Isnin, 4 Mei 2009

PACQUIAO: JUARA DUNIA WELTER WEIGHT IBO!

KEJAYAAN Manny Pacquiao menjadi Juara Dunia acara Tinju kelas Welter Weight IBO pada 03 Mei 2009 yang lalu menimbulkan sensasi yang luar biasa. Di Filipina sahaja, Presiden Gloria Arroyo telah mengisytiharkan cuti umum pada hari Isnin bagi meraikan kejayaan Pacquiao menjulang dan mengharumkan nama Filipina di persada sukan tinju skala dunia. Dalam pertarungan itu Pacquiao atau Pac-man (sebagaimana julukan media terhadapnya) telah menundukkan petinju dari Inggeris iaitu Ricky Hatton dengan kemenangan K.O. Ricky Hatton gagal untuk bangkit selepas dijatuhkan kali ketiga oleh Pacquiao pada minit 2 :39 pusingan yang kedua.

Pacquiao, 30 tahun, berjaya menamatkan usaha Hatton untuk kekal dalam persaingan setelah satu tumbukan kencang daripada tangan kidal Pacquiao mengenai rahang kanannya. Ternyata kelebihan berat bagi Hatton (140 pound) ke atas Pacquiao (138 pound) tidak menjadi masalah langsung bagi Pacquiao untuk menjinakkan Hatton.

Lebih daripada 16 ribu penonton menyaksikan pertarungan tinju dunia itu di MGM Grand Hotel, Las Vegas. Pada awal pertandingan, Hatton nampak bersemangat memulai pertarungan dengan mencoba menekan Pacquiao ke tali ring. Bagaimanapun, Pacquiao mengembalikan semula paku buah keras itu dengan kombinasi pukulan yang mengakibatkan wajah Hatton mula berdarah.  Satu hook kanan mengakibatkan Hatton terjatuh namun masih menggagahkan diri bangkit meneruskan perlawanan. Di tengah tekanan, Hatton terdesak di tali dan kembali jatuh bagi kali kedua dek hook kiri Pacquiao. Pada pusingan kedua, Pacquiao mempertahankan penguasaannya dengan aksi yang menjadi 'trade mark'nya iaitu kombinasi serangkaian pukulan keras dan jab-jab. Akhirnya sebuah hook kirinya membuat Hatton terlentang tanpa upaya lagi untuk bangkit! 

Pacquiao yang disebut-sebut sebagai petinju terbaik dunia untuk pelbagai kelas, kini mencatat rekod 49 kali menang (37 dengan KO), tiga kalah dan dua kali seri.  

Perlawanan dan kemenangan bersejarah bagi Pacquiao itu dapat ditonton dalam link berikut:


Saya melihat kemenangan Pacquiao itu sebagai satu peristiwa yang menyemarakkan inspirasi dan motivasi jika dilihat dari persepsi kita sebagai manusia Nusantara. Pacquiao berjaya membuktikan bahawa:

     a.   Saiz badan tidak selamanya menjadi penentu kepada kejuaraan sukan yang melibatkan adu fizikal                 seperti tinju;
     b.   Disiplin diri, ketekunan berlatih dan sikap tahan uji amat penting jika mahu berjaya dalam sebarang               perkara lebih-lebih dalam sukan yang melibatkan kejuaraan dunia;
     c.   Misi dan niat membawa 'penghormatan dan nama harum' kepada negara amat penting dalam usaha               memburu kecemerlangan;
     d.   Menjadi yang terbaik selalu bermakna bersedia berkorban masa yang terbaik dan memberi usaha                 yang terbaik;
     e.   Kemenangan itu memberi isyarat kepada dunia 'orang putih/negro' bahawa tinju bukan lagi milik
           mutlak mereka.

Sesuatu kemenangan sepatutnya menjadikan kita lebih perkasa dari segi kesedaran diri. Bersama kita renungi ungkapan penuh makna daripada Pacquiao selepas kemenangan itu. Beliau dengan penuh rasa rendah diri berkata:

       "Semua orang terkejut. Juga saya. Saya tidak mengira berupaya menang dengan mudah. Tapi saya telah berlatih keras. Saya hanya melakukan pekerjaan saya."

Bilakah agaknya kita di Malaysia akan melihat seorang wira Malaysia mampu menjulang kejuaraan tinju kelas dunia? Kita sudah diwar-warkan dengan hasrat Kementerian Pendidikan 'menjadikan pendidikan Malaysia bertaraf dunia'.  Hasrat ini penting sebab salah satu daripada sub-bidang yang hendak digemilangkan itu ialah kokurikulum. Pertanyaan emas kita ialah apakah kita sudah cukup berusaha ke arah 'taraf dunia' itu?

(C) WITER GUNIK