipun rakan sejawatan di sekolah yang sama. Dalam hal ini, saya ingin melihat situasi ini sebagai satu gambaran kesibukan para guru pada masa kini. Situasi ini juga satu bayangan betapa kesibukan mencapai misi sekolah, jabatan dan kementerian menyebabkan guru-guru semakin banyak berkorban demi tugas yang diamanahkan.

"Guru Pembina Negara Bangsa" sebagai tema sambutan Hari Guru Kebangsaan 2009 sesungguhnya amat menepati peranan besar yang terletak di pundak para guru. Roh persekitaran yang berbeza dengan roh 20 tahun yang lalu telah menjadikan profesion perguruan menuntut guru-guru yang ampuh/teguh keguruannya bagi menjana rakyat Malaysia yang dapat dipertanggungjawabkan memperkasa negara demi memacu picu kemajuan negara. Benar pendapat Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom apabila beliau menyatakan bahawa tugas guru pada masa kini "....bukan sahaja mendidik dari segi akademik bahkan juga membina suatu bangsa negara, bangsa Malaysia yang bermodal insan, cintakan negara, mempunyai keyakinan tinggi, jati diri kukuh, berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai moral. Ia penting untuk hidup sebagai sebuah masyarakat penyayang, demokratik, liberal dan bertolak ansur, berfikiran dan berbudaya saintifik."

Kebanggaan sebagai guru sebenarnya terletak pada kepuasan apabila melihat anak didik kita/kami mencapai sesuatu yang lebih tinggi daripada keupayaan asal mereka; kepuasan apabila melihat dapat melangkaui tahap pencapaian keluarga mereka; melampaui tahap pencapaian guru-guru yang pernah bertungkus lumus berkongsi ilmu dengan mereka.

Dalam sambutan Hari Guru, entah pada sambutan Hari Guru yang ke berapa kita melihat ada keberanian kerajaan untuk mengisytiharkan Hari Guru sebagai Cuti Umum. Bukankah mengangkat status Hari Guru sebagai Cuti Umum akan lebih menyedarkan masyarakat awam dan masyarakat guru tentang peranan tak terkata para guru? Barangkali ini kurang wajar bagi sebahagian orang kerana kita para guru kononnya 'sudah banyak menikmati cuti'. Cadangan ini juga mungkin dianggap keterlaluan kerana kita para guru kononnya 'sudah mendapat pelbagai kemudahan dan dilumuri dengan program kebajikan'.  Namun, masih ramai juga yang secara jujur bersetuju jika Kabinet yang ada sekarang membuat proklamasi bersejarah: 16 Mei sebagai salah satu hari kelepasan awam dalam takwim tahunan kita!

Sebagai guru, saya selalu percaya guru memang penjana kepada negara bangsa. Tanggungjawab dan amanah itu dipikul sedemikian rupa dari dahulu sehingga kini demi melahirkan warga Malaysia yang ideal seperti yang tersurat dalam Falsafah Pendidikan Negara yang didasari dengan Lima Teras Rukun Negara.

Selamat Hari Guru kepada semua guru dan semua yang mahu berkongsi semangat keguruan dengan para guru. Mari  kita bersama menyokong, mendokong dan memperkasa misi unggul keguruan kita. 
     
Selamat Hari Guru ....

(C) WITER GUNIK

Selasa, 5 Mei 2009

TADAU KAAMATAN PENGUCAPAN SYUKUR SECARA TRADISI

SAMBUTAN terhadap musim penuaian panen khususnya padi adalah satu jati diri kepada masyarakat bumiputera Borneo. Misalnya, KadazanDusun dengan Tadau Kaamatan, Kadayan dengan Abis Ngatam dan Iban/Bidayuh dengan Pesta Gawai. Di Brunei pesta menuai ini juga disambut dengan panggilan Adau Gayoh.  Di Kalimantan saudara kita dari suku Dayak tidak ketinggalan menyambut pesta ini dengan sambutan yang mereka panggil sebagai Naik Dango. Pertanyaan kita ialah apakah sambutan pesta menuai dalam pelbagai nama ini hanya relevan kepada penduduk di Borneo sahaja?

Penduduk di Southern Minnesota  meraikan sambutan pesta menuai dengan cara mereka sendiri; menganggap pesta menuai sebagai satu perayaan kudus (Sacred Harvest Festival) yang akan mengeratkan perpaduan masyarakat berkenaan.  Di Amerika Latin, penduduk asli Indian berkongsi anggapan betapa sambutan pesta menuai ini sebagai satu hari yang amat istimewa dalam hal pengucapan syukur dan hari berdoa sentiasa dirancang pada hari keempat dalam bulan November setiap tahun sejak 1949.

     
Puak asli di Afrika tidak ketinggalan dengan mengadakan sambutan kwanzaa yakni sambutan pesta kaamatan berdasarkan tradisi Afrika. Kwanzaa bermaksud 'buah pertama' dalam bahasa Swahili dan sambutan ini bermula pada 26 Disember dan berlangsung selama seminggu. Bagi penduduk Amerika Latin pula, diadakan Pesta Jagung Hijau yang disambut pada bulan purnama pertama serentak dengan penuaian pertama hasil pertanian jagung. Di Ghana pula, penduduk aslinya menyambut Pesta Keladi (Homowo) yang akan berlangsung kira-kira tiga hari. Sambutan ini dimulakan dengan upacara menghormati kerabat yang telah meninggal dunia. Acara lain termasuklah upacara didoakan oleh ketua dan makanan istimewa daripada keladi akan dihidangkan.

Bagaimana dengan kita masyarakat KadazanDusun pada bulan Mei yang identik dengan Sambutan Tadau Kaamatan? Pernahkah kita bertanya tentang wujud jati diri kita sebagai KadazanDusun atau kita cuba mengelakkan hal ini kerana kononnya sensitiviti politik? Apakah kita tahu bahawa leluhur kita pada zaman animisme mempercayai lima semangat yakni Kinorohingan, Rusod, Koduduwo, Tombiruo dan Rogon?  Apakah kita faham apa itu Bambarayon (Bambazon) dan kepercayaan  masyarakat tradisional petani bahawa, "tiada beras tiadalah kehidupan"?  Atau, apakah kita hanya terpesona dengan pangkis Bobolian semasa magavau atau terpegun melihat para sumandak kita  di atas pentas Runduk  Tadau (Unduk Ngadau)? Atau kita alpa dalam tawa sinis dan gelengan kepala kita melihat belia kita kegembiraan kerana 'aramai ti'?

Dari satu segi kita menjadi bangga kerana meskipun sebilangan 'ikon' dalam pesta menuai ini hanya bersifat simbol - misalnya bobolian dalam Tadau Kaamatan di Sabah-  namun kita dididik sebenarnya untuk menghormati tradisi nenek moyang kita. Tadau Kaamatan menjadi ruang dan peluang kepada masyarakat KadazanDusun mengenal satu lagi jati diri yang dipusakai sejak zaman berzaman. Anda mungkin seperti saya yang menolak kinomol, lihing, montoku, siopon atau yang sejenis dengan 'minuman tradisi' itu kerana kita tahu bahawa penolakan kita terhadap sebahagian daripada elemen yang 'kurang wajar' ini tidak akan menjadikan sambutan Tadau Kaamatan terencat.

   

Apabila melihat dan menyedari betapa sambutan pesta kaamatan ini sebenarnya satu sambutan yang bersifat universal  - meskipun tidak serupa dari segi acara sambutan- saya menjadi sedar betapa manusia dari pelbagai pelusuk dunia ini yang kehidupan tradisi mereka akrab dengan pertanian sentiasa berusaha menunjukkan cara pengucapan syukur mereka terhadap hasil tuaian yang diperoleh. Pada masa dahulu, pengucapan secara tradisional ini tentunya ditunjangi dengan kepercayaan terhadap penguasa primitif yang kini telah masing-masing kita terjemahkan Sang Pencipta mengikut kepercayaan agama masing-masing. Kita juga insaf betapa sambutan pesta menuai ini menyimpulkan falsafah kejayaan sebab berhasil menyelesaikan satu lagi tanggungjawab besar (menanam padi atau sebarang tanaman lain) yang akan diteruskan pula pada tahun berikutnya. Di samping itu, tidak kurang pentingnya ialah falsafah saling bermaaf-maafan terhadap sebarang salah dan silap yang mungkin telah dilakukan sepanjang kesibukan masing-masing sejak peringkat penanaman padi sehinggalah kepada penuaian padi.

Saudara-saudaraku, siapakah lagi yang akan berusaha mempertahankan tinaru bangsa kalau bukan kita sendiri? Mari renungkan kata-kata klasik Huguan Siou kita: "Gompiyo tokou no o tinaru tokou. Kada wilihai tataba koposion tokou."

Kotobian Tadau Kaamatan!

   

(C) WITER GUNIK

Isnin, 4 Mei 2009

PACQUIAO: JUARA DUNIA WELTER WEIGHT IBO!

KEJAYAAN Manny Pacquiao menjadi Juara Dunia acara Tinju kelas Welter Weight IBO pada 03 Mei 2009 yang lalu menimbulkan sensasi yang luar biasa. Di Filipina sahaja, Presiden Gloria Arroyo telah mengisytiharkan cuti umum pada hari Isnin bagi meraikan kejayaan Pacquiao menjulang dan mengharumkan nama Filipina di persada sukan tinju skala dunia. Dalam pertarungan itu Pacquiao atau Pac-man (sebagaimana julukan media terhadapnya) telah menundukkan petinju dari Inggeris iaitu Ricky Hatton dengan kemenangan K.O. Ricky Hatton gagal untuk bangkit selepas dijatuhkan kali ketiga oleh Pacquiao pada minit 2 :39 pusingan yang kedua.

Pacquiao, 30 tahun, berjaya menamatkan usaha Hatton untuk kekal dalam persaingan setelah satu tumbukan kencang daripada tangan kidal Pacquiao mengenai rahang kanannya. Ternyata kelebihan berat bagi Hatton (140 pound) ke atas Pacquiao (138 pound) tidak menjadi masalah langsung bagi Pacquiao untuk menjinakkan Hatton.

Lebih daripada 16 ribu penonton menyaksikan pertarungan tinju dunia itu di MGM Grand Hotel, Las Vegas. Pada awal pertandingan, Hatton nampak bersemangat memulai pertarungan dengan mencoba menekan Pacquiao ke tali ring. Bagaimanapun, Pacquiao mengembalikan semula paku buah keras itu dengan kombinasi pukulan yang mengakibatkan wajah Hatton mula berdarah.  Satu hook kanan mengakibatkan Hatton terjatuh namun masih menggagahkan diri bangkit meneruskan perlawanan. Di tengah tekanan, Hatton terdesak di tali dan kembali jatuh bagi kali kedua dek hook kiri Pacquiao. Pada pusingan kedua, Pacquiao mempertahankan penguasaannya dengan aksi yang menjadi 'trade mark'nya iaitu kombinasi serangkaian pukulan keras dan jab-jab. Akhirnya sebuah hook kirinya membuat Hatton terlentang tanpa upaya lagi untuk bangkit! 

Pacquiao yang disebut-sebut sebagai petinju terbaik dunia untuk pelbagai kelas, kini mencatat rekod 49 kali menang (37 dengan KO), tiga kalah dan dua kali seri.  

Perlawanan dan kemenangan bersejarah bagi Pacquiao itu dapat ditonton dalam link berikut:


Saya melihat kemenangan Pacquiao itu sebagai satu peristiwa yang menyemarakkan inspirasi dan motivasi jika dilihat dari persepsi kita sebagai manusia Nusantara. Pacquiao berjaya membuktikan bahawa:

     a.   Saiz badan tidak selamanya menjadi penentu kepada kejuaraan sukan yang melibatkan adu fizikal                 seperti tinju;
     b.   Disiplin diri, ketekunan berlatih dan sikap tahan uji amat penting jika mahu berjaya dalam sebarang               perkara lebih-lebih dalam sukan yang melibatkan kejuaraan dunia;
     c.   Misi dan niat membawa 'penghormatan dan nama harum' kepada negara amat penting dalam usaha               memburu kecemerlangan;
     d.   Menjadi yang terbaik selalu bermakna bersedia berkorban masa yang terbaik dan memberi usaha                 yang terbaik;
     e.   Kemenangan itu memberi isyarat kepada dunia 'orang putih/negro' bahawa tinju bukan lagi milik
           mutlak mereka.

Sesuatu kemenangan sepatutnya menjadikan kita lebih perkasa dari segi kesedaran diri. Bersama kita renungi ungkapan penuh makna daripada Pacquiao selepas kemenangan itu. Beliau dengan penuh rasa rendah diri berkata:

       "Semua orang terkejut. Juga saya. Saya tidak mengira berupaya menang dengan mudah. Tapi saya telah berlatih keras. Saya hanya melakukan pekerjaan saya."

Bilakah agaknya kita di Malaysia akan melihat seorang wira Malaysia mampu menjulang kejuaraan tinju kelas dunia? Kita sudah diwar-warkan dengan hasrat Kementerian Pendidikan 'menjadikan pendidikan Malaysia bertaraf dunia'.  Hasrat ini penting sebab salah satu daripada sub-bidang yang hendak digemilangkan itu ialah kokurikulum. Pertanyaan emas kita ialah apakah kita sudah cukup berusaha ke arah 'taraf dunia' itu?

(C) WITER GUNIK

Ahad, 3 Mei 2009

ODOI ODU OH GRANDMA OH NENDA!


BENARKAH cinta hanya wujud dalam kalangan orang muda? Apakah makna kasih sayang kepada orang tua? Mestikah ketuaan disamakan dengan penyisihan dalam masyarakat?

Menonton filem pendek karya Farizie Bin Morinding iaitu Odoi Odu (Oh Grandma atau Oh Nenda) adalah satu pengalaman yang menggetarkan jiwa. Perasaan teruja itu bukan hanya disebabkan reputasi filem pendek itu yang telah menggondol hadiah wang tunai RM5000, piala dan geran pembikinan filem sebanyak RM 100 000.00 di samping memenangi tiga kategori lain iaitu Pengarah Terbaik, Cerita Terbaik dan Pelakon Terbaik. Perasaan itu lahir kerana filem pendek itu memaparkan sesuatu yang akrab dengan citra kehidupan masyarakat bumiputera Borneo. Meskipun fokus lebih kepada kehidupan seorang wanita malang dalam masyarakat Kadazandusun namun ada ikatan ghaib yang telah berjaya 'diaurakan' oleh Farizie yang memberikan kepada kita kesimpulan: Akhirnya telah lahir filem yang hampir berjaya menterjemahkan kesukaran masayarakat desa Borneo dalam filem.  

     
Naratif filem ini dipersembahkan dengan cemerlang oleh lakonan Lukiah Bte Mahadi. Melalui lakonan mantap Lukiah ini, penonton dipersembahkan dengan kesunyian seorang perempuan tua yang juga janda. Kesedihan dan nostalgia terhadap arwah suami tercinta turut menggamit rasa kemanusiaan penonton. Mestikah ketuaan berlangsung dengan suasana penuh perasaan hiba?

Gambaran kedaifan yang dipaparkan mungkin terasa 'terlalu dilebih-lebihkan' oleh Farizie. Pada pendapat saya, gambaran kedaifan itu terlalu memualkan kerana saya secara peribadi meskipun  telah lebih tiga puluh tahun berkelana di bumi Ranau tidak pernah melihat kedaifan yang sedemikian rupa di bumi Ranau. Walaupun demikian, saya akur dengan daya kreatif Farizie yang berjaya menjadikan elemen itu sebagai penjala simpati terhadap nasib Odu. Saya lebih terpesona dengan kemiskinan perasaan kemanusiaan yang disampaikan oleh Farizie lewat kejiranan Odu yang melihat Odu sebagai si tua yang sasau dan sepatutnya disisihkan. Farizie berjaya mengkritik sikap segelintir masyarakat yang gagal melihat keresahan dan permasalahan warga tua; gagal menyelami suka duka warga tua.

Perkara yang paling penting dalam perkara ini ialah hakikat bahawa bakat-bakat muda seperti Farizie Bin Morinding sudah mula berani meneroka anugerah bakat yang ada untuk bersaing di persada seni tanah air. Kita hanya tertanya-tanya, mampukah Farizie menggunakan kelebihan kemenangan yang ada untuk menghasilkan filem lain yang kuat bahkan lebih perkasa daripada kewujudan Odoi Odu? (Mampukah beliau menerima kerjasama sekali lagi untuk menjayakan sekuel bagi Odoi Odu sebagaimana yang dicanangkan dalam media perdana?)

Kita masih teringat pantun yang beliau lafazkan pada malam beliau menerima anugerah kemenangan itu:
       
           'Kalau ada kali di bendang,
                  Kalau mandi jangan sendiri;
            Kalau ada umur yang panjang,
                 Izinkan sahaya berkarya lagi.'

Saudara Farizie: Teruskan perjalanan seni saudara. Mudah-mudahan jejak seni saudara akan dijejaki pula oleh ramai bakat terpendam di bumi Kinabalu ini. 

(C) WITER GUNIK

SUKAN LASAK PILIHAN BAGI YANG MACHO!

KENDERAAN 4X4 lazimnya amat menarik untuk ditonton. CAMEL Trophy ialah satu contoh aktiviti dalam takwim sukan lasak ini yang tak pernah gagal mencuri perhatian. Aktiviti ini memperlihatkan tahap kelasakan melibatkan kenderaan yang dianggap luar biasa. Kenderaan pacuan empat roda dipaksa bergelut dengan selut, pasir dan lumpur, serta berentap menjinakkan bukit dan pelbagai halangan fizikal.

Apabila melihat keasyikan para peminat dan terutama peserta (serta pemodal yang menaja mereka), timbul persoalan: berbaloikah kepuasan atau barangkali kemenangan yang dikecapi dengan segala kerosakan kenderaan yang terpaksa ditanggung?

Beberapa klip video berikut barangkali akan menyentap rasa ingin tahu sekali gus perasaan hairan anda tentang sukan ekstrem ini.

     
     
     
     

Ah, pedulilah jika anda sendiri 'enggan' turun padang di arena maut (?) ini. Sukan lasak memang hanya pilihan bagi yang macho dan tebal sakunya. Kononnya!

(C) WITER GUNIK

Sabtu, 2 Mei 2009

RESPEK SAMA LU, CIKGU!

     “I've come to the frightening conclusion that I am the decisive element in the classroom. It's  my daily mood that makes the weather. As a teacher, I possess a tremendous power to make  a child's life miserable or joyous. I can be a tool of torture or an instrument of inspiration. I can humiliate or humor, hurt or heal. In all situations, it is my response that decides whether a  crisis will be escalated or de-escalated and a child humanized or de-humanized.”                                                                                  -  Dr. Haim Ginott

SAYA selalu berasakan betapa guru merupakan insan yang amat penting peranannya dalam membangunkan sumber manusia. Sejak zaman sebelum merdeka lagi, sama ada oleh anak tempatan yang bekerja sebagai guru-guru agama atau juga oleh pendatang dan penjajah yang mendirikan sekolah berorientasikan etnik dan agama telah membantu menyuntikkan ilmu pengetahuan baru kepada rakyat Malaya, Sabah dan Sarawak (kini Malaysia). Golongan ini terus berbakti untuk memberi yang terbaik untuk anak bangsa (adakalanya pula 'bukan anak bangsa') kerana idealisme mereka sebagai guru yang percaya bahawa pendidikan adalah wahana ulung kepada anjakan paradigma bangsa.  Benar kata SN Usman Awang, timbulnya 'kuasa' hatta kemunculan seorang Perdana Menteri pada hari ini pun kerana jasa manusia yang kita hormati sebagai 'Cikgu' itu....

        

Golongan ini yang ironinya mendapat pendidikan daripada penjajah, terlibat pula dalam perjuangan mendapatkan kemerdekaan negara daripada penjajah. Golongan ini menjadi tangan yang bergerak di belakang tabir dan di tengah gelanggang sebagai adiwira yang tidak pernah pudar semangat dan keazaman untuk melihat kecemerlangan dan kegemilangan dapat dicapai hasil dari pendidikan. 

Meskipun, sesekali (dari dahulu sehingga sekarang) ada riak negatif yang tercetus daripada kesilapan segelintir guru yang terlibat dalam kontroversi sosial namun guru-guru tak pernah lupa dengan janji keguruan mereka seperti yang mereka banggai setiap kali menyambut Sambutan Hari Guru dengan lagu, "Kami Guru Malaysia".

Kepada warga guru, sama ada yang bertugas di tengah keriuhan bandar atau separa bandar atau yang sedang berpeluh dalam kedaifan pedalaman atau yang bergaul mesra dengan lambungan ombak, ya, ketahuilah anda sentiasa di hati anak bangsa. Perlu diingat, sebilangan guru ada yang merana sehingga terabai urusan peribadi kerana 'terguna masa peribadi' untuk para anak didiknya. Sesungguhnya, dedikasi Tuan-tuan & Puan-puan - para guru- selamanya mengharukan dan mudah-mudahan akan dikenang sepanjang zaman.

Siapakah yang dapat menafikan jasa dan pengorbanan guru?

"Respek Sama Lu, Cikgu!" 

(C) WITER GUNIK

SELESMA BABI SELESMA KHINZIR

SELESMA babi yang mula dikesan di Mexico minggu lalu benar-benar menggemparkan dunia. Dalam kegelisahan dan ketakutan dengan kemungkinan akan dijangkiti virus Selesma babi, pengusaha topeng telah menjadikan musibah ini untuk meraih keuntungan berlipat ganda. Anda telah melihat banyak gambar di media massa yang mempamerkan dan menyiarkan penduduk Mexico memakai topeng bagi melindungi diri mereka daripada dijangkiti selesma babi. Apakah memakai topeng dapat menyelamatkan seseorang daripada selesma babi?
Tahukah anda bahawa terdapat sedikit sekali bukti yang menunjukkan bahawa topeng berupaya melindungi orang yang sihat daripada dijangkiti sebarang virus. Hakikatnya, topeng lebih berguna jika dipakai oleh orang yang sakit demi mengelakkan mereka daripada menyebarkan virus penyakit yang mereka hidapi kepada orang-orang di persekitaran mereka.

Golongan yang dicadangkan untuk memakai topeng semasa 'musim' selesma ialah para petugas kesihatan dan kecemasan yang terpaksa berurusan rapat dengan ramai pesakit. Golongan lain yang dianggap memperoleh manfaat daripada pemakaian topeng ini ialah golongan yang tidak dapat mengelakkan diri mereka daripada berada dalam kawasan yang sentiasa sesak dengan manusia.

"Pada umumnya," kata Pengarah Kesihatan N.C. iaitu Dr. Jeffery Engel. "Tiada sebarang bukti yang menunjukkan memakai topeng dalam kalangan orang yang sihat dapat menghindarkan mereka daripada serangan selesma. Bahkan terdapat risiko pemakaian yang silap yang akan menyebabkan keadaan semakin parah."

Semasa wabak SARS pada tahun 2003, Engel mengatakan bahawa beberapa petugas kesihatan dijangkiti wabak SARS apabila mereka membuka topeng itu dan memakainya kembali."

Jenis topeng yang dicadangkan kepada petugas kesihatan dan kecemasan ialah topeng yang kukuh, berbentuk ala-mangkuk yang dipasang serasi menutupi hidung dan mulut. Topeng tersebut lebih nipis daripada topeng pembedahan dan lebih mudah disimpan meskipun juga agak mahal.

Mereka yang menghidap selesma boleh memakai topeng untuk mengelakkan tersebarnya bahan kumuh respirasi (dari hidung dan mulut). Satu tempat terbaik untuk menggunakan topeng ini ialah di pejabat doktor atau di ruang menunggu, kata Dr. Roger Lovell, pakar epidemiologist di Carolinas Medical Center.

“Sekiranya kita mempunyai pesakit yang menghidap tuberculosis di hospital, kami akan memasangkan topeng ke atas mereka," tambah beliau. "Kami tidak akan mewajibkan pemakaian topeng kepada setiap orang yang berada di hospital. Hanya orang sakit yang harus memakai topeng."

Meskipun demikian, didapati orang yang sihat lebih berkemungkinan untuk meneruskan pemakaian topeng. Menurut Encik Dick Thompson yang bertanggungjawab mengenali komunikasi bagi Perbadanan Kesihatan Sedunia (WHO) semasa wabak SARS berkata, pengawai kesihatan menasihat orang sihat di Hong Kong dan Singapura supaya tidak perlu memakai topeng. Bagaimanapun, arahan ini tidak dipatuhi dan ini menyebabkan beliau sedar bahawa nasihat berbuat demikian 'mungkin' satu kesilapan. Encik Dick Thompson mengatakan, "Orang awam memberitahu mereka bahawa mereka perlu melakukan sesuatu."

Cara paling mudah mengelakkan jangkitan ialah mengelakkan kerumunan orang dan kerap membasuh tangan," tambah Encik Lovell. Anda tidak perlu keluar dan membeli sabun anti bakteria. Sabun biasa dan air bersih sudah memadai.

(C) WITER GUNIK