Isnin, 23 April 2012

UNDI ITU RAHSIA!


SAYA tidak gemar menulis tentang politik meskipun mengikuti perkembangan politik adalah salah satu daripada rutin hidup yang saya telusuri melalui media massa dan blog-blog siasah. Dengan tajuk politik yang disiarkan dan lazimnya (maaf!) disensasikan oleh media massa semasa, bagaimana saya sebagai warganegara ini tidak mengambil berat? Banyak pandangan, tanggapan, ramalan dan spekulasi. Kita mengikuti dengan teliti dan secara sedar pelbagai isu tentang krisis kepemimpinan, kelemahan tokoh ini dan itu, pengundi hantu, soal sejarah, soal nasionalisme, isu kewarganegaraan dan pelbagai isu yang dijadikan sebagai landasan berpolitik oleh pelbagai parti siasah. Isu-isu ini disulami dengan janji-janji parti yang sudah pasti membayangkan manifesto parti yang bakal bertanding dalam pilihanraya.

Bagi saya sebagai warganegara, kita ini memang telah diberi hak bagi menentukan arah politik negeri dan negara kita melalui cara yang sah yakni melalui undi dalam pilihanraya. Saya percaya bahawa undi memang rahsia kerana itulah yang diwar-warkan kepada kita oleh Suruhanjaya Pilihanraya sekian lama. Mungkin anda perlu menyemak nama anda sama ada anda dapat mengundi atau tidak di laman web SPR. Tiada nama bermakna anda hanya bercerita kosong tentang hak anda untuk mengundi.


Saya fikir semua orang sudah pun sebenarnya menentukan pilihannya masing-masing sesuai dengan cara berfikir, dan latar belakangnya. Dalam menentukan pilihan itu kita sudah tentu telah membuat pertimbangan sewajarnya dari pelbagai sudut. Apapun pertimbangan itu, pada hemat saya, itu tidak menjadi masalah selagi kita faham tentang hak demokrasi kita di sisi Perlembagaan Negara. Seperti kata James William Fulbright, "In democracy dissent is an act of faith. Like medicine, the test of its value is not in its taste, but its effects."

Siapa yang patut mengundi? Sudah tentu semua warga Malaysia yang layak dan telah mendaftar dengan SPR. Berdasarkan ini, saya tidak fikir golongan yang belum mendaftar perlu 'bising'. Golongan pelajar misalnya (hatta yang bergelar mahasiswa pun), bagi saya, perlu fokus kepada tugas mereka sebagai pelajar. Dapatkan ijazah dahulu, pekerjaan dan kalau hendak bercerita tentang politik, ceritalah selepas itu. Cara berfikir saya ini agak 'lama'; saya percaya pelajar apatah lagi mahasiswa yang menjadi sandaran bagi menggantikan kita pada masa hadapan tidak harus diganggu dengan 'simpang siur' dan 'sepak terajang' politik. Mereka, bagi saya, boleh kita benarkan 'mengetahui' namun untuk terlibat masih belum masanya. Majoriti mahasiswa kita adalah lepasan daun segar dari peperiksaan STPM dan masih belum menguasai emosi. Apakah kita tidak sabar untuk tidak melibatkan mereka dengan mempengaruhi mereka supaya mereka tersesat dan dibelasah dalam simpang siur dan sepak terajang politik itu?

Ada rakan baik bertanya kepada saya, apakah saya ini sudah mendaftar sebagai ahli bagi parti X? Seperkara yang lucu, saya memang tidak akan pernah menjadi ahli mana-mana parti politik. Saya bahagia dengan hak saya sebagai pengundi rahsia.

Menarik untuk dihayati ialah sajak penuh makna berikut:
         
              Pilihanraya
              Iladam (Md. Ali Bachik)

              Lima tahun sekali
              kereta wayang masuk kampung
              jalan merah ditambak
              tikar surau ganti baru
              titi lama dapat bantu
              pembesar suara lantang-lantang
              perang poster menjadi-jadi
              cogan kata melintang jalan
              suratkhabar panjang cerita
              kedai kopi laris jualan
              lalu lalang sibuk sekali
              kanak-kanak tertanya-tanya
              datuk-datuk bersalam-salam
              orang besar tunjuk muka
              entah esok mungkin lusa
              pilihanraya menjelang tiba
                                         
Bagi pilihanraya yang mungkin sekali akan diadakan pada minggu kedua Jun (ah, saya sudah jadi peramal tarikh pilihanraya ), mari kita gunakan hak yang ada pada kita dengan bijaksana tanpa kebimbangan kerana SPR kata, undi itu rahsia.

Mudah-mudahan pelaksanaan proses pengundian yang akan datang ini akan berlangsung dalam suasana aman, kematangan dan penuh persefahaman. Itu harapan kita sebagai warga Malaysia yang rasional dan matang.

Mari menunaikan hak kita apabila masa itu tiba.

(C) WITER GUNIK

Rabu, 18 April 2012

TERBELAKAH KEBAJIKAN PENGGIAT SENI KITA?


TERBELAKAH kebajikan penggiat seni kita?

Hati saya terdetik untuk menulis tentang isu ini apabila membaca laporan akhbar tentang kisah Rumah Pusaka P.Ramlee yang telah dilekatkan notis akan disita oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada 11 April 2012 yang lalu. Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Ahmad Fuad Ismail menyatakan cukai taksiran sebanyak RM4,385 selepas Suria, balu Nasir P. Ramlee, gagal menjelaskan tunggakan berjumlah RM10,151.50 sejak 10 tahun lepas menyebabkan rumahnya disita DBKL. Notis itu mungkin tidak menjadi isu yang menuntut keprihatinan sekiranya P.Ramlee itu orang biasa. Persoalannya ialah rumah itu ialah rumah Seniman Negara, P.Ramlee. Sebagai Seniman Negara, P.Ramlee bukan orang biasa. Dia antara orang seni luar biasa yang Malaysia pernah ada.

P.Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh, lahir di Pulau Pinang, 22 Mac 1929. Ikon seni Malaysia ini merupakan penggiat seni serba boleh. Kelebihan inilah yang membezakan beliau dengan ramai penggiat seni Melayu. Malangnya, beliau meninggal dunia 'tanpa harta'; yang ada hanyalah legasi seni beliau sebagai seniman serba boleh: penggubah lagu, penyanyi, pelakon. Beliau telah menjadi pengarah kepada 35 filem; berlakon dalam 66 filem serta menggubah dan menyanyikan lebih daripada 360 lagu yang kebanyakannya merupakan soundtrack filem-filem lakonan beliau. Filem karyanya telah mendapatkan lebih daripada 30 perhargaan. Filem arahan sulung beliau, 'Penarek Becha' pada tahun 1955 yang menjadi filem terbaik dan beliau sendiri dipilih sebagai Pengarah Terbaik pada tahun 1956. P.Ramlee turut menerima banyak anugerah untuk dirinya dan filem-filem arahannya. Filem, 'Sumpah Orang Minyak' arahan beliau telah memenangi 'Fotografi Hitam Putih Terbaik'; 'Pendekar Bujang Lapok' dipilih sebagai filem Komedi Terbaik di Pesta Filem Asia ke-6 pada tahun 1959 di Kuala Lumpur; dan 'Nujum Pak Belalang' dan 'Madu Tiga' mengungguli anugerah 'Komedi Terbaik' pada tahun 1958.

Penggiat seni yang rapat dengan beliau semasa hidup ramai yang menggambarkan P.Ramlee sebagai seorang yang ikhlas, gemar berkawan dan hebat dalam kegiatan seninya. Sebahagian yang mungkin mencemburui beliau mengganggap P.Ramlee sebagai bongkak, kaki joli, kaki wanita dan pelakon yang gagal. P. Ramlee telah meninggal dunia pada pagi Selasa 29 Mei 1973 ketika berusia 44 tahun dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang Kuala Lumpur.

Jasa P.Ramlee dalam dunia seni dianggap sebagai 'tiada berganti' dan Allahyarham telah dianugerahi Bintang Kebesaran Darjah Panglima Setia Mahkota oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1990 yang membawa gelaran Tan Sri. Selain itu rumah terakhir beliau di Jalan Dedap, Setapak telah diubahsuai dan dijadikan sebagai "Pustaka Peringatan P Ramlee" pada tahun 1986. Manakala di tengah pusat bandar raya Kuala Lumpur namanya turut diabadikan pada sebatang jalan iaitu Jalan P.Ramlee (dahulunya Jalan Parry) pada tahun 1982. Di Kuching juga ada sebatang jalan yg dinamakan Jalan P.Ramlee. Beliau turut mendapat penghargaan doktor falsafah dalam bidang seni persembahan pada tahun 2005 yang membawa gelaran "Doktor". Beliau juga diberi penghormatan oleh Kerajaan Negeri Sarawak,dengan penganugerahan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak "Datuk Amar Bintang Kenyalang" (Posthumous) (DA (P)) pada 2009. Pada tahun 2007, P. Ramlee telah terpilih sebagai 10 calon terakhir bagi program "Anak Gemilang Malaysia" yang mengiktiraf rakyat Malaysia yang banyak memberi sumbangan kepada negara dan kejayaannya menaikkan nama negara di mata dunia.

Inikah nasib seniman? Mempersembahkan bakat, meninggal kemudian dilupai? Ini sama halnya dengan tragedi yang berlaku kepada aktor Hollywood dahulu yang kini dilupai: Leslie Howard, Alan Ladd, Joel McCrea, William Powell atau George Raft. Generasi muda kita seolah-olah semakin kurang peduli dengan jasa P.Ramlee (ah, bayangkan juga nasib S.Kadarisman dan S.Shamsuddin yang low profile yang tidak diberi anugerah sepatutnya sedangkan bakat seni yang mereka miliki itu juga cukup bagus; demikian juga Nordin Ahmad yang bagi saya lebih hebat daya penghayatannya dalam lakonan itu tidak diberi sebarang anugerah sehingga kini....). Bagi P.Ramlee, peninggalan beliau juga nampaknya kian 'tidak dianggap penting'.

Orang yang belajar pengurusan mungkin akan berpendapat P.Ramlee kurang pandai merancang masa hadapannya, dan kurang bijak menggunakan kelebihannya semasa berada di puncak kerjayanya sebagai orang seni. Menyedihkan kerana semasa tahun suram bagi P.Ramlee yakni pada tahun 1972-1973, dia hidup miskin (melarat?) sehingga harus bernyanyi pada pesta orang kahwin untuk mendapatkan wang (ada juga sumber yang mengatakan dia terpaksa pula membuka tempat permainan mahjong). Ini episod hidup yang malang bagi seorang seniman yang dianggap besar di Malaysia.

Dalam keadaan sekarang, kisah Rumah P.Ramlee yang sudah dilekatkan notis untuk disita itu sudah selesai apabila Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO melunaskan bayaran taksiran tertunggak berjumlah RM5,766.50 kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi rumah pusaka seniman agung Tan Sri P.Ramlee yang kini didiami menantunya, Suria Bakar (Bernama, 19 April 2012). Pengerusinya, Datuk Muhd Khairun Aseh berkata, bayaran itu dibuat hasil sumbangan orang ramai yang diperolehi semalam setelah media melaporkan masalah menantu P.Ramlee. Bernama juga melaporkan bahawa pihak yang sama juga berjaya memperoleh kelulusan pentadbiran Universiti Lim Kok Wing bagi menyambung biasiswa Diploma Profesional dalam jurusan Penataan Bunyi dan Muzik untuk anak Suria, Zakaria Nasir, 21. Sebenarnya, kita salut dengan kekuatan media yang telah membuat banyak pihak terjaga dari tidur ekoran isu ini. Kita percaya pihak berkenaan ikhlas membantu dan tidak menggunakan 'keprihatinan' itu sebagai publisiti murahan bagi demam PR13 yang bahangnya sangat terasa marcapada ini.

Kita tertanya-tanya langkah yang kerajaan atau sekurang-kurangnya media Malaysia akan lakukan bagi mengenang kehebatan P.Ramlee pada 29 Mei akan datang. Bulan Karya P.Ramlee? Itu tidak pernah diadakan namun mungkin satu cadangan yang baik untuk mengingati jasa seniman serba boleh itu. Atau, mungkin kita sama-sama dapat bertanya: Cukupkah dengan ruang penyiaran karya?



Pada hemat saya, masih belum terlambat bagi Kerajaan memperkenalkan Pelan Pintar Kebajikan bagi keluarga penggiat seni yang telah dikenal pasti mempunyai jasa besar kepada negara. Hal ini penting supaya kebajikan keluarga para seniman ini akan terjaga meskipun jasad mereka sudah bersemadi. Mungkin dengan cara ini, masyarakat akan lebih menghargai peranan orang seni kita. Selain itu, hal ini juga mungkin dapat menyingkirkan tanggapan bahawa semua orang seni itu kaya. Bagi orang seni, hal ini menjadi iktibar kepada mereka untuk memikirkan masa hadapan mereka khasnya ketika mereka sudah 'tidak laris lagi di pasaran seni' atau apabila mereka sudah tiada lagi di dunia ini.


(C) WITER GUNIK