Ahad, 8 Julai 2012

KESAN PERTEMUAN DENGAN RUHAINI MAT DARIN

MENITI bulan terakhir sebelum menjelang 31 Ogos 2012 yakni tarikh akhir penghantaran manuskrip bagi Sayembara Menulis Novel Negeri Sabah Siri 2, saya terfikir untuk mencari karya yang telah dinobatkan sebagai pemenang hadiah utama bagi Sayembara Menulis Novel Negeri Sabah Siri 1. Pencarian itu membawa saya kepada perkenalan dengan Ruhaini Mat Darin, penulis novel Nisan yang telah diangkat oleh Panel Penilai Sayembara sebagai pemenang kedua bagi sayembara tersebut; tidak ada pemenang Hadiah Pertama bagi sayembara itu.


Dalam kemudaan usia, Ruhaini sebenarnya melampaui pencapaian penulis muda Sabah yang lain (bahkan melangkaui pencapaian segelintir penulis senior Sabah). Sehingga ke bulan Julai 2012, Ruhaini telah menghasilkan 7 buah novel. Dua novel beliau yang agak kerap disebut ialah Pesona Sandora dan Nisan. Dengan kerendahan hati yang tidak menganggap dirinya sudah 'hebat' kerana sudah berjaya menghasilkan 7 novel, saya terpaku dengan semangat dan cintanya terhadap kesusasteraan Melayu. Ruhaini juga salah seorang daripada 200 orang penulis yang berkarya di bawah penerbitan PTS yang telah berjaya memperoleh royalti tertinggi bagi tahun 2010. Kejayaan lain yang melonjakkan nama Ruhaini ialah memenangi tempat pertama peraduan mengarang cerpen sempena kempen Budi Bahasa Budaya Kita anjuran KEKWA (2006), Hadiah Sastera Sabah 2006/2007 kategori novel remaja menerusi novel Gadis Adikara, dan tempat kedua Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2008 menerusi novel Jendela Menghadap Jalan.

Dalam kesempatan berbual kira-kira 30 minit dengan penulis yang dilahirkan dan dibesarkan di Kota Kinabalu, Sabah ini, saya berasa sangat terkesan oleh kepetahan penulis ini bercakap tentang tokoh kesusasteraan antarabangsa dan karya penulis besar dalam dunia kesusasteraan. Selain keterujaan penulis ini tentang karya-karya besar dunia (Hemingway, Kafka, Leo Tolstoy, Marquez, Joseph Conrad, Arundathi Roy di samping penulis seMalaysia seperti Anwar Ridhwan, Azmah Nordin, A.Samad Said serta penulis seNusantara seperti Ayu Utami dan Andrea Hirata), seperkara yang menarik tentang diri penulis ini ialah latar belakangnya: Ruhaini Mat Darin bukanlah dari aliran sastera. Beliau adalah bekas pelajar aliran Sains. Kemunculan beliau sebagai penulis daripada aliran Sains, menambah ramai penulis yang bukan berlatarbelakangkan Sastera. Contohnya: Nisah Hj. Haron, Faisal Tehrani.  Dalam semarak kegiatan kesusasteraan di Sabah, Ruhaini Mat Darin antara yang aktif.  Khabarnya juga, novel dan kumpulan cerpen  beliau sedang dalam proses penyuntingan akhir di ITBM. Tahniah.

Sebagai penulis, Ruhaini adalah pembaca buku yang tegar. Dalam kata-katanya: "... Buku adalah hadiah yang amat berharga kepada penulis." Meskipun tidak pernah berkunjung ke rumahnya, saya percaya, Ruhaini mempunyai perpustakaan peribadi yang pastinya dipenuhi pelbagai buku berkualiti terutama karya para penulis yang menjadi idolanya.

Saya hanya meramalkan bahawa dengan bakat besar dan disiplin diri Ruhaini menulis, dalam tempoh 10 tahun (bahkan mungkin lebih awal!), beliau pasti akan dapat meletakkan namanya sebagai salah satu ikon dunia kesusasteraan kebangsaan dan akan menjadi antara permata sastera yang menjadi kebanggaan penggiat kesusasteraan di Sabah.  Bagi saya, Ruhaini merupakan antara orang penting bagi 'masa hadapan' kesusasteraan di Sabah.

"Menulislah. Ikutlah pelbagai sayembara yang ada sekarang." Demikian antara inti pati kata-kata akhir Ruhaini yang tidak dapat saya lupai. "Di Sabah ini, kita kekurangan penulis lelaki."

Mengisi masa membaca lembar demi lembar kisah pembuat batu nisan dalam novel Nisan karya Ruhaini Mat Darin, sehingga kini, kata-kata itu masih terngiang dan berdengung dalam pemikiran saya. Ada sesuatu yang amat berharga yang telah saya pelajari daripada kerendahan hatinya berkongsi runut kreativitinya.

Terima kasih, Ruhaini Mat Darin.


(C) WITER GUNIK

Tiada ulasan: