Isnin, 28 Mei 2012

UNDUK NGADAU TADAU KAAMATAN: MASIH RELEVAN?

APABILA bulan Mei menjelang, ketika lebih muda daripada usia sekarang, saya selalu memikirkan betapa masyarakat KDM terlalu gemar dengan pesta pora. Pemikiran itu menyebabkan saya menjadi dingin terhadap sambutan Tadau Kaamatan; saya bukanlah salah seorang daripada KDM yang teruja dengan kemeriahan Tadau Kaamatan. Jati diri Kaamatan yang ada sekarang bagi saya mengelirukan dan memberikan isyarat kebudayaan yang mengelirukan kepada generasi sekarang. Lebih kalut lagi kerana isyarat kebudayaan inilah yang diwar-warkan di media massa perdana dan kebanyakan media tempatan.

Salah seorang rakan menghantar SMS pada pagi Tadau Kaamatan (yang kemudiannya saya forwardkan kepada beberapa rakan rapat) yang berbunyi:

"Kuhulur salam bersama TAJAU, kumohon restu bersama PUSAS, tanda sayangku sejernih MONTOKU, setulus ikhlas seputih SAPOL; Kumohon ampun SEPULUH TIGA kerana salah dan silapku sekabut LIHING, sehitam STOUT; maaf kupinta sampai KALAPIK. Walaupun KEGUTAN kutetap ucapkan KOTOBIAN TADAU KAAMATAN 2012."

Kemesraan dan rasa persahabatan rakan-rakan dalam KDM pada musim Tadau Kaamatan memang lazimnya menggembirakan. Terima kasih meskipun saya bukanlah menyambut Tadau Kaamatan dalam erti kata yang sebenarnya.

Satu reaksi rakan-rakan yang bukan KDM menjelang Tadau Kaamatan yang biasa saya dengar ialah: "Tadau Kaamatan? Cuti? Aramai ti...." Saya sebenarnya sangat tersinggung dengan pernyataan seperti ini. Mengapa? Hal ini demikian kerana kata-kata itu mengandung prasangka betapa intimnya masyarakat KDM ini dengan minuman keras. Pada masa dahulu, ya. Sekarang? Tidak. Saya anti minuman keras KDM sebenarnya meskipun saya biasa dengan bau minuman tradisi KDM (saya berterima kasih kepada 'cara hidup' bapa saya yang telah merimbunkan perasaan anti minuman keras ini). Saya sentiasa menganggap diri saya sebagai generasi KDM yang menolak minuman keras seperti lihing, kinomol, montoku dan yang seumpamanya. Saya tidak menganggap satu kehilangan kendatipun minuman ini tidak disajikan setiap kali ada mitatabang atau majlis-majlis keramaian yang saya hadiri. Kita tidak wajar pula menyalahkan masyarakat lain di negara ini yang menghubungkan kita dengan minuman keras jika kita sendiri tidak bekerjasama memperbetul persepsi negatif itu.

Perkara kedua yang menyakitkan hati dan menjadi fokus tulisan ini ialah tentang penganjuran Unduk Ngadau. Ada sumber tertentu yang mengatakan bahawa meskipun pada masa kini Unduk Ngadau ini diterima umum sebagai jati diri KDM namun sebenarnya Unduk Ngadau ini sebenarnya bukan kebudayaan KDM. Mungkin penyelidikan yang lebih mendalam diperlukan bagi memastikan sama ada Unduk Ngadau ini benar-benar salah satu elemen tradisi dalam kebudayaan KDM atau sekadar 'keaiban terselubung' yang dibudayakan dengan maksud tertentu oleh penjajah dalam masyarakat KDM. Saya tidak pasti namun hal ini mungkin ada kebenarannya apatah lagi mengingat KDM sebagai warga Borneo yang cenderung pemalu. Saya sehingga kini sukar melihat ciri Kinomulok dalam diri peserta Unduk Ngadau yang ada. Perkara yang saya nampak hanyalah kelemahan generasi muda kita bertutur dalam bahasa KDM, kegagalan peserta Unduk Ngadau bercakap tentang aspek-aspek budaya KDM (termasuklah kegagalan bercakap tentang isu-isu kemanusiaan sejagat semasa) yang adakalanya dibauri skandal 'penajaan' oleh orang-orang tertentu terhadap peserta Unduk Ngadau.

Dalam pengertian yang lazim, Tadau Kaamatan merupakan 'satu pengucapan tradisi terhadap semangat padi yang dinamai sebagai "Bambarayon" atas tuaian yang diperoleh pada musim menanam padi pada musim berkenaan'. Pada masa kini, tafsiran itu mungkin berubah sedikit sebagai  'satu simbol pengucapan tradisi terhadap semangat padi yang dinamai sebagai "Bambarayon" atas tuaian yang diperoleh pada musim menanam padi pada musim berkenaan' . Benar, sambutan Tadau Kaamatan hanyalah simbol sebab masyarakat KDM sama ada Muslim atau Kristian tidak ada yang menyembah Bambarayon.

Dalam konteks masyarakat berbilang etnik di Malaysia, Tadau Kaamatan adalah hari memperkasa persefahaman dan kesatuan hati dalam masyarakat KDM. Tadau Kaamatan juga satu jati diri yang menunjukkan betapa KDM adalah masyarakat petani (mongindumo) yang telah bergelut dengan pertanian (bukan hanya menanam padi sawah/huma bahkan juga meliputi kegiatan pertanian lain).



Sekarang, mungkin kerana 'perasaan kehilangan terhadap jati diri', saya mempunyai persepsi yang agak berbeza tentang Tadau Kaamatan. Saya mula melihat Tadau Kaamatan sebagai salah satu daripada aspek budaya KDM yang wajar dihidupkan. Tidak syak lagi, Tadau Kaamatan adalah salah satu daripada saki baki kebudayaan KDM yang masih dapat kita lihat. Dunia bobolian kian punah lantaran dilema pertentangan antara kecintaan terhadap budaya VS kecintaan terhadap nilai keagamaan. Sedar atau tidak sedar, kita melihat betapa kebudayaan KDM yang biasa kita lihat di Sabah pada masa dahulu kian bertukar dengan unsur kebudayaan asing. Asing di sini merujuk kepada unsur kebudayaan bukan Borneo yang dahulunya tidak kita nampak. Adakalanya kita keliru (mungkin dikelirukan lebih tepat, kata sebahagian rakan) tentang konsep Kebudayaan Kebangsaan. Bagi yang fanatik, mereka akan melihat berlaku 'penyingkiran halus' terhadap elemen kebudayaan KDM. Unduk Ngadau, sebagai acara popular dalam sambutan Tadau Kaamatan, wajar pula dilihat secara lebih kritis dan tidak diterima seadanya sahaja.

Saya tertanya-tanya apakah ada dalam kalangan peserta Unduk Ngadau itu yang kenal apa itu karabou, mindagus, mamaradu, linggaman, tangkob, terutip, basung, saab? Masih fahamkah mereka akan apa yang dimaksudkan sebagai tempurion, mongomot, mongogik, meniri? Masih berupayakah peserta Unduk Ngadau ini menggunakan tukadan, dan haraban dalam pertuturan? Masih mampukah mereka menjawab sundait jika ditanya? Masih kenalkah mereka tentang sugawil? Berupayakah mereka bercerita tentang watak-watak dalam cerita dongeng tradisi kita?

Unduk Ngadau, pada hari ini, tidak lebih daripada satu peragaan terhadap kejelitaan wanita KDM. Majoriti peserta hanya bersandarkan rupa paras yang jelita. Sebahagian besar daripada mereka pandai pula menyebut tentang legenda Huminodun namun mereka sendiri tidak memahami apa yang mereka katakan.  Lebih malang lagi, pernah berlaku kes, peserta Unduk Ngadau tidak pun mempunyai darah KDM! Hendak mengharapkan mereka pernah menanam padi pastilah mimpi yang indah! Koporis!  Ada pula bisikan daripada sahabat yang menyatakan ada juga peserta Unduk Ngadau ini yang menjadikan pertandingan Unduk Ngadau ini bagi mendapatkan calon suami dalam kalangan VIP.

Penganjur Tadau Kaamatan di pelbagai peringkat di Sabah perlu mengambil pendekatan yang lebih positif bagi memartabatkan Tadau Kaamatan pada tempat yang sepatutnya; tempat yang lebih dihormati oleh masyarakat kita sendiri dan juga saudara kita yang bukan keturunan KDM. Para peserta Unduk Ngadau sebagai tumpuan popular dalam sambutan Tadau Kaamatan sepatutnya melalui pemilihan yang ketat dan perlu mempunyai dan diuji pula berkenaan pengetahuan dan amalannya tentang tradisi, bahasa, budaya dan termasuklah isu-isu semasa (politik, ekonomi, dan sosial) yang membelenggu masyarakat KDM yang memerlukan keprihatinan masyarakat KDM dan pihak-pihak yang berkenaan.

Secara peribadi, saya hanya akan teruja mahu menyaksikan Unduk Ngadau yang pandai mongomot dan penuh keperibadian murni sebagai sumandak yang mewakili keperibadian murni sumandak KDM yang dibanggakan sejak dahulu. Saya juga pasti bersemangat mahu mengenali Unduk Ngadau yang pandai bercakap mana-mana dialek KDM dan tahu pelbagai kosa kata yang ada kaitan dengan dunia pertanian yang memang menjadi roh asal kewujudan Tadau Kaamatan.   Bukan Unduk Ngadau yang 'nombor satu' mokirayou di atas pentas dengan kemanjaan palsu, gerak yang memualkan, dengan senyuman kaku dan lirikan mata yang nyalang memalukan. Kadang-kadang menyakitkan juga apabila melihat 'kedudukan siku' dan gerak kaki semasa mereka menari Sumazau pun tidak betul.

Unduk Ngadau sepatutnya menjadi 'duta' bagi masyarakat KDM yang mampu mengangkat nama KDM dan  bukannya rupawan yang kemudiannya dieksploitasi menjadi teman menari VIP pada majlis-majlis sosial kononnya atas nama 'tanggung jawab ratu' dan 'kebudayaan'. Janganlah terperangkap dalam kemilau mahkota Unduk Ngadau sehingga lupa akan obligasi sebagai wanita suri teladan yang membawa nama KDM. Miagal di boros di haraban tokou, kada i toroitan kou do binolou bolobou; ada kesempatan terbaik bagi melakukan yang terbaik bagi mengangkat nama KDM namun gagal kerana 'agayo tulu' setelah menjadi Unduk Ngadau.

Seorang sahabat yang lebih kejam dan sinis bertanya: "Apakah yang menyertai  Unduk Ngadau itu masih sumandak dalam erti kata yang sebenarnya? Sumandak yang serba serbi masih murni dan terjaga?"

Tobpinaiku sakag KDM, siapalah saya bagi mencadangkan tafsiran baru, dan pembaharuan terhadap sambutan Tadau Kaamatan. Mari menjana sebanyak-banyak idea bagi mengembalikan salah satu tataba Nunuk Ragang melalui sambutan Tadau Kaamatan.

Kotobian Tadau Kaamatan 2012.


(C) WITER GUNIK

Tiada ulasan: