Penduduk di Southern Minnesota meraikan sambutan pesta menuai dengan cara mereka sendiri; menganggap pesta menuai sebagai satu perayaan kudus (Sacred Harvest Festival) yang akan mengeratkan perpaduan masyarakat berkenaan. Di Amerika Latin, penduduk asli Indian berkongsi anggapan betapa sambutan pesta menuai ini sebagai satu hari yang amat istimewa dalam hal pengucapan syukur dan hari berdoa sentiasa dirancang pada hari keempat dalam bulan November setiap tahun sejak 1949.
Bagaimana dengan kita masyarakat KadazanDusun pada bulan Mei yang identik dengan Sambutan Tadau Kaamatan? Pernahkah kita bertanya tentang wujud jati diri kita sebagai KadazanDusun atau kita cuba mengelakkan hal ini kerana kononnya sensitiviti politik? Apakah kita tahu bahawa leluhur kita pada zaman animisme mempercayai lima semangat yakni Kinorohingan, Rusod, Koduduwo, Tombiruo dan Rogon? Apakah kita faham apa itu Bambarayon (Bambazon) dan kepercayaan masyarakat tradisional petani bahawa, "tiada beras tiadalah kehidupan"? Atau, apakah kita hanya terpesona dengan pangkis Bobolian semasa magavau atau terpegun melihat para sumandak kita di atas pentas Runduk Tadau (Unduk Ngadau)? Atau kita alpa dalam tawa sinis dan gelengan kepala kita melihat belia kita kegembiraan kerana 'aramai ti'?
Dari satu segi kita menjadi bangga kerana meskipun sebilangan 'ikon' dalam pesta menuai ini hanya bersifat simbol - misalnya bobolian dalam Tadau Kaamatan di Sabah- namun kita dididik sebenarnya untuk menghormati tradisi nenek moyang kita. Tadau Kaamatan menjadi ruang dan peluang kepada masyarakat KadazanDusun mengenal satu lagi jati diri yang dipusakai sejak zaman berzaman. Anda mungkin seperti saya yang menolak kinomol, lihing, montoku, siopon atau yang sejenis dengan 'minuman tradisi' itu kerana kita tahu bahawa penolakan kita terhadap sebahagian daripada elemen yang 'kurang wajar' ini tidak akan menjadikan sambutan Tadau Kaamatan terencat.
Apabila melihat dan menyedari betapa sambutan pesta kaamatan ini sebenarnya satu sambutan yang bersifat universal - meskipun tidak serupa dari segi acara sambutan- saya menjadi sedar betapa manusia dari pelbagai pelusuk dunia ini yang kehidupan tradisi mereka akrab dengan pertanian sentiasa berusaha menunjukkan cara pengucapan syukur mereka terhadap hasil tuaian yang diperoleh. Pada masa dahulu, pengucapan secara tradisional ini tentunya ditunjangi dengan kepercayaan terhadap penguasa primitif yang kini telah masing-masing kita terjemahkan Sang Pencipta mengikut kepercayaan agama masing-masing. Kita juga insaf betapa sambutan pesta menuai ini menyimpulkan falsafah kejayaan sebab berhasil menyelesaikan satu lagi tanggungjawab besar (menanam padi atau sebarang tanaman lain) yang akan diteruskan pula pada tahun berikutnya. Di samping itu, tidak kurang pentingnya ialah falsafah saling bermaaf-maafan terhadap sebarang salah dan silap yang mungkin telah dilakukan sepanjang kesibukan masing-masing sejak peringkat penanaman padi sehinggalah kepada penuaian padi.
Saudara-saudaraku, siapakah lagi yang akan berusaha mempertahankan tinaru bangsa kalau bukan kita sendiri? Mari renungkan kata-kata klasik Huguan Siou kita: "Gompiyo tokou no o tinaru tokou. Kada wilihai tataba koposion tokou."
Kotobian Tadau Kaamatan!
(C) WITER GUNIK