Selasa, 12 Mei 2009

TAKEN: FILEM KELUARGA PENUH AKSI!


"I don't know who you are. I don't know what you want. If you are looking for ransom, I can tell you I don't have money. But what I do have are a very particular set of skills; skills I have acquired over a very long career. Skills that make me a nightmare for people like you. If you let my daughter go now, that'll be the end of it. I will not look for you, I will not pursue you. But if you don't, I will look for you, I will find you, and I will kill you."   
     
DIALOG di atas ialah salah satu dialog yang paling berkesan daripada filem "Taken" lakonan Liam Neeson. Filem ini dihasilkan sebagai sebuah produksi Perancis (yang berbahasa Inggeris) yang mantap sebagai buah tangan Luc Beeson sebagai produser yang bergabung tenaga dengan Pengarah Pierre Morel serta  penulis lakon layar, Michel Abramowicz. 
     
Amat jelas, Taken dihasilkan untuk pencinta filem keluarga yang turut sarat dengan elemen suspens dan aksi ala perisikan James Bond. Liam Neeson sebagai teraju utama filem ini ialah salah satu ikon Hollywood yang telah memberikan nyawa kepada filem-filem blockbuster seperti Les Misérables,  Batman Begin, Schindler's List  dan Rob Roy.

Kelebihan Liam Neeson sebagai pelakon ialah wajah versatilenya yang dapat dibentuk melakonkan watak apa sahaja. Siapakah yang menyangka watak Valjean yang pendiam dalam Les Misérables itu kini berubah menjadi 'orang tua' perisik yang kecergasan dan kecerdasannya mengalahkan para penjenayah yang relatif lebih muda itu. Benar, anda akan mengakui betapa pengalaman masih ada tempat  dan ruang yang sangat bermakna dalam kehidupan ini. 

Filem ini mengisahkan Bryan Mills (Liam Neeson), bekas ejen CIA yang meletak jawatan dan berhijrah ke Los Angeles supaya lebih rapat dengan anak remajanya, Kim (Maggie Grace). Bryan Mills ini telah berpisah dengan isterinya Leonore (Famke Janssen) yang telah berkahwin dengan seorang hartawan (Xander Berkeley).  Perpisahan antara Mills dengan Leonore dalam filem ini banyak dipengaruhi oleh kesibukan Mills dahulunya sebagai perisik. Penghijrahan itu sebenarnya satu usaha untuk menebus semula masa berkualiti yang tidak dinikmatinya bersama anaknya semasa dia masih bertugas sebagai perisik.

Pada hari ulang tahunnya yang ketujuh belas, Kim dan kawan baiknya Amanda (Katie Cassidy) melakukan perjalanan jauh ke Paris. Syarat yang dikenakan Mills kepada Kim adalah menghubunginya sebaik sahaja tiba di tempat tujuan. Nasib mereka malang sebab mereka telah diculik oleh rangkaian penjenayah Albanian yang menjadikan kegiatan menyeludup gadis-gadis remaja sebagai komoditi bernilai jutaan dollar; mangsa culik itu disasarkan  sebagai perempuan simpanan dan hamba seks kepada orang-orang kaya yang gilakan gadis-gadis muda.  Penculikan itu mendorong Mills berkejar ke Perancis berbekalkan rakaman suara penculik Kim yang sempat dirakamnya dengan bantuan Kim yang kebetulan melihat rakannya Amanda diculik. Kerjasama Kim mematuhi arahan ayahnya meskipun hanya melalui telefon telah menjadi titik tolak misi penyelamatan terhadap dirinya oleh Mills. Dengan kepakaran yang diperoleh hasil daripada pengalaman bertahun-tahun sebagai perisik CIA, Mills menjejaki Kim.  Demi misi Mills mendapatkan semula anaknya itu, dia menggunakan apa juga cara bagi mendapatkan maklumat yang boleh membawanya kepada penculik Kim. 

Meskipun saya sendiri agak lambat mendapat peluang menonton filem ini dan anda juga (dengan andaian selepas ini anda juga akan berusaha mendapatkan peluang menonton filem ini), anda akan mendapati anda mempelajari banyak perkara berharga dalam filem ini. Kasih sayang seorang ayah, perceraian keluarga kerana hambatan tugas. Seperkara yang jarang dapat kita lihat ialah usaha pengkarya menonjolkan hubungan baik antara ayah sebenar dan ayah tiri.  Memang ada persaingan sedikit terutama ketika babak pemberian hadiah hari jadi daripada ayah kandung dan ayah tiri kepada Kim namun ini tidak berlanjutan. Ketika masalah timbul, dapat dikatakan ayah kandung dan ayah tiri ini bekerjasama demi menggembirakan Kim yang disayangi. Dalam konteks mendapat perhatian daripada dua ayah seperti yang dipaparkan dalam sikap Mills dan suami baru Leonore, pada ketika ini saya terfikir betapa beruntungnya mempunyai 'dua ayah'!

Kita disuguhkan dengan persoalan dan amanat betapa kasih sayang perlu dikongsi dan diberikan secara berhati-hati. Dalam konteks anak-anak, kemanjaan yang membabi buta perlu sentiasa dicurigai terlebih dalam persekitaran yang sukar untuk dinujum kemurniannya lagi ini. Ibu bapa juga dididik supaya tidak panik apabila menghadapi suasana genting terutama yang melibatkan keselamatan anak-anak; tidak terlupa bahawa ada kelebihan-kelebihan sedia ada yang dapat diperguna untuk menyelesaikan permasalahan yang dihadapi. Mungkin kita perlu meneladani sikap Mills yang melihat dunia moden ini dengan penuh kecurigaan. Tuturnya dalam filem ini, "I know the world, sweetie."

Mungkin tidak salah jika saya mengajuk dialog watak antagonis dalam filem ini, Marko (Arben Bajraktaraj) yang menggumam: "Good luck!" Saya ulangi dialog itu kerana mengharapkan anda dapat menghayati elemen, nilai dan mesej yang terdapat dalam filem ini. Selamat menonton!

"Good luck!"
(C) WITER GUNIK

Tiada ulasan: