Isnin, 14 Mei 2012

HARI GURU PERLU DIISYTIHARKAN SEBAGAI CUTI AWAM


16 MEI 2012. Sekali lagi putaran masa membawa kita ke tarikh 16 Mei; tarikh keramat bagi meraikan golongan pendidik di negara kita.  Usman Awang dalam sajak beliau yang berjudul, Guru O Guru, mengungkapkan dengan puitis:

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar

Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
 Budi yang diapungkan didulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.


Hari Guru telah mula diisytiharkan pada tahun 1972. Tarikh 16 Mei telah menjadi pilihan sebagai tarikh rasmi Hari Guru sempena peristiwa  penerimaan cadangan-cadangan Laporan jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) oleh Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) pada 16 Mei 1956. Laporan yang kemudian dikenali sebagai Laporan Razak itu akhirnya telah  menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan.

Sambutan Hari Guru menggariskan beberapa objektif yakni menitikberatkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat;  menarik perhatian ibubapa, murid dan orang ramai kepada peranan penting kaum guru dalam masyarakat Malaysia;   memupuk perasaan perpaduan ikhtisas dan muhibah di antara guru; meninggikan martabat dan taraf guru dalam masyarakat; memberi peluang untuk memajukan kecekapan guru melalui seminar-seminar, persidangan-persidangan, dan sebagainya yang diadakan pada Hari Guru; dan menilai secara objektif peranan guru dengan berlatarbelakangkan Malaysia dan mengambil langkah-langkah supaya peranan itu lebih berkesan.

Agak berbeza dan aneh dengan sambutan hari-hari istimewa lain, Hari Guru tidak diwartakan sebagai salah satu daripada cuti awam di Malaysia.  Pada hemat saya secara peribadi, Hari Guru, sesuai dengan statusnya yang memartabatkan kerjaya dan sumbangan guru terhadap pembangunan sumber manusia di negara kita, sepatutnya masyarakat dilibatkan dalam sambutan hari yang amat penting ini. Apakah Hari Guru tidak diisytiharkan sebagai cuti awam kerana sekolah sudah pun mempunyai cuti persekolahannya yang tersendiri? Ini salah alasan yang popular namun sebab sebenar tidak pernah diketahui. Persoalannya, Hari Guru selalu berlangsung secara senyap dan lazimnya hanya diketahui oleh kalangan  guru sahaja.   Sejak 1972 hingga 2012, guru-guru menyambut Hari Guru secara bersendirian.  Tanpa niat memperlekeh mana-mana pihak, timbul persoalan, apakah Hari Guru kurang penting berbanding hari-hari lain yang diisytiharkan sebagai cuti awam?

Tema-tema Hari Guru sejak 1972 hingga 2012 seperti yang dicatatkan berikut ini sudah terang lagi bersuluh  satu pengiktirafan tentang peranan dan jasa guru terhadap negara.

1. 1972 Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara
2. 1973 Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan
3. 1974 Peranan Guru Dalam Zaman Sains dan Teknologi
4. 1975 Guru dan Pembangunan Negara
5. 1976 Pendidikan Moral Dalam Zaman Kemajuan Pendidikan
6. 1977 Dedikasi dan Disiplin Asas Kemajuan Pendidikan
7. 1978 Guru Pembentuk Generasi Akan Datang
8. 1979 Murid Sejahtera Negara Jaya
9. 1980 Pendidikan Teras Perpaduan Negara
10. 1981 Pengorbanan Guru Kejayaan Rakyat
11. 1982 Ke Arah Kecekapan Guru Dan Pendidikan Bermutu
12. 1983 Kepimpinan Berteladan Teras Pendidikan
13. 1984 Kepimpinan Berteladan Kesempurnaan Pendidikan
14. 1985 Guru dan Masyarakat Asas Kemajuan Pendidikan
15. 1986 Pendidikan Teras Nasionalisme
16. 1987 Pendidikan Ke Arah Kesejahteraan Insan
17. 1988 Guru Pengasas Budaya Membaca
18. 1989 Guru Pembina Budaya Ilmu
19. 1989 Guru Pembina Budaya Ilmu
20. 1990 Pendidikan Bermutu Masyarakat Sejahtera
21. 1991 Ke Arah Pendidikan Cemerlang
22. 1992 Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan
23. 1993 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
24. 1994 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
25. 1995 Permuafakatan dan Perpaduan Menjayakan Wawasan
26. 1996 Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia
27. 1997 Guru Bestari Sekolah Bestari
28. 1998 Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama
29. 1999 Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang
30. 2000 Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan
31. 2001 Memartabatkan Profesion Keguruan tanggungjawab Bersama
32. 2002 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
33. 2003 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
34. 2004 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
35. 2005 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
36. 2006 Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan
37. 2007 Guru Penjana Modal Insan Cemerlang
38. 2008 Guru Cemerlang Negara Terbilang
39. 2009 Guru Pembina Negara Bangsa
40. 2010 Guru Pembina Negara Bangsa
41. 2011 Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara
42. 2012 Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara

Persoalannya, apakah intipati tema-tema di atas tidak melayakkan guru diberi satu cuti khas sempena Hari Guru? Semua guru maklum bahawa tugas guru itu murni dan tanggungjawab yang semurni ini kini berhadapan dengan pelbagai cabaran yang dengan akur dipikul oleh para guru. Janganlah bercerita tentang cuti semester kerana pada cuti semester ini pada masa ini sudah jauh berbeza dengan cuti guru sepuluh tahun yang lampau. Pada masa cuti pun guru-guru, pada hari ini, proaktif dengan pelbagai program, misalnya motivasi,  kelas tambahan intensif, gerak kerja kokurikulum dan kursus. Benarlah ungkapan, 'guru umpama lilin yang membakar diri'; ungkapan yang dianggap paling tepat mewakili kerjaya guru.  Dengan segala dedikasi dan pengorbanan itu, amat malang kerana masih ada dalam kalangan masyarakat yang menganggap tugas guru ini semudah melentur plastisin!

Mungkin satu hari cuti khas sempena hari guru perlu dipertimbangkan apatah lagi dalam dunia pendidikan sekarang, beban yang terpaksa dipikul oleh para guru tidak lagi sama seperti dahulu. Sesungguhnya, tanggungjawab yang dipikul oleh golongan guru pada masa kini amat berbeza dengan tanggungjawab guru 10 tahun dulu. Sesuai dengan itu juga, secara peribadi juga, mengisytiharkan 16 Mei sebagai Cuti Awam akan menyedarkan masyarakat betapa guru sememangnya salah satu daripada tulang belakang dan tunjang yang amat penting bagi negara kita. Pengisytiharan 16 Mei sebagai cuti awam diyakini akan turut mengubah persepsi suram masyarakat yang 'terlupa' atau 'buat-buat lupa' tentang jasa guru. Lebih teruk lagi, ada dalam kalangan masyarakat yang tidak tahu pun tarikh Hari Guru. Sekali lagi pada hemat saya, dalam dunia sekarang, tidak salah menjadikan 16 Mei sebagai Cuti Awam kerana guru-guru di Malaysia memang layak untuk memperoleh penghargaan itu.

Sesungguhnya, dengan tulisan ini,  tidak terniat sama sekali bagi saya memperlekeh keguruan dan keinsanan golongan guru.  Saya guru kerdil dan salah seorang daripada jutaan warga guru yang percaya dengan pendapat William Arthur Ward yang mengatakan: "The mediocre teacher tells. The good teacher explains. The superior teacher demonstrates. The great teacher inspires."

Selamat Hari Guru untuk semua guru yang pernah mendidik saya.

Selamat Hari Guru untuk semua rakan guru di Sabah.

Selamat Hari Guru untuk semua rakan guru di Malaysia.

Kita mengharapkan banyak keajaiban sempena Hari Guru bagi tahun 2012 ini.




(C) WITER GUNIK

Tiada ulasan: