Isnin, 16 Julai 2012

DR MOHD ZAKARIA ILYAS: GENIUS KDM


Atagak nopo o boros, atagak o koubasanan,
Atagak o koubasanan, atagak o kointutunan;
Atagak o boros, atagak o pirotian,
Atagak o pirotian, atagak o piiunungan,
Atagak o piiunungan, atagak o pisokodungan,
Atagak o pisokodungan, atagak o pibabasan,
Atagak o pibabasan, atagak o piobpinaian,
Nung atagak o piobpinaian, kopitongkiad o rikoton do rusodon.
- diwato do Dusun

ADA satu perkara yang sepatutnya menjadi berita paling menggembirakan bagi masyarakat KDM. Berita yang dimaksudkan adalah kewujudan sistem tulisan bagi masyarakat KDM: Gagarit do Dusun

Sistem tulisan itu telah dicipta oleh salah seorang ilmuan KDM, Dr Mohd. Zakaria Ilyas yang menganggap Gagarit do Dusun itu sebagai satu anugerah Yang Maha Kuasa untuk masyarakat KDM; lisih do Minamangun kumaa dati.  Siapakah Dr Mohd. Zakaria Ilyas? Beliau adalah penerima bagi beberapa anugerah kebesaran dari Kerajaan Sabah iaitu Ahli Setia Darjah Kinabalu, Ahli Darjah Kinabalu, dan Bintang Setia Kinabalu. 

Dr Mohd. Zakaria Ilyas tamat belajar di GPS Tagudon Lama  pada 1958 dan melanjutkan pelajaran di Maktab Sabah. Sesudah selesai bersekolah di Maktab Sabah (1964), beliau melanjutkan pengajian di Victoria University of Wellington dan berada di situ sehingga 1970. Beliau sekali lagi melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana di Hawaii Pacific University dan tamat pada 1987. Pada tahun 1995, beliau tamat belajar di Belford University, Amerika Syarikat di peringkat doktoral dalam bidang sosiologi dan antropologi. Beliau yang kini menetap di Kg. Tagudon Baru, Ranau dan di Kg. Kauluan-Kundasang, Ranau ini pernah menjadi Setiausaha Sulit kepada Menteri Kerajaan Tempatan Sabah (1982-1984). Sekarang beliau bergiat dalam Zakaria & Associates, Inc., firma konsultansi niaga milik beliau sendiri. Seperkara yang menarik juga dan perlu disebut di sini ialah Dr Mohd. Zakaria Ilyas merupakan juruhebah (DJ) pertama  slot siaran bahasa Dusun yang bermula pada 1 Februari 1978 di RTM Sabah. Beliau menjadi DJ  dari Febuari 1978 hingga April 1981.

Dalam satu sesi soal jawab saya secara online dengan beliau, Dr Mohd. Zakaria menerangkan bahawa beliau telah memulakan 'kerja' mengkaji tulisan ini ketika beliau mendalami Bahasa Inggeris di University Victoria, New Zealand pada tahun 1970 bersama dengan sahabat beliau sejak kecil iaitu Dr Othman Minuddin (Dr Othman Minuddin adalah salah seorang tokoh politik yang amat dikenali di daerah Ranau). Ini bermakna, 'kerja' mengkaji itu telah mengambil masa yang cukup lama, kira-kira 40 tahun. Dalam kata-kata beliau sendiri, menurut tokoh yang pernah berkhidmat sebagai pendidik di SMK Mat Salleh, Ranau  ini lagi, beliau terdorong mencipta Gagarit do Dusun ini demi "menunjukkan kepada dunia bahawa ada bangsa Dusunkadazan yang tinggal di dalamnya. Harapan saya ialah ingin melihat Tinaruh Dusunkadazan dikenali oleh masyarakat lain sebagai bangsa yang bijak pandai serta patriotik kepada bangsanya sendiri."

Peri pentingnya sistem tulisan dapat ditelusuri  daripada fakta penggunaan sistem tulisan yang telah digunakan oleh banyak tamadun dunia sebagai sarana catatan pensejarahan.  Kewujudan sistem tulisan sememangnya seiring dengan perkembangan ketamadunan manusia dan diakui sebagai salah satu daripada ciri ketamadunan bangsa itu sendiri. Berdasarkan maklumat yang dapat ditafsirkan daripada inskripsi dan rekod-rekod yang ditemui oleh para ahli arkeologi, kita yang hidup pada masa kini dapat mengetahui upacara keagamaan (misalnya catatan pada dinding kuil dan zinggurat di Sumeria), kegiatan ekonomi (misalnya catatan pada 'Rosetta Stone' dan rekod urusan jual beli, hutang dan pesanan komoditi di rumah-rumah berhala di Mesir), sistem undang-undang (misalnya Code of Hammurabi), perkembangan ilmu pendidikan (misalnya rekod perubatan di Mesopotamia yang mengandungi tidak kurang daripada 600 koleksi ubat dan merekod perkembangan bidang perubatan), karya kesusasteraan (misalnya Legenda Etana dan Legenda Adapa di Sumeria), urusan pentadbiran (misalnya catatan undang-undang dan tanggung jawab pemerintahan pada tiang-tiang batu Asoka), dan urusan ketenteraan (misalnya teks 'Taittitiya Upanishad' dan 'Rig-Veda' yang mencatatkan raja sebagai pemimpin dalam tentera).  Benarlah pendapat Darcy Ribeiro (1922-1997), sistem tulisan merupakan lambang dan manifestasi sesebuah bangsa.


Dr  Mohd. Zakaria Ilyas adalah genius sebab berjaya mewujudkan satu 'tataba' kepada jati diri masyarakat KDM.  Usaha beliau ini tentunya bertitik tolak daripada kecintaan sejati terhadap kelangsungan masyarakat KDM di peta tamadun manusia. Meskipun populariti sistem tulisan tersebut belum meluas (ketika catatan di blog ini ditulis), namun kewujudan sistem itu telah pun hangat dibincangkan dalam laman web sosial terutamanya Facebook dalam kalangan masyarakat KDM yang tertarik dengan Gagarit do Dusun. 




OKK Sepikit Kabindong
Dr Mohd. Zakaria Ilyas mengakui bahawa beliau telah mencipta tulisan ini setelah mendengar kisah tentang sistem tulisan purba KDM yang dipanggil sebagai  Gagarit do Dusun (aksara purba Dusun) dan Pongintob do Dusun (Nombor purba Dusun) yang telah diceritakan oleh OKK Sepikit Kabindong. OKK Sepikit Kabindong, penjawat  Ketua Daerah di Mahkamah Anak Negeri, Ranau (1970-an-1980-an), adalah seorang tokoh yang sangat dihormati oleh masyarakat KDM di Ranau dan salah satu daripada ikon penting dalam sejarah perkembangan Ranau serta dianggap sebagai salah seorang daripada pakar rujuk tentang tradisi dan adat istiadat masyarakat KDM di Ranau. Malangnya, kajian seterusnya yang dilakukan oleh Dr Mohd. Zakaria Ilyas menyimpulkan bahawa tidak terdapat bukti yang menyokong tentang kewujudan tulisan purba KDM tersebut. Meskipun demikian, cerita oleh OKK Sepikit Kabindong itu telah menimbulkan dorongan yang amat kuat kepada Dr Mohd. Zakaria bagi mencipta sistem tulisan KDM versi moden sehingga akhirnya wujudlah Gagarit do Dusun seperti yang beliau war-warkan pada tahun 2012 ini sebagai satu perkongsian yang amat bermakna bagi masyarakat KDM.

Perkara yang menarik dalam penciptaan Gagarit do Dusun ini adalah kemunculan sistem tulisan itu berlaku pada marcapada ini, detik yang menyaksikan kebangkitan pelbagai pembaharuan dalaman yang mahu melihat KDM memiliki kembali 'tataba' sebagai 'pasok' dan 'ladsong' di bumi Kinabalu ini. Adakah tamadun kita baru bermula sekarang? Tentunya tidak sebab kita ada sejarah Nunuk Ragang yang hebat yang terakam melalui cerita-cerita lisan yang kita warisi daripada leluhur kita.


Saya sebagai salah seorang daripada anggota masyarakat KDM, sangat yakin bahawa kita sedang berada pada landasan yang betul bagi melestarikan kewujudan kita di muka bumi ini. Meskipun ada 'suara keraguan' pihak tertentu tentang upaya Gagarit do Dusun sebagai satu sarana pembelajaran bahasa KDM di sekolah-sekolah namun hal itu, pada hemat saya, berlaku kerana mereka belum mengenali  dan cuba mengenali Gagarit do Dusun. Dalam sebarang usaha kita selepas ini bagi menyebarluaskan pengetahuan tentang Gagarit do Dusun itu, pandangan yang optimis bahkan yang skeptikal terhadap Gagarit do Dusun ini perlu diambil kira. Melalui piisaan, pisompuruan, pogitatabangan, dan pisokudongan,  Gagarit do Dusun pasti dapat dipermantap dan disebarluaskan kepada generasi KDM yang ada. Kata orang tua-tua kita: Soira po'd sayahan o sudampapon? Inilah detiknya bagi kita miiso, misompuru, mogitatabang, dan misokodung bersandarkan falsafah mitayung pasi dan mogisosondih lihawah.

Alaid poimpasi nung aiso kolubukan,
Andang do matai aiso kaandaman,
Alaid tolohing nung aiso tanom,
Andang rumobuk aiso potungkuson do sinakagon.

Sesungguhnya, Gagarit do Dusun adalah harta yang kita akan wariskan kepada generasi KDM. Tamadun Mesir telah memberikan heroglif, Sumeria telah memperkenalkan ideogram, China pula menggunakan piktograf sementara tamadun Yunani  menggunakan Phoenicia. Kini, melalui anugerah yang disampaikan oleh Pencipta kepada Dr Mohd. Zakaria Ilyas, giliran kita berkongsi Gagarit do Dusun sebagai satu sumbangan abadi Kadazandusun terhadap ketamadunan manusia sejagat.

POUNSIKOU TAGAYO, DR MOHD. ZAKARIA ILYAS! 

(C) WITER GUNIK

Tiada ulasan: