Memaparkan catatan dengan label Kinabalu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kinabalu. Papar semua catatan

Isnin, 16 Julai 2012

DR MOHD ZAKARIA ILYAS: GENIUS KDM


Atagak nopo o boros, atagak o koubasanan,
Atagak o koubasanan, atagak o kointutunan;
Atagak o boros, atagak o pirotian,
Atagak o pirotian, atagak o piiunungan,
Atagak o piiunungan, atagak o pisokodungan,
Atagak o pisokodungan, atagak o pibabasan,
Atagak o pibabasan, atagak o piobpinaian,
Nung atagak o piobpinaian, kopitongkiad o rikoton do rusodon.
- diwato do Dusun

ADA satu perkara yang sepatutnya menjadi berita paling menggembirakan bagi masyarakat KDM. Berita yang dimaksudkan adalah kewujudan sistem tulisan bagi masyarakat KDM: Gagarit do Dusun

Sistem tulisan itu telah dicipta oleh salah seorang ilmuan KDM, Dr Mohd. Zakaria Ilyas yang menganggap Gagarit do Dusun itu sebagai satu anugerah Yang Maha Kuasa untuk masyarakat KDM; lisih do Minamangun kumaa dati.  Siapakah Dr Mohd. Zakaria Ilyas? Beliau adalah penerima bagi beberapa anugerah kebesaran dari Kerajaan Sabah iaitu Ahli Setia Darjah Kinabalu, Ahli Darjah Kinabalu, dan Bintang Setia Kinabalu. 

Dr Mohd. Zakaria Ilyas tamat belajar di GPS Tagudon Lama  pada 1958 dan melanjutkan pelajaran di Maktab Sabah. Sesudah selesai bersekolah di Maktab Sabah (1964), beliau melanjutkan pengajian di Victoria University of Wellington dan berada di situ sehingga 1970. Beliau sekali lagi melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana di Hawaii Pacific University dan tamat pada 1987. Pada tahun 1995, beliau tamat belajar di Belford University, Amerika Syarikat di peringkat doktoral dalam bidang sosiologi dan antropologi. Beliau yang kini menetap di Kg. Tagudon Baru, Ranau dan di Kg. Kauluan-Kundasang, Ranau ini pernah menjadi Setiausaha Sulit kepada Menteri Kerajaan Tempatan Sabah (1982-1984). Sekarang beliau bergiat dalam Zakaria & Associates, Inc., firma konsultansi niaga milik beliau sendiri. Seperkara yang menarik juga dan perlu disebut di sini ialah Dr Mohd. Zakaria Ilyas merupakan juruhebah (DJ) pertama  slot siaran bahasa Dusun yang bermula pada 1 Februari 1978 di RTM Sabah. Beliau menjadi DJ  dari Febuari 1978 hingga April 1981.

Dalam satu sesi soal jawab saya secara online dengan beliau, Dr Mohd. Zakaria menerangkan bahawa beliau telah memulakan 'kerja' mengkaji tulisan ini ketika beliau mendalami Bahasa Inggeris di University Victoria, New Zealand pada tahun 1970 bersama dengan sahabat beliau sejak kecil iaitu Dr Othman Minuddin (Dr Othman Minuddin adalah salah seorang tokoh politik yang amat dikenali di daerah Ranau). Ini bermakna, 'kerja' mengkaji itu telah mengambil masa yang cukup lama, kira-kira 40 tahun. Dalam kata-kata beliau sendiri, menurut tokoh yang pernah berkhidmat sebagai pendidik di SMK Mat Salleh, Ranau  ini lagi, beliau terdorong mencipta Gagarit do Dusun ini demi "menunjukkan kepada dunia bahawa ada bangsa Dusunkadazan yang tinggal di dalamnya. Harapan saya ialah ingin melihat Tinaruh Dusunkadazan dikenali oleh masyarakat lain sebagai bangsa yang bijak pandai serta patriotik kepada bangsanya sendiri."

Peri pentingnya sistem tulisan dapat ditelusuri  daripada fakta penggunaan sistem tulisan yang telah digunakan oleh banyak tamadun dunia sebagai sarana catatan pensejarahan.  Kewujudan sistem tulisan sememangnya seiring dengan perkembangan ketamadunan manusia dan diakui sebagai salah satu daripada ciri ketamadunan bangsa itu sendiri. Berdasarkan maklumat yang dapat ditafsirkan daripada inskripsi dan rekod-rekod yang ditemui oleh para ahli arkeologi, kita yang hidup pada masa kini dapat mengetahui upacara keagamaan (misalnya catatan pada dinding kuil dan zinggurat di Sumeria), kegiatan ekonomi (misalnya catatan pada 'Rosetta Stone' dan rekod urusan jual beli, hutang dan pesanan komoditi di rumah-rumah berhala di Mesir), sistem undang-undang (misalnya Code of Hammurabi), perkembangan ilmu pendidikan (misalnya rekod perubatan di Mesopotamia yang mengandungi tidak kurang daripada 600 koleksi ubat dan merekod perkembangan bidang perubatan), karya kesusasteraan (misalnya Legenda Etana dan Legenda Adapa di Sumeria), urusan pentadbiran (misalnya catatan undang-undang dan tanggung jawab pemerintahan pada tiang-tiang batu Asoka), dan urusan ketenteraan (misalnya teks 'Taittitiya Upanishad' dan 'Rig-Veda' yang mencatatkan raja sebagai pemimpin dalam tentera).  Benarlah pendapat Darcy Ribeiro (1922-1997), sistem tulisan merupakan lambang dan manifestasi sesebuah bangsa.


Dr  Mohd. Zakaria Ilyas adalah genius sebab berjaya mewujudkan satu 'tataba' kepada jati diri masyarakat KDM.  Usaha beliau ini tentunya bertitik tolak daripada kecintaan sejati terhadap kelangsungan masyarakat KDM di peta tamadun manusia. Meskipun populariti sistem tulisan tersebut belum meluas (ketika catatan di blog ini ditulis), namun kewujudan sistem itu telah pun hangat dibincangkan dalam laman web sosial terutamanya Facebook dalam kalangan masyarakat KDM yang tertarik dengan Gagarit do Dusun. 




OKK Sepikit Kabindong
Dr Mohd. Zakaria Ilyas mengakui bahawa beliau telah mencipta tulisan ini setelah mendengar kisah tentang sistem tulisan purba KDM yang dipanggil sebagai  Gagarit do Dusun (aksara purba Dusun) dan Pongintob do Dusun (Nombor purba Dusun) yang telah diceritakan oleh OKK Sepikit Kabindong. OKK Sepikit Kabindong, penjawat  Ketua Daerah di Mahkamah Anak Negeri, Ranau (1970-an-1980-an), adalah seorang tokoh yang sangat dihormati oleh masyarakat KDM di Ranau dan salah satu daripada ikon penting dalam sejarah perkembangan Ranau serta dianggap sebagai salah seorang daripada pakar rujuk tentang tradisi dan adat istiadat masyarakat KDM di Ranau. Malangnya, kajian seterusnya yang dilakukan oleh Dr Mohd. Zakaria Ilyas menyimpulkan bahawa tidak terdapat bukti yang menyokong tentang kewujudan tulisan purba KDM tersebut. Meskipun demikian, cerita oleh OKK Sepikit Kabindong itu telah menimbulkan dorongan yang amat kuat kepada Dr Mohd. Zakaria bagi mencipta sistem tulisan KDM versi moden sehingga akhirnya wujudlah Gagarit do Dusun seperti yang beliau war-warkan pada tahun 2012 ini sebagai satu perkongsian yang amat bermakna bagi masyarakat KDM.

Perkara yang menarik dalam penciptaan Gagarit do Dusun ini adalah kemunculan sistem tulisan itu berlaku pada marcapada ini, detik yang menyaksikan kebangkitan pelbagai pembaharuan dalaman yang mahu melihat KDM memiliki kembali 'tataba' sebagai 'pasok' dan 'ladsong' di bumi Kinabalu ini. Adakah tamadun kita baru bermula sekarang? Tentunya tidak sebab kita ada sejarah Nunuk Ragang yang hebat yang terakam melalui cerita-cerita lisan yang kita warisi daripada leluhur kita.


Saya sebagai salah seorang daripada anggota masyarakat KDM, sangat yakin bahawa kita sedang berada pada landasan yang betul bagi melestarikan kewujudan kita di muka bumi ini. Meskipun ada 'suara keraguan' pihak tertentu tentang upaya Gagarit do Dusun sebagai satu sarana pembelajaran bahasa KDM di sekolah-sekolah namun hal itu, pada hemat saya, berlaku kerana mereka belum mengenali  dan cuba mengenali Gagarit do Dusun. Dalam sebarang usaha kita selepas ini bagi menyebarluaskan pengetahuan tentang Gagarit do Dusun itu, pandangan yang optimis bahkan yang skeptikal terhadap Gagarit do Dusun ini perlu diambil kira. Melalui piisaan, pisompuruan, pogitatabangan, dan pisokudongan,  Gagarit do Dusun pasti dapat dipermantap dan disebarluaskan kepada generasi KDM yang ada. Kata orang tua-tua kita: Soira po'd sayahan o sudampapon? Inilah detiknya bagi kita miiso, misompuru, mogitatabang, dan misokodung bersandarkan falsafah mitayung pasi dan mogisosondih lihawah.

Alaid poimpasi nung aiso kolubukan,
Andang do matai aiso kaandaman,
Alaid tolohing nung aiso tanom,
Andang rumobuk aiso potungkuson do sinakagon.

Sesungguhnya, Gagarit do Dusun adalah harta yang kita akan wariskan kepada generasi KDM. Tamadun Mesir telah memberikan heroglif, Sumeria telah memperkenalkan ideogram, China pula menggunakan piktograf sementara tamadun Yunani  menggunakan Phoenicia. Kini, melalui anugerah yang disampaikan oleh Pencipta kepada Dr Mohd. Zakaria Ilyas, giliran kita berkongsi Gagarit do Dusun sebagai satu sumbangan abadi Kadazandusun terhadap ketamadunan manusia sejagat.

POUNSIKOU TAGAYO, DR MOHD. ZAKARIA ILYAS! 

(C) WITER GUNIK

Selasa, 5 Mei 2009

TADAU KAAMATAN PENGUCAPAN SYUKUR SECARA TRADISI

SAMBUTAN terhadap musim penuaian panen khususnya padi adalah satu jati diri kepada masyarakat bumiputera Borneo. Misalnya, KadazanDusun dengan Tadau Kaamatan, Kadayan dengan Abis Ngatam dan Iban/Bidayuh dengan Pesta Gawai. Di Brunei pesta menuai ini juga disambut dengan panggilan Adau Gayoh.  Di Kalimantan saudara kita dari suku Dayak tidak ketinggalan menyambut pesta ini dengan sambutan yang mereka panggil sebagai Naik Dango. Pertanyaan kita ialah apakah sambutan pesta menuai dalam pelbagai nama ini hanya relevan kepada penduduk di Borneo sahaja?

Penduduk di Southern Minnesota  meraikan sambutan pesta menuai dengan cara mereka sendiri; menganggap pesta menuai sebagai satu perayaan kudus (Sacred Harvest Festival) yang akan mengeratkan perpaduan masyarakat berkenaan.  Di Amerika Latin, penduduk asli Indian berkongsi anggapan betapa sambutan pesta menuai ini sebagai satu hari yang amat istimewa dalam hal pengucapan syukur dan hari berdoa sentiasa dirancang pada hari keempat dalam bulan November setiap tahun sejak 1949.

     
Puak asli di Afrika tidak ketinggalan dengan mengadakan sambutan kwanzaa yakni sambutan pesta kaamatan berdasarkan tradisi Afrika. Kwanzaa bermaksud 'buah pertama' dalam bahasa Swahili dan sambutan ini bermula pada 26 Disember dan berlangsung selama seminggu. Bagi penduduk Amerika Latin pula, diadakan Pesta Jagung Hijau yang disambut pada bulan purnama pertama serentak dengan penuaian pertama hasil pertanian jagung. Di Ghana pula, penduduk aslinya menyambut Pesta Keladi (Homowo) yang akan berlangsung kira-kira tiga hari. Sambutan ini dimulakan dengan upacara menghormati kerabat yang telah meninggal dunia. Acara lain termasuklah upacara didoakan oleh ketua dan makanan istimewa daripada keladi akan dihidangkan.

Bagaimana dengan kita masyarakat KadazanDusun pada bulan Mei yang identik dengan Sambutan Tadau Kaamatan? Pernahkah kita bertanya tentang wujud jati diri kita sebagai KadazanDusun atau kita cuba mengelakkan hal ini kerana kononnya sensitiviti politik? Apakah kita tahu bahawa leluhur kita pada zaman animisme mempercayai lima semangat yakni Kinorohingan, Rusod, Koduduwo, Tombiruo dan Rogon?  Apakah kita faham apa itu Bambarayon (Bambazon) dan kepercayaan  masyarakat tradisional petani bahawa, "tiada beras tiadalah kehidupan"?  Atau, apakah kita hanya terpesona dengan pangkis Bobolian semasa magavau atau terpegun melihat para sumandak kita  di atas pentas Runduk  Tadau (Unduk Ngadau)? Atau kita alpa dalam tawa sinis dan gelengan kepala kita melihat belia kita kegembiraan kerana 'aramai ti'?

Dari satu segi kita menjadi bangga kerana meskipun sebilangan 'ikon' dalam pesta menuai ini hanya bersifat simbol - misalnya bobolian dalam Tadau Kaamatan di Sabah-  namun kita dididik sebenarnya untuk menghormati tradisi nenek moyang kita. Tadau Kaamatan menjadi ruang dan peluang kepada masyarakat KadazanDusun mengenal satu lagi jati diri yang dipusakai sejak zaman berzaman. Anda mungkin seperti saya yang menolak kinomol, lihing, montoku, siopon atau yang sejenis dengan 'minuman tradisi' itu kerana kita tahu bahawa penolakan kita terhadap sebahagian daripada elemen yang 'kurang wajar' ini tidak akan menjadikan sambutan Tadau Kaamatan terencat.

   

Apabila melihat dan menyedari betapa sambutan pesta kaamatan ini sebenarnya satu sambutan yang bersifat universal  - meskipun tidak serupa dari segi acara sambutan- saya menjadi sedar betapa manusia dari pelbagai pelusuk dunia ini yang kehidupan tradisi mereka akrab dengan pertanian sentiasa berusaha menunjukkan cara pengucapan syukur mereka terhadap hasil tuaian yang diperoleh. Pada masa dahulu, pengucapan secara tradisional ini tentunya ditunjangi dengan kepercayaan terhadap penguasa primitif yang kini telah masing-masing kita terjemahkan Sang Pencipta mengikut kepercayaan agama masing-masing. Kita juga insaf betapa sambutan pesta menuai ini menyimpulkan falsafah kejayaan sebab berhasil menyelesaikan satu lagi tanggungjawab besar (menanam padi atau sebarang tanaman lain) yang akan diteruskan pula pada tahun berikutnya. Di samping itu, tidak kurang pentingnya ialah falsafah saling bermaaf-maafan terhadap sebarang salah dan silap yang mungkin telah dilakukan sepanjang kesibukan masing-masing sejak peringkat penanaman padi sehinggalah kepada penuaian padi.

Saudara-saudaraku, siapakah lagi yang akan berusaha mempertahankan tinaru bangsa kalau bukan kita sendiri? Mari renungkan kata-kata klasik Huguan Siou kita: "Gompiyo tokou no o tinaru tokou. Kada wilihai tataba koposion tokou."

Kotobian Tadau Kaamatan!

   

(C) WITER GUNIK