Rabu, 27 Mei 2009

KITA PERLUKAN SEJARAWAN KELUARGA

SAYA tidak pasti sama ada istilah Sejarawan Keluarga ini benar-benar wujud atau tidak. Saya menggunakan istilah ini bagi memudahkan saya merujuk kepada seseorang yang ada kecenderungan untuk mencari maklumat berkenaan salasilah atau geneologi keluarganya. Masyarakat Barat, China dan Arab sebenarnya jauh ke hadapan meninggalkan kita di Nusantara ini dalam hal mendokumentasikan jurai keturunan keluarga.

Dalam masyarakat feudal Malaysia, kecenderungan menyimpan salasilah ini lazimnya hanya ada pada golongan pemerintah demi memastikan status sebagai 'penguasa' kepada golongan biasa itu disedari, dihormati dan yang paling penting dilestarikan. Sedarkah anda bahawa Sulalatus Salatin Sejarah Melayu susunan A. Samad Ahmad yang menjadi teks kajian dan dianggap karya agung di peringkat Tingkatan Enam itu sebenarnya berintikan salasilah keturunan raja-raja Melayu di Malaysia yang dikatakan berasal daripada keturunan Iskandar Zulkarnain dari Makaduniah (Macedon/Mecadonia). Mungkin inilah kepintaran 'penguasa' zaman dahulu yang menyuntikkan banyak elemen 'luar biasa' seperti legenda, mitos, dan seumpamanya supaya mereka dilihat sebagai keturunan yang berbeza daripada orang biasa.

Usaha menjejaki keturunan sebenarnya tugas dan amanah yang berat. Hal ini amat benar dalam masyarakat Kadazandusun yang memang kurang kecenderungan untuk merekodkan salasilah kekeluargaan secara bertulis. Hanya pada akhir-akhir ini, sudah timbul beberapa keluarga  yang menampakkan kesungguhan untuk mencari kerabat dan suku sakat yang terpencar di sana sini.

Terdapat beberapa dokumen bagi mendapatkan maklumat berkenaan salasilah. Ini termasuklah, Sijil Kelahiran, Sijil Perkahwinan/Nikah, Sijil Kematian, Bancian, Rekod Badan Keagamaan, dan pada tahap yang tegar termasuklah maklumat dari Jabatan Pendaftaran Negara, Rekod Mahkamah, Rekod di Pejabat Tanah, malah Rekod Tentera bagi yang berkenaan. Selain itu, maklumat tentang keturunan juga dapat diperoleh daripada cerita lisan individu, sejarah tempatan, dan surat menyurat peribadi.

Saya melihat usaha ini sebagai satu perkara yang positif kerana menyumbang kepada beberapa faedah termasuklah membantu kita mengenal jati diri kita. Seorang rakan yang lahir di Ranau dan mengenal dirinya sebagai Dusun sejak kecil, terkejut kerana rupa-rupanya mempunyai darah Iban dari Sarawak (jangan terkejut; jika anda orang Ranau anda mungkin juga titisan darah Iban). Hal ini tidak dihairankan kerana pada masa dahulu, orang Iban ramai yang berhijrah ke Sabah untuk bekerja dengan Inggeris. Mereka ditugaskan di seluruh Sabah, termasuklah di Ranau. Perkahwinan dengan masyarakat tempatan akhirnya telah memberikan identiti baru kepada mereka apatah lagi dengan adaptasi adat resam setempat serta asimilasi dengan penduduk tempatan. 

Mengenal jati diri kita juga bermakna kita dapat mengenal kaum kerabat kita. Kita juga akan terkejut kerana akan mendapat kita ada kaitan dengan pelbagai jenis manusia. Ada yang orang biasa dan termasuklah orang yang dianggap mempunyai profile tinggi dalam masyarakat. "Tak saya sangka si Datuk Anu itu rupanya saudara bapa saya...." Barangkali itulah akan terluah daripada bibir anda.  Anda juga mungkin berkata, "Bergaduh sampai hampir bertetak parang, rupanya satu keturunan!"

Kita juga akan takjub bagaimana dalam salasilah itu, kita akan melihat anutan agama yang berbeza.  Dalam masyarakat Sabah yang kian majmuk sekarang, kita juga akan terkejut kerana rupanya kita mungkin ada kaitan persaudaraan dengan rakan kita daripada masyarakat Melayu, Banjar, Bajau, Iranun, Filipina atau mungkin Timor!  Jangan dulu katakan "mustahil", sebab dalam dunia sekarang hal itu tidak mustahil lagi. 

Tidak dapat tidak maklumat sumbangan Sejarawan Keluarga ini pasti juga menimbulkan keinsafan bahawa kita perlu berhati-hati dan tidak sewenang-wenangnya berpatah arang dengan seseorang kerana dia mungkin sebahagian daripada keturunan keluarga kita. Secara tidak langsung, kita juga belajar menggunakan dengan tepat istilah panggilan seperti aman, inan, odu, aki, seruoi, langu, magalong, ipag, aleng,  dan seumpamanya. Bukankah ini juga satu cara bagi kita menjana keharmonian dan perpaduan dalam masyarakat kita?

Melalui maklumat salasilah, perkara seperti kes 'berkahwin dengan saudara dekat' juga dapat dielakkan. Saya gemar untuk mengulas kes 'berkahwin dengan saudara dekat'.  Berbeza dengan amalan masyarakat Melayu di Semenanjung Malaysia, perkahwinan antara kerabat rapat seperti sepupu dalam masyarakat Dusun/Kadazan masih dianggap 'panas'. Secara adat, hal itu masih dianggap taboo meskipun para ulama mungkin mempunyai pendapat berbeza. Sebenarnya perkahwinan melibatkan kes-kes seperti itu masih dapat direstui secara adat yakni dengan syarat ada pitas. Dalam penyempurnaan pitas, sogit akan dikenakan kepada pihak yang berkenaan sebagai cara melepaskan tulah/kepanasan.  Ehm,  hati-hati ya, para sumandak dan tanakwagu!

Oleh hal yang demikian, setiap pihak sudah sewajarnya melihat kecenderungan masyarakat kita membukukan maklumat keturunan mereka sebagai satu yang sangat positif.  Tugas sebagai Sejarawan Keluarga lazimnya diserahkan kepada seseorang yang ada banyak masa untuk bergerak ke sana sini atau banyak jaringan maklumat. Bagaimanapun, pada masa ini, semua ahli keluarga mesti mampu mengambil alih tugasan sebagai Sejarawan Keluarga tersebut pada bila-bila masa.  Ini kerana semua ada kemungkinan untuk menjadi ibu dan bapa.  Dengan kata lain, setiap orang mesti memastikan dia berupaya memberikan maklumat jelas tentang asal usul keluarga dan bagaimana pertalian kekeluargaan itu wujud. Kemahiran ini penting bagi membolehkan anak-anak kita juga tidak kehilangan akar keturunan yang mereka warisi.

Jika usia bumi ini masih panjang, keturunan kita di muka bumi ini mungkin akan masih sempat menjangkau beberapa generasi. Jika tiada dalam kalangan keluarga kita pada masa kini yang mampu mendokumentasikan salasilah yang ada, maka jangan marah jika nama anda sebagai leluhur kepada anak cucu pada masa itu mungkin sudah terlupakan. Salah siapa?

Anda akan berasa takjub kerana anda akan menyedari betapa sebenarnya anda ditakdirkan mempunyai ramai saudara di sekeliling anda. Saudara yang mungkin anda sangkakan tidak punyai kaitan sama sekali dengan anda. 

Berterima kasihlah kepada Sejarawan Keluarga yang telah berkorban masa, wang ringgit semata-mata membantu mempermudah pencarian maklumat tentang jurai keturunan yang ada kaitan dengan anda. Berterima kasih juga kepada Sejarawan Keluarga yang telah memberi anda kejutan dan barangkali tamparan atas keangkuhan atas darah keturunan anda. Kita semua bersaudara.... 

Seorang kawan yang gemar bergurau dengan penuh cita-cita mengatakan: "Saya mahu mencari kaitan darah saya dengan Barrack Obama!"

Salam sukses untuk beliau!

(C) WITER GUNIK

Tiada ulasan: