Sabtu, 12 Mei 2012

WARGA EMAS TANPA KEMILAU EMAS

PERNAHKAH anda membayangkan keadaan diri anda ketika anda telah mencecah usia warga tua? Golongan warga tua dianggap warga emas; sebahagian menyebut golongan ini sebagai warga senior. Di Malaysia, warga tua ini lazimnya merujuk kepada mereka yang berumur 60 tahun ke atas mengikut definisi yang ditetapkan oleh Persidangan Antarabangsa tentang Warga Tua di Vienna pada 1982.

Dalam konteks negara kita, menurut Noraini Mohd. Hashim, Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Kebajikan Masyarakat (Berita Minggu, 13 Mac 2011), jumlah warga tua yakni  individu berusia 60 tahun ke atas di Malaysia dijangka mencecah 3.2 juta atau 9.5 peratus daripada penduduk negara ini menjelang 2020, berbanding 2.1 juta (7.3 peratus) sekarang, berikutan penurunan kesuburan dan peningkatan jangka hayat. Senario itu juga dijangka menyebabkan peningkatan jumlah Pusat Penjagaan Harian Warga Emas (PJHWE). Sehingga kini sudah terdapat 22 pusat seumpama itu di seluruh negara bagi memberi kemudahan jagaan harian kepada warga emas terutama individu yang tinggal berseorangan ketika keluarga atau penjaga keluar bekerja. Pertambahan warga tua itu juga memungkinkan Malaysia mencapai status negara tua, dengan purata 15 peratus jumlah penduduknya berusia 60 tahun ke atas menjelang 2030. Jangka hayat penduduk Malaysia semakin meningkat berdasarkan kajian pada 2009 iaitu 72.6 bagi lelaki; wanita 77.5 berbanding 63.5 (lelaki) dan 67.1 (wanita) pada 1980.

Peratusan tentang warga tua, bagi sebilangan orang, menjadi kebimbangan. Timbul pertanyaan sama ada kita mampu melakukan sesuatu bagi menghadapi pertambangan warga tua dalam masyarakat kita. Meskipun menjadi tua adalah peringkat yang normal dan akan dilalui oleh semua orang (kalau berumur panjang), menjadi orang yang tua renta tentunya bukan pengalaman yang menarik.

Salah sebuah daripada sekian banyak cerpen karya Dato' Dr. Anwar Ridhwan, Sasterawan Negara yang kesepuluh, yang memukau saya sebagai salah seorang daripada pemadat sastera berkualiti ialah Menjadi Tua (1983). Cerpen itu telah memenangi Hadiah Karya Sastera Malaysia (1983).  Cerpen ini memaparkan dilema dan persoalan-persoalan yang terpaksa digeluti oleh warga tua bandaraya di negara maju - New York City - yang disampaikan melalui persepsi watak utamanya, Hassan. Isu dan permasalahan warga tua disentuh dengan penuh seni dalam sulaman kisah perkenalan watak Hassan dengan Laura Bolan, teman sekuliah dalam kelas Critics on the Art di New York University. Warga tua dalam cerpen ini digambarkan sebagai tidak dipedulikan, dilayan dengan kasar, dan dianggap tidak penting. Sesungguhnya, kisah tentang genta sunyi yang mendera hidup golongan tua menjadi sumber inspirasi kepada banyak karya seni. Deraan sunyi inilah yang menjadi pukulan tanpa henti ke atas hari-hari yang dilalui oleh Santiago  dalam novel klasik The Old Man and Sea karya Ernest Hemingway. Di atas peta kesusasteraan negara kita, kita ada Tukya (Seorang Tua di Kaki Gunung karya Azizi Haji Abdullah) dan Kinto (Senjakala karya Baharuddin Kahar) yang turut digambarkan menggeluti permasalahan orang tua yang universal itu.

Sebagai golongan tua, salah satu daripada persoalan golongan  ini ialah kesunyian. Kesunyian ialah perasaan kekosongan dan kehilangan seseorang. Kesunyian ada kaitan dengan keadaan fikiran yang memerlukan yakni memerlukan orang-orang agar memerlukan kita dan kerinduan memerlukan seseorang yang kepadanya anda dapat menunjukkan kasih sayang dan persahabatan. Kesunyian juga erat hubungannya dengan keperluan teman untuk berkongsi pemikiran, harapan atau kebimbangan. Sepi dalam keriuhan: pernyataan ini mungkin aneh namun inilah sebenarnya yang dapat menggambarkan kesunyian itu.

Kesunyian semasa tua biasanya ada kaitan dengan perubahan-perubahan persekitaran. Selepas persaraan, rakan-rakan bahkan adakalanya ahli keluarga tidak mempunyai masa untuk mereka. Usia tua yang adakalanya dibumbui kenyanyukan dan merudumnya tahap kesihatan acap kali menyebabkan golongan tua disisihkan. 

Seringkali dalam masyarakat kita, pertemuan ahli keluarga dan kaum kerabat lazimnya akan dapat mengubati seketika rasa sunyi yang menakluki kehidupan sebagai orang tua. Jika ditanya kepada yang pakar, nasihat yang lazim ialah membantu golongan ini agar mempunyai kesibukan peribadi. Kesibukan peribadi dapat diwujudkan dengan bantuan ahli keluarga misalnya bergilir menemani atau bercerita dengan golongan tua. Ada juga pakar yang mencadangkan agar mereka ini mengambil haiwan peliharaan sebagai teman. Selain itu, ada juga cadangan supaya golongan tua ini lebih baik ditempatkan di rumah kebajikan atau rumah warga tua supaya mereka mempunyai teman yang sama baya dan lebih memahami sebagai teman.

Saya tertanya-tanya apa agaknya yang akan berlaku kepada saya apabila saya tua renta? Apakah saya akan dikelilingi oleh ahli keluarga saya? Masih adakah yang prihatin terhadap saya? Apakah ada dalam kalangan mereka yang sudi menemani saya? Apakah nanti saya pada masa itu dipedulikan? Masihkah ada yang sudi menghantar SMS? Atau apakah pada masa itu, saya akan dibiarkan meratah sepi, terpuruk dan dianggap sebagai beban? Atau, apakah pada masa itu, saya salah seorang yang berbaris di Pejabat Kebajikan memohon ihsan bulanan? Atau, apakah nanti saya dibelenggu kesunyian, sebelum mati sebagai seorang tua? Atau, apakah pada masa itu saya terlantar di Rumah Kebajikan meniti hari-hari terakhir sebelum dikunjungi Sang Pencabut Nyawa?

Warga yang dikatakan emas namun tak dihargai sebab tak menunjukkan kemilau emas.

Dua video berikut sangat menyentuh nurani kemanusiaan saya. Saya mungkin menjadi agak melankolik namun sejujurnya kepiluanlah yang menakluki perasaan saya semasa menghayati dua video ini.




Charlie Gonzalez mengatakan: "After a lifetime of working, raising families, and contributing to the success of this nation in countless other ways, senior citizens deserve to retire with dignity." Persoalannya: Apakah kita memang bersikap sedemikian? Mampukah kita membalas pengorbanan golongan warga tua kepada kita? Bagi menjawab soalan ini, cukuplah dengan melihat orang-orang yang paling dekat dengan kita: datuk, nenek, ibu dan bapa kita. Mereka pernah muda dan kemudaan itu mereka gunakan untuk memberi yang terbaik untuk kita.

Sebagai intiha bicara, melalui tulisan kecil ini, saya hanya ingin berkongsi runut kemanusiaan yang kian kabur dari hati kita; kekaburan yang terjadi tanpa kita sedari.  Kekaburan dan permasalahan hidup seringkali tanpa kita sedari menjadikan kita kurang peka kepada orang tua kita, orang yang begitu besar jasanya kepada kita. Menghayati dua video di atas, saya berasakan saya belajar sesuatu yang murni tentang pengorbanan dan kasih sayang ibu bapa.

Harap saudara dan saudara pembaca juga berperasaan demikian.


(C) WITER GUNIK

Tiada ulasan: