
Salute kepada Pengetua SMK Lohan, Ranau, sekolah tempat Jarmella sedang belajar iaitu Tuan Majus Munsing dan barisan jurulatih sukan sekolah berkenaan atas kejayaan melahirkan seorang lagi Ratu Pecut tanah air. Kejayaan adik Jarmella Washif itu sebenarnya berjaya membuktikan bahawa keupayaan potensi seseorang pelajar dapat dirancang sedemikian rupa sehingga mencapai peringkat terbaik dan terarah kepada kecenderungan semula jadi pelajar itu. Peranan ayahnya, Encik Washif Jefri yang juga salah seorang jurulatihnya wajar dijadikan teladan kerana berjaya menyemai dan mengekalkan minat bersukan dalam diri Jarmella Washif sejak kecil sehinggalah sekarang. Sebagai ayah kepada Ratu Pecut baru ini, sudah tentu Encik Washif kini lebih yakin menyasarkan kejohanan pada skala yang lebih besar untuk Jarmella Washif.
Saya tinggal di kawasan SMK Lohan dan setiap hari melihat dedikasi guru-guru sukan SMK Lohan pagi dan petang bertungkus lumus melatih para atletnya. Seawal jam lima pagi setiap pagi, sehingga ke hari ni, atlet SMK Lohan sudah berada di padang untuk siri latihan kecergasan terancang yang mereka usahakan. Saya kurang cenderung bagi acara padang dan disebabkan ketidakcenderungan ini saya sentiasa berasa kagum yang tidak sedikit dengan dedikasi mereka yang berlatih tak kenal jemu termasuk pada masa cuaca yang mendung dan hujan lebat.
Saya suka untuk mencatatkan semula ulasan Pengetua SMK Lohan, Tuan Majus Munsing sebaik sahaja tujuh atlet SMK Lohan memperoleh emas dalam Kejohanan MSSM peringkat Negeri di Kompleks Sukan Likas Sabah akhir bulan Mac yang lalu. Menurut beliau, “Ibu bapa memainkan peranan yang penting. Selain itu, persediaan awal juga memberi sumbangan kepada kejayaan atlet. Usaha mencapai kecemerlangan dalam sukan, sama halnya dengan berusaha dalam akademik. Jika anda mahu mencapai keputusan yang baik dalam pembelajaran anda, anda mesti belajar bersungguh-sungguh; jika anda mahu mencatat kecemerlangan dalam sukan anda perlu berlatih sepanjang masa."

Teruskan Jarmella Washif, warga Ranau ingin melihat anda menjadi 'lebih besar' dalam dunia sukan yang anda minati dan cintai ini!
Tahniah Kontinjen Sabah!
Tahniah Jarmella Washif!
Tahniah para guru SMK Lohan!
Tahniah Pengetua SMK Lohan!
Benar, Ranau hebat bah! Kita kini ada Ratu Pecut!
(C) WITER GUNIK
Tiada ulasan:
Catat Ulasan