Memaparkan catatan dengan label Kementerian Pelajaran. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kementerian Pelajaran. Papar semua catatan

Isnin, 14 Mei 2012

HARI GURU PERLU DIISYTIHARKAN SEBAGAI CUTI AWAM


16 MEI 2012. Sekali lagi putaran masa membawa kita ke tarikh 16 Mei; tarikh keramat bagi meraikan golongan pendidik di negara kita.  Usman Awang dalam sajak beliau yang berjudul, Guru O Guru, mengungkapkan dengan puitis:

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar

Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
 Budi yang diapungkan didulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.


Hari Guru telah mula diisytiharkan pada tahun 1972. Tarikh 16 Mei telah menjadi pilihan sebagai tarikh rasmi Hari Guru sempena peristiwa  penerimaan cadangan-cadangan Laporan jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) oleh Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) pada 16 Mei 1956. Laporan yang kemudian dikenali sebagai Laporan Razak itu akhirnya telah  menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan.

Sambutan Hari Guru menggariskan beberapa objektif yakni menitikberatkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat;  menarik perhatian ibubapa, murid dan orang ramai kepada peranan penting kaum guru dalam masyarakat Malaysia;   memupuk perasaan perpaduan ikhtisas dan muhibah di antara guru; meninggikan martabat dan taraf guru dalam masyarakat; memberi peluang untuk memajukan kecekapan guru melalui seminar-seminar, persidangan-persidangan, dan sebagainya yang diadakan pada Hari Guru; dan menilai secara objektif peranan guru dengan berlatarbelakangkan Malaysia dan mengambil langkah-langkah supaya peranan itu lebih berkesan.

Agak berbeza dan aneh dengan sambutan hari-hari istimewa lain, Hari Guru tidak diwartakan sebagai salah satu daripada cuti awam di Malaysia.  Pada hemat saya secara peribadi, Hari Guru, sesuai dengan statusnya yang memartabatkan kerjaya dan sumbangan guru terhadap pembangunan sumber manusia di negara kita, sepatutnya masyarakat dilibatkan dalam sambutan hari yang amat penting ini. Apakah Hari Guru tidak diisytiharkan sebagai cuti awam kerana sekolah sudah pun mempunyai cuti persekolahannya yang tersendiri? Ini salah alasan yang popular namun sebab sebenar tidak pernah diketahui. Persoalannya, Hari Guru selalu berlangsung secara senyap dan lazimnya hanya diketahui oleh kalangan  guru sahaja.   Sejak 1972 hingga 2012, guru-guru menyambut Hari Guru secara bersendirian.  Tanpa niat memperlekeh mana-mana pihak, timbul persoalan, apakah Hari Guru kurang penting berbanding hari-hari lain yang diisytiharkan sebagai cuti awam?

Tema-tema Hari Guru sejak 1972 hingga 2012 seperti yang dicatatkan berikut ini sudah terang lagi bersuluh  satu pengiktirafan tentang peranan dan jasa guru terhadap negara.

1. 1972 Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara
2. 1973 Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan
3. 1974 Peranan Guru Dalam Zaman Sains dan Teknologi
4. 1975 Guru dan Pembangunan Negara
5. 1976 Pendidikan Moral Dalam Zaman Kemajuan Pendidikan
6. 1977 Dedikasi dan Disiplin Asas Kemajuan Pendidikan
7. 1978 Guru Pembentuk Generasi Akan Datang
8. 1979 Murid Sejahtera Negara Jaya
9. 1980 Pendidikan Teras Perpaduan Negara
10. 1981 Pengorbanan Guru Kejayaan Rakyat
11. 1982 Ke Arah Kecekapan Guru Dan Pendidikan Bermutu
12. 1983 Kepimpinan Berteladan Teras Pendidikan
13. 1984 Kepimpinan Berteladan Kesempurnaan Pendidikan
14. 1985 Guru dan Masyarakat Asas Kemajuan Pendidikan
15. 1986 Pendidikan Teras Nasionalisme
16. 1987 Pendidikan Ke Arah Kesejahteraan Insan
17. 1988 Guru Pengasas Budaya Membaca
18. 1989 Guru Pembina Budaya Ilmu
19. 1989 Guru Pembina Budaya Ilmu
20. 1990 Pendidikan Bermutu Masyarakat Sejahtera
21. 1991 Ke Arah Pendidikan Cemerlang
22. 1992 Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan
23. 1993 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
24. 1994 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
25. 1995 Permuafakatan dan Perpaduan Menjayakan Wawasan
26. 1996 Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia
27. 1997 Guru Bestari Sekolah Bestari
28. 1998 Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama
29. 1999 Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang
30. 2000 Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan
31. 2001 Memartabatkan Profesion Keguruan tanggungjawab Bersama
32. 2002 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
33. 2003 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
34. 2004 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
35. 2005 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
36. 2006 Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan
37. 2007 Guru Penjana Modal Insan Cemerlang
38. 2008 Guru Cemerlang Negara Terbilang
39. 2009 Guru Pembina Negara Bangsa
40. 2010 Guru Pembina Negara Bangsa
41. 2011 Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara
42. 2012 Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara

Persoalannya, apakah intipati tema-tema di atas tidak melayakkan guru diberi satu cuti khas sempena Hari Guru? Semua guru maklum bahawa tugas guru itu murni dan tanggungjawab yang semurni ini kini berhadapan dengan pelbagai cabaran yang dengan akur dipikul oleh para guru. Janganlah bercerita tentang cuti semester kerana pada cuti semester ini pada masa ini sudah jauh berbeza dengan cuti guru sepuluh tahun yang lampau. Pada masa cuti pun guru-guru, pada hari ini, proaktif dengan pelbagai program, misalnya motivasi,  kelas tambahan intensif, gerak kerja kokurikulum dan kursus. Benarlah ungkapan, 'guru umpama lilin yang membakar diri'; ungkapan yang dianggap paling tepat mewakili kerjaya guru.  Dengan segala dedikasi dan pengorbanan itu, amat malang kerana masih ada dalam kalangan masyarakat yang menganggap tugas guru ini semudah melentur plastisin!

Mungkin satu hari cuti khas sempena hari guru perlu dipertimbangkan apatah lagi dalam dunia pendidikan sekarang, beban yang terpaksa dipikul oleh para guru tidak lagi sama seperti dahulu. Sesungguhnya, tanggungjawab yang dipikul oleh golongan guru pada masa kini amat berbeza dengan tanggungjawab guru 10 tahun dulu. Sesuai dengan itu juga, secara peribadi juga, mengisytiharkan 16 Mei sebagai Cuti Awam akan menyedarkan masyarakat betapa guru sememangnya salah satu daripada tulang belakang dan tunjang yang amat penting bagi negara kita. Pengisytiharan 16 Mei sebagai cuti awam diyakini akan turut mengubah persepsi suram masyarakat yang 'terlupa' atau 'buat-buat lupa' tentang jasa guru. Lebih teruk lagi, ada dalam kalangan masyarakat yang tidak tahu pun tarikh Hari Guru. Sekali lagi pada hemat saya, dalam dunia sekarang, tidak salah menjadikan 16 Mei sebagai Cuti Awam kerana guru-guru di Malaysia memang layak untuk memperoleh penghargaan itu.

Sesungguhnya, dengan tulisan ini,  tidak terniat sama sekali bagi saya memperlekeh keguruan dan keinsanan golongan guru.  Saya guru kerdil dan salah seorang daripada jutaan warga guru yang percaya dengan pendapat William Arthur Ward yang mengatakan: "The mediocre teacher tells. The good teacher explains. The superior teacher demonstrates. The great teacher inspires."

Selamat Hari Guru untuk semua guru yang pernah mendidik saya.

Selamat Hari Guru untuk semua rakan guru di Sabah.

Selamat Hari Guru untuk semua rakan guru di Malaysia.

Kita mengharapkan banyak keajaiban sempena Hari Guru bagi tahun 2012 ini.




(C) WITER GUNIK

Sabtu, 31 Oktober 2009

SUDAH SEBULAN AIKIDO DI KOTA KINABALU

HARI ini penghujung Oktober 2009. Kira-kira sebulan yang lalu (1 Oktober) bertempat di Bilik Aerobik Tingkat 1, Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu, kelas aikido bermula di Kota Kinabalu. Kelas perintis di Kota Kinabalu ini hanya dihadiri oleh kira-kira sepuluh orang yang 'dimeriahkan' dengan kehadiran aikidoka dari dojo aikido di Sandakan. Dojo aikido di Kompleks Sukan Likas ini merupakan aliran Aikikai, salah sebuah daripada aliran 'tegar' dalam dunia aikido.
     
Bersama-sama dalam sebuah kelas pemula seperti itu adalah kebanggaan yang sukar untuk diungkapkan. (Sebenarnya, ada sebuah lagi aliran aikido yang telah lebih awal berada di Sabah - beroperasi kira-kira 3 tahun lalu -  iaitu Yoshinkan Aikido dan masih aktif sehingga kini. Ini pun saya tak dapat ikut sebab maklumat ini hanya saya peroleh selepas saya mendaftar sebagai aikidoka di bawah payung Aikikai).

Saya masih ingat, saya mengenali aikido sejak 1994 melalui buku O Ratti 'Aikido and the Dynamic Sphere', buku yang saya pinjam dan pinjam beratus kali sebelum saya membeli buku sendiri buku ini di Wisma Merdeka. Saya memang terpesona dengan gerak aikido yang saya rasa 'brilliant' dalam mencipta ruang, gerak dalam janaan harmoni antara uke dengan nage. Mana-mana perpustakaan yang ada peluang untuk saya jejaki, saya mencari buku berkenaan aikido dan (maaf kepada penulisnya!) saya  fotostat. Saya bahkan pernah meminta adik saya yang sedang belajar di UPSI suatu masa dulu mendapatkan mana-mana buku berkenaan aikido dan memfotostatnya untuk saya. Apabila ke mana-mana kedai buku, saya mencari buku tentang aikido dan membeli (malangnya tidak banyak dijual!).

Satu-satunya penyesalan saya ialah kesukaran untuk menyertai aikido semasa sedang belajar di UPM (tiada aikido di UPM pada masa itu) sedangkan Shudokan Malaysia Honbu Dojo di kawasan The Mines Shopping Centre di Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan amat dekat dengan keberadaan saya.  Pelajar - resmi pelajar saku lazimnya kerap kekeringan! Oleh yang demikian selepas sedemikian lama, apabila Kelas Aikido diwujudkan di KK, saya tidak mengambil masa yang lama untuk mengambil keputusan. Sempai Kenny ketika saya hubungi bertanya: "Kelas Aikido mula malam ini: 7:30 PM di Kompleks Sukan Likas. You dapat datang?"

Begitulah, saya 'melarikan' kereta kira-kira 120 kilometer dari Ranau menuju ke Kompleks Sukan Likas dengan keterujaan luar biasa (yang saya masih rasakan sehingga kini), singgah mengambil adik saya di Tobobon dan ke sana bersama-sama. Sejak itu, sudah menjadi jadual bagi saya akan berada di Kota Kinabalu pada Khamis malam dan Sabtu petang.

   

Apabila memijak tatami di dojo kali pertama, maka saya tahu saya sedang melibatkan diri dalam satu seni yang sudah bertahun-tahun (saya fikir) intim dengan hati saya. Kalau sebelum ini saya memikirkan saya sudah faham waza aikido melalui buku dan peniruan melalui visual Youtube, maka setelah berada dalam latihan, saya berasakan betapa kerdilnya saya dengan 'perasan' dan 'perasaan' saya. Tidak sama halnya cuba berlatih menggunakan buku atau visual video dengan adanya bimbingan jurulatih.

Kekaguman demi kekaguman. Keterujaan yang bertali arus. Mudah-mudahan saya sentiasa dengan keterujaan.    Saya hanya dapat mengatakan: Betapa gembira, bangga dan bahagia dapat menggunakan peluang melakukan sesuatu yang positif,  kita suka dan dalam jangkauan minat kita.


(C) WITER GUNIK

Isnin, 18 Mei 2009

REMAJA WANITA DAN PENCAK BELA DIRI


KEJADIAN rogol melibatkan dua orang remaja perempuan bersaudara (sepupu) yang dirogol secara bergilir-gilir oleh sembilan orang lelaki di sebuah bangsal getah berhampiran Pusat Perkelahan Lata Ulu Lawin, Grik  dekat sini, 13 Mei 2009 yang lalu amat mengejutkan kita.  

Dalam musibah itu, Berita Harian melaporkan (19 Mei 2009) bahawa mangsa yang masing-masing berusia 16 dan 17 tahun keluar dari rumah keluarga mereka di Kati, Kuala Kangsar apabila seorang daripadanya menghubungi teman lelakinya untuk mengajak makan di pekan Lenggong dan dibawa membonceng motosikal oleh teman lelaki mangsa dan rakannya. Malangnya, mereka dibawa ke Lawin Selatan, Grik sejauh lebih 50 kilometer dari rumah mereka. Sumber polis berkata, apabila tiba di bangsal ladang getah itu kira-kira jam 10.30 malam, kedua-dua gadis berkenaan dirogol teman lelaki dan rakannya. Beberapa ketika kemudian, tujuh lagi lelaki yang menaiki motosikal tiba di situ dan merogol mereka secara bergilir-gilir. 

Laporan rasmi  oleh Datuk Chor Chee Heung (Timbalan Menteri Dalam Negeri) di Dewan Negara pada 2 April  2009 menyatakan bahawa kes rogol di negara ini telah meningkat 300 peratus. 

Pertambahan itu merujuk kepada kes rogol pada tahun 2007 yakni sebanyak 1,241 kes dan mendadak mencapai 4,959 kes bagi tahun 2008. Dalam dua bulan pertama bagi tahun 2009 ini sahaja, sebanyak 769 kes rogol telah dilaporkan. Tidakkah ini satu petanda awal tentang akan berlakunya sekali lagi pertambahan luar biasa dalam kes rogol di negara kita bagi tahun 2009?    Statistik tersebut merupakan igauan ngeri untuk semua rakyat Malaysia yang berfikiran waras.  Benarkah isu rogol seolah tidak mempunyai penyelesaiannya? Jika benar, siapakah yang sepatutnya dibebankan dengan kegagalan usaha pencarian penyelesaian tersebut? 

Kelemahan di pihak wanita yang selalu dibangkitkan ialah:  a) kecenderungan wanita remaja sekarang untuk keluar malam; b) sikap dan perasaan mudah percaya terhadap teman lelaki; dan c) terpedaya kerana pengaruh ubat khayal seperti dadah. Sesungguhnya, tiga perkara ini wajar dijadikan sebagai alasan bagi melihat persoalan pokok dalam insiden itu.

Dalam pada itu, timbul pula pertanyaan: Apakah kejadian itu berlaku jika kedua wanita malang itu mengetahui cara mempertahankan diri?  Bagaimanakah wanita yang kudratnya lemah mampu menyelamatkan diri apabila berhadapan dengan ancaman lelaki durjana? Jawapannya ialah dengan memiliki pengetahuan pencak bela diri. Sama ada pencak bela diri itu silat, shorinji kempo, karate, taekwondo, aikido, hapkido atau sebarang 'pencak yang lain', yang utama di sini ialah mereka mampu mempertahankan dan menyelamatkan diri.

Kes rogol melibatkan pelaku dan mangsa remaja bukan isu baru. Seruan tentang betapa pentingnya mempelajari pencak bela diri juga bukan baru. Bagaimanapun, masyarakat kita kurang memberi perhatian yang khusus. Hal ini mungkin berlaku kerana kita beranggapan yang terlibat itu bukan kita. Kita menjadi lupa betapa dunia sekarang berbeza dengan dunia 10 tahun yang lalu. Nilai-nilai kemanusiaan sudah kian terhakis. Nafsu kebinatangan mengaburi mata sehingga adakalanya kita terkejut pelaku terhadap kejadian rogol ini melibatkan pihak yang ada kaitan darah dengan mangsa rogol itu sendiri. Insiden rogol yang disebutkan di atas merupakan satu contoh kejadian 'rogol secara berkumpulan', perkara yang jarang kita dengar sebelum ini dalam masyarakat kita. Pengaruh media massa yang kini sukar ditapis dan dibendung pengaruhnya telah menumbuhkan 'pengikut jahil' terhadap perkara yang sebelum ini hanya kita dapat dengar dan mungkin tatap di kaca televisyen. 

Mungkin agak keterlaluan meminta Kementerian Pelajaran mewajibkan pelajar wanita memilih pencak bela diri sebagai kegiatan kokurikulum. Bagaimanapun, jika hal ini satu-satunya jalan akhir bagi membantu menjaga keselamatan dan kebajikan para wanita remaja kita, pada hemat saya, opsyen ini harus diberi perhatian yang mendalam.

Kita tidak nafikan bahawa kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia dan badan-badan agama di negara ini telah dan sentiasa berusaha menanamkan nilai-nilai murni termasuklah nilai menghormati wanita. Perkara yang selalu dibincangkan di kedai-kedai kopi ialah: apakah usaha tersebut gagal?

Tanpa menafikan pengaruh faktor-faktor 'lain' terhadap peningkatan kes rogol, ibu bapa dan guru diharapkan mendorong anak-anak mereka untuk menyertai organisasi pencak bela diri di sekolah atau di kawasan tempat tinggal. Dunia ini semakin kasar dan hilang pertimbangan moral dan akhlak. Bahan lucah dapat dicapai oleh anak-anak dengan mudah dan lebih kerap di luar pengetahuan golongan tua. Perkara yang dikejar kebanyakannya menjurus kepada kekayaan material dan keseronokan hidup semata sehingga adakalanya keghairahan terhadap dua perkara ini memaksa mereka menepis nilai-nilai ketimuran yang pernah leluhur kita banggai. Memingit anak-anak di rumah sebagai cara 'sebelum merdeka' untuk mempertahankan kemurnian anak-anak adalah tidak praktikal pada masa sekarang.  Dengan kerencaman dunia sekarang, kita juga tidak dapat menjamin mereka akan sentiasa bersama-sama teman apabila berada di luar; akan ada masa mereka terpaksa menguruskan sesuatu seorang diri tanpa kehadiran ibu bapa atau rakan-rakan.

Apalah gunanya jika anak yang kita jaga sebaik mungkin sejak kecil tiba-tiba dikhabarkan ditemui dalam keadaan pengsan (atau meninggal dunia!) kerana diperkosa lelaki durjana? Kepada anak-anak, ibu bapa dan guru-guru sudah sewajarnya menanamkan nasihat agar sentiasa berwaspada hatta terhadap orang yang dikenali. Pada hemat saya, kewanitaan seseorang perempuan tidak akan terjejas hanya kerana dia pandai menendang atau menumbuk. Jika kaedah karate itu terlalu kasar pada anggapan kita untuk anak gadis kita, mengapa tidak kita galakkan dia menyertai kelas yang lembut tetapi tetap berkesan sebagai 'human weapon' seperti aikido? Kita juga wajar menepis kebimbangan kononnya anak-anak kita akan 'menjadi samseng' apabila mempunyai kemahiran pencak bela diri. Maaf, setahu saya setiap 'martial arts' ini mempunyai rukun dan etika tersendiri yang lazimnya positif dan membentuk disiplin kendiri yang tinggi pada pengamalnya. (Jika ibu bapa dapat meluangkan masa bertanya kepada guru-guru disiplin di sekolah, pasti mereka akan terkejut apabila mendapati pelajar yang lazimnya terbabit dalam pergaduhan di sekolah itu ialah pelajar yang bukan ahli kepada persatuan pencak bela diri!) Perkara penting di sini ialah kita sebenarnya ada pilihan persatuan pencak bela diri mana yang harus disertai oleh anak-anak kita mengikut kesesuaian dan berdasarkan pertimbangan kita sebagai ibu bapa. Masalahnya ialah kita tidak mengganggap kemahiran membela dan mempertahankan diri itu satu yang cukup penting. Berapa ramaikah dalam kalangan kita yang menyedari betapa golongan wanita yang terjebak dalam kancah bohsia, pelacuran atau 'sugar daddy' ini ada yang asalnya bermula sebagai remaja yang menjadi mangsa rogol?


Sediakan payung sebelum hujan; beringat sebelum kena. Semarakkan keinginan anak-anak remaja kita untuk mendekati pencak bela diri demi manfaat yang tidak kita sangka-sangka pada masa yang kita tidak duga sama sekali. Percayalah, sekelumit ilmu dunia pencak bela diri tidak pernah merugikan.

(C) WITER GUNIK