Sabtu, 23 Mei 2009

NILAI PATRIOTIK & LAGU KEBANGSAAN....


DI MANA-MANA sekolah sekarang, adalah satu amalan biasa untuk mengadakan perhimpunan lima belas minit sebelum masa rasmi pembelajaran bermula pada setiap pagi sebagai satu strategi pendisiplinan pelajar. Pendisiplinan ini tidak hanya merujuk kepada pembiasaan agar pelajar awal ke sekolah bahkan juga usaha menerapkan nilai patriotisme dalam kalangan pelajar. Pada kesempatan perhimpunan pagi inilah, lagu kebangsaan, lagu negeri dan lagu sekolah dinyanyikan di samping ruang bagi "Laungan Semangat Sekolah". Disebabkan sesi ini bukan Perhimpunan Rasmi (seperti yang biasanya diadakan pada pagi hari Isnin), lazimnya yang akan berada di tapak perhimpunan ialah guru-guru yang bertugas sepanjang minggu berkenaan, guru-guru disiplin, Pengetua, serta para Penolong Kanan. Kaunselor juga turut hadir dengan slot khas sebagai pemotivasi kepada para pelajar.  

Sebenarnya saya terfikir untuk membuat catatan sedikit berkenaan hal ini apabila seorang rakan (yang sangat) baik bertanyakan pendapat saya tentang punca pelajar (sekarang) tidak menyanyikan lagu kebangsaan, lagu negeri hatta lagu sekolah dengan sikap yang sepatutnya - penuh hormat dan khusyuk. Kawan baik ini malah mahukan pendapat saya sama ada kehadiran guru yang kurang (berbeza dengan hari Perhimpunan Rasmi) mempunyai kaitan terhadap isu tersebut. 

Pertanyaan itu 'sangat mahal' bagi saya kerana hal ini menunjukkan keprihatinan kawan baik saya itu tentang sikap segelintir pelajar pada masa ini yang kurang mengambil berat tentang sikap pelajar semasa menyanyikan lagu-lagu rasmi. 

Saya melihat isu ini sebagai kes terpencil yang hanya melibatkan kelompok yang kecil dalam komuniti sekolah. Guru sepanjang masa (sejak pelajar ini memasuki alam persekolahan di prasekolah sehinggalah ke sekolah menengah) telah mengasuh dan mendidik pelajar tentang sikap yang sepatutnya diamalkan semasa menyanyikan lagu-lagu rasmi. Nilai menghormati lambang dan jati diri telah diterap seawal mungkin sesuai dengan misi yang tersurat dan tersirat dalam Falsafah Pendidikan Negara. Nilai menghormati lambang dan jati diri rasmi ini bahkan diberi penekanan dalam semua kegiatan kokurikulum di sekolah (tidak seputar Kelab Rukun Negara semata-mata). Akta Pendidikan 1996 dengan jelas menyatakan: “Kegiatan kokurikulum sebagai kegiatan yang dirancang lanjutan daripada proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik kuliah yang memberikan pelajar peluang untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang dipelajari di bilik kuliah”. Usaha pemantapan nilai berkenaan itu belum lagi termasuk siri program semua sekolah seperti Sambutan Hari Kemerdekaan atau Bulan Patriotik yang sememangnya diadakan pada saban tahun.

Bagi saya pertanyaan yang lebih relevan ialah penerimaan di pihak pelajar sendiri. Saya akur dengan hakikat bahawa tahap penerimaan dan keupayaan penghayatan pelajar, sebagaimana dalam penerimaan maklumat akademik, tidak sama. Ada yang sekali diperingatkan sudah mampu mempraktikkan apa yang diterima. Sebahagiannya ada yang perlu berulang kali diberitahu. Segelintir pula ada yang tidak mengendahkan langsung. Pihak yang disebut terakhir inilah yang selalu menimbulkan salah anggapan terhadap kejayaan penerapan dan amalan nilai menghormati lagu kebangsaan, negeri atau sekolah. Pepatah Melayu ada mengatakan kerana nila setitik rosak susu sebelanga; seekor kerbau membawa lumpur semuanya terpalit.

Sesungguhnya, tanggung jawab menjana semangat patriotik dalam kalangan generasi muda khususnya pelajar bukan tanggung jawab sekolah sahaja. Pihak lain yang perlu turut sama berganding tangan namun jarang ditimbulkan dalam hal ini ialah pihak ibu bapa dan media massa.  

Amat malang ada ibu bapa yang langsung tidak mengendahkan nilai menghormati lambang dan lagu-lagu rasmi. Hal ini memberi gambaran seolah-olah nilai menghormati itu hanya untuk para pelajar. Pada masa sukan sekolah misalnya, apabila warga sekolah berdiri tegak untuk menghormati lagu kebangsaan, lagu negeri atau lagu sekolah, ada ibu bapa yang masih duduk bercerita seolah tidak peduli pun dengan lagu-lagu rasmi yang sedang didengar. Tidak hairanlah sikap negatif ini turut mempengaruhi anak-anak mereka.   

Media massa sebagai pengaruh yang kuat kepada masyarakat sepatutnya mengambil kesempatan sepanjang masa dengan turut memberi ruang kepada iklan yang bersifat ketatanegaraan yang membawa mesej menghormati lambang dan lagu-lagu rasmi. Sehingga ke tarikh tulisan ini saya tulis, amat jarang kita melihat stesen televisyen kita sama ada swasta atau kerajaan (RTM) yang menyiarkan selingan iklan yang membawa mesej yang sedemikian.  Janganlah hanya menjelang Ogos barulah keluar iklan, "Aku masih ingat lagi...." Jika media massa yang mempunyai jutaan 'penonton' dan 'pengikut' setia ini tidak tekal dalam memberi sekelumit ruang untuk menyokong pemantapan kesedaran menghormati lambang dan lagu-lagu rasmi negara kita, siapakah lagi yang dapat kita harapkan?  

Di peringkat lokal, Pengerusi Rukun Tetangga, Yang Dipertua PIBG, Ketua Kampung, Penggawa, dan Penghulu juga tidak harus lepas tangan. Jawatan yang disandang itu tidak harus menenggelamkan usaha pemantapan kesedaran patriotik dalam kalangan bawahan kita.

"Benarkah kurang guru (pada perhimpunan pagi) menjadi salah satu faktor yang kebanyakan pelajar tidak menyanyikan lagu kebangsaan atau apa-apa lagu dengan bersungguh-sungguh?"

Apabila kembali mengingat pertanyaan kawan baik itu, saya berasakan ada perasaan yang aneh menyusup dalam hati.  Perasaan yang aneh ini bertitik tolak daripada hakikat bahawa saya mempunyai kawan (yang sangat) baik yang ada kesedaran patriotik. 

"Tapi, Cikgu setuju juga (jika melihat isu itu) daripada persepsi seorang pelajar?"

Jika itulah pertanyaannya, barangkali saya boleh menjawab, "Ya...." Ataupun, lebih afdal seandainya saya mencadangkan kepadanya membaca tulisan saya pada blog ini. Ini bukan jawapan sebenarnya namun bukankah tidak semuanya perlu dijawab; memadai jika direnungi dan direnungi? 

Memiliki seorang kawan (yang sangat) baik yang patriot seperti itu mendorong saya bernafas lega dan kagum: "Wah!" Dia barangkali bersetuju dengan saya bahawa bagi Sang Patriot, setiap hari adalah Hari Kebangsaan!


(C) WITER GUNIK

Tiada ulasan: