Khamis, 21 Mei 2009

RISAU YANG MENENANGKAN!

SAYA berasa tersentuh hati dengan SMS salah seorang daripada pelajar saya yang mengatakan betapa dirinya risau dengan 'takdirnya' memasuki Tingkatan 6. Alasannya dia takut dirinya tak dapat berbuat yang terbaik dan takut menjadi salah seorang daripada X-calon STPM yang gagal. Setamat SPM pada tahun lalu, pelajar yang sama turut mengungkapkan kerisauannya dek takut keputusannya akan kecundang. 

Anehnya, dengan pelajar seperti ini saya sebaliknya berasakan kurang yang perlu saya risaukan. Mereka inilah yang lebih terbukti lebih dedikasi, bersungguh-sungguh dalam hal memperkasa persediaan mereka mencipta kejayaan untuk diri mereka sendiri. Mereka inilah yang lebih fokus terhadap peluang akademik yang mereka ada. Mereka inilah juga yang lebih bijaksana dalam memilih bidang kerjaya mereka sesuai dengan minat dan kecenderungan mereka. 

Sesungguhnya, ketakutan tidak semuanya negatif (meskipun kebanyakan ketakutan memang negatif). Perasaan takut sejak sekian lama telah difahami sebagai satu anugerah perasaan yang sangat berpengaruh kuat dalam psikologi manusia bagi membangkitkan motivasi kendiri manusia.  Dalam kajian psikologi,  secara umum motivasi mempunyai tiga tipa iaitu Motivasi Ketakutan (Fear Motivation), Motivasi Imbalan (Incentive Motivation) dan Motivasi Sikap (Attitude Motivation).  Saya selalu percaya tiga motivasi ini bergerak serentak dalam membentuk kekuatan dalaman seseorang pelajar. Misalannya, pelajar saya tadi menyatakan ketakutannya terhadap kemungkinan dia gagal. Ini bermakna, dia  dapat membayangkan keadaannya pada masa hadapan jika dirinya gagal. Dia juga dapat menjangka kesan positif sebagai imbalan jika dirinya belajar  bersungguh-sungguh dan fokus kepada  usaha meraih cita-citanya. Oleh yang demikian, dia akan mengamalkan sikap-sikap positif  yang akan membantunya sukses dalam akademiknya. Tiga jenis motivasi yang bergerak serentak ini sudah pasti akan  menjana keberhasilan luar biasa yang terlihat daripada 'kesengsaraan/jerih payah' pelajar berkenaan berusaha memajukan diri. Benar sekali kata-kata indah yang menyatakan '... kesengsaraan itu menimbulkan ketekunan, dan ketekunan menimbulkan tahan uji dan tahan uji menimbulkan pengharapan. Dan pengharapan tidak mengecewakan....'

Dalam konteks mendidik anak-anak dalam keluarga, ketakutan bukanlah alat yang sentiasa digalakkan dalam memotivasikan anak. Bagaimanapun, setiap anak-anak perlu dibimbing agar faham maksud ketakutan dalam erti yang positif sehingga daripada pemahaman terbimbing itu mereka mampu mengenal ketakutan diri sendiri dan akhirnya menegur serta memperingat diri sendiri tentang hal-hal positif yang perlu mereka amalkan untuk berjaya. Benar, amalan positif akan sangat membantu sesiapa pun juga untuk menggunakan upaya, potensi dan bakat peribadi  ke arah kecemerlangan.  
Berbalik kepada pelajar yang saya sebutkan pada awal tulisan ini, dia salah seorang pelajar yang meraih kombinasi cemerlang dalam SPM 2008 dan hanya kerana rezekinya belum sampai, namanya tidak tersenarai sebagai pelatih Institut Perguruan Malaysia bagi ambilan Julai 2009. Saya yakin, jika dia dapat mengekalkan 'perasaan risaunya yang menenangkan' itu, pada suatu hari nanti dia pasti akan berjaya juga menempatkan dirinya sebagai salah seorang warga pendidik seperti yang diimpikannya.  

Tabik untukmu, Aquarian Girl!



(C) WITER GUNIK

Tiada ulasan: