Rabu, 18 April 2012

TERBELAKAH KEBAJIKAN PENGGIAT SENI KITA?


TERBELAKAH kebajikan penggiat seni kita?

Hati saya terdetik untuk menulis tentang isu ini apabila membaca laporan akhbar tentang kisah Rumah Pusaka P.Ramlee yang telah dilekatkan notis akan disita oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada 11 April 2012 yang lalu. Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Ahmad Fuad Ismail menyatakan cukai taksiran sebanyak RM4,385 selepas Suria, balu Nasir P. Ramlee, gagal menjelaskan tunggakan berjumlah RM10,151.50 sejak 10 tahun lepas menyebabkan rumahnya disita DBKL. Notis itu mungkin tidak menjadi isu yang menuntut keprihatinan sekiranya P.Ramlee itu orang biasa. Persoalannya ialah rumah itu ialah rumah Seniman Negara, P.Ramlee. Sebagai Seniman Negara, P.Ramlee bukan orang biasa. Dia antara orang seni luar biasa yang Malaysia pernah ada.

P.Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh, lahir di Pulau Pinang, 22 Mac 1929. Ikon seni Malaysia ini merupakan penggiat seni serba boleh. Kelebihan inilah yang membezakan beliau dengan ramai penggiat seni Melayu. Malangnya, beliau meninggal dunia 'tanpa harta'; yang ada hanyalah legasi seni beliau sebagai seniman serba boleh: penggubah lagu, penyanyi, pelakon. Beliau telah menjadi pengarah kepada 35 filem; berlakon dalam 66 filem serta menggubah dan menyanyikan lebih daripada 360 lagu yang kebanyakannya merupakan soundtrack filem-filem lakonan beliau. Filem karyanya telah mendapatkan lebih daripada 30 perhargaan. Filem arahan sulung beliau, 'Penarek Becha' pada tahun 1955 yang menjadi filem terbaik dan beliau sendiri dipilih sebagai Pengarah Terbaik pada tahun 1956. P.Ramlee turut menerima banyak anugerah untuk dirinya dan filem-filem arahannya. Filem, 'Sumpah Orang Minyak' arahan beliau telah memenangi 'Fotografi Hitam Putih Terbaik'; 'Pendekar Bujang Lapok' dipilih sebagai filem Komedi Terbaik di Pesta Filem Asia ke-6 pada tahun 1959 di Kuala Lumpur; dan 'Nujum Pak Belalang' dan 'Madu Tiga' mengungguli anugerah 'Komedi Terbaik' pada tahun 1958.

Penggiat seni yang rapat dengan beliau semasa hidup ramai yang menggambarkan P.Ramlee sebagai seorang yang ikhlas, gemar berkawan dan hebat dalam kegiatan seninya. Sebahagian yang mungkin mencemburui beliau mengganggap P.Ramlee sebagai bongkak, kaki joli, kaki wanita dan pelakon yang gagal. P. Ramlee telah meninggal dunia pada pagi Selasa 29 Mei 1973 ketika berusia 44 tahun dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang Kuala Lumpur.

Jasa P.Ramlee dalam dunia seni dianggap sebagai 'tiada berganti' dan Allahyarham telah dianugerahi Bintang Kebesaran Darjah Panglima Setia Mahkota oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1990 yang membawa gelaran Tan Sri. Selain itu rumah terakhir beliau di Jalan Dedap, Setapak telah diubahsuai dan dijadikan sebagai "Pustaka Peringatan P Ramlee" pada tahun 1986. Manakala di tengah pusat bandar raya Kuala Lumpur namanya turut diabadikan pada sebatang jalan iaitu Jalan P.Ramlee (dahulunya Jalan Parry) pada tahun 1982. Di Kuching juga ada sebatang jalan yg dinamakan Jalan P.Ramlee. Beliau turut mendapat penghargaan doktor falsafah dalam bidang seni persembahan pada tahun 2005 yang membawa gelaran "Doktor". Beliau juga diberi penghormatan oleh Kerajaan Negeri Sarawak,dengan penganugerahan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak "Datuk Amar Bintang Kenyalang" (Posthumous) (DA (P)) pada 2009. Pada tahun 2007, P. Ramlee telah terpilih sebagai 10 calon terakhir bagi program "Anak Gemilang Malaysia" yang mengiktiraf rakyat Malaysia yang banyak memberi sumbangan kepada negara dan kejayaannya menaikkan nama negara di mata dunia.

Inikah nasib seniman? Mempersembahkan bakat, meninggal kemudian dilupai? Ini sama halnya dengan tragedi yang berlaku kepada aktor Hollywood dahulu yang kini dilupai: Leslie Howard, Alan Ladd, Joel McCrea, William Powell atau George Raft. Generasi muda kita seolah-olah semakin kurang peduli dengan jasa P.Ramlee (ah, bayangkan juga nasib S.Kadarisman dan S.Shamsuddin yang low profile yang tidak diberi anugerah sepatutnya sedangkan bakat seni yang mereka miliki itu juga cukup bagus; demikian juga Nordin Ahmad yang bagi saya lebih hebat daya penghayatannya dalam lakonan itu tidak diberi sebarang anugerah sehingga kini....). Bagi P.Ramlee, peninggalan beliau juga nampaknya kian 'tidak dianggap penting'.

Orang yang belajar pengurusan mungkin akan berpendapat P.Ramlee kurang pandai merancang masa hadapannya, dan kurang bijak menggunakan kelebihannya semasa berada di puncak kerjayanya sebagai orang seni. Menyedihkan kerana semasa tahun suram bagi P.Ramlee yakni pada tahun 1972-1973, dia hidup miskin (melarat?) sehingga harus bernyanyi pada pesta orang kahwin untuk mendapatkan wang (ada juga sumber yang mengatakan dia terpaksa pula membuka tempat permainan mahjong). Ini episod hidup yang malang bagi seorang seniman yang dianggap besar di Malaysia.

Dalam keadaan sekarang, kisah Rumah P.Ramlee yang sudah dilekatkan notis untuk disita itu sudah selesai apabila Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO melunaskan bayaran taksiran tertunggak berjumlah RM5,766.50 kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi rumah pusaka seniman agung Tan Sri P.Ramlee yang kini didiami menantunya, Suria Bakar (Bernama, 19 April 2012). Pengerusinya, Datuk Muhd Khairun Aseh berkata, bayaran itu dibuat hasil sumbangan orang ramai yang diperolehi semalam setelah media melaporkan masalah menantu P.Ramlee. Bernama juga melaporkan bahawa pihak yang sama juga berjaya memperoleh kelulusan pentadbiran Universiti Lim Kok Wing bagi menyambung biasiswa Diploma Profesional dalam jurusan Penataan Bunyi dan Muzik untuk anak Suria, Zakaria Nasir, 21. Sebenarnya, kita salut dengan kekuatan media yang telah membuat banyak pihak terjaga dari tidur ekoran isu ini. Kita percaya pihak berkenaan ikhlas membantu dan tidak menggunakan 'keprihatinan' itu sebagai publisiti murahan bagi demam PR13 yang bahangnya sangat terasa marcapada ini.

Kita tertanya-tanya langkah yang kerajaan atau sekurang-kurangnya media Malaysia akan lakukan bagi mengenang kehebatan P.Ramlee pada 29 Mei akan datang. Bulan Karya P.Ramlee? Itu tidak pernah diadakan namun mungkin satu cadangan yang baik untuk mengingati jasa seniman serba boleh itu. Atau, mungkin kita sama-sama dapat bertanya: Cukupkah dengan ruang penyiaran karya?



Pada hemat saya, masih belum terlambat bagi Kerajaan memperkenalkan Pelan Pintar Kebajikan bagi keluarga penggiat seni yang telah dikenal pasti mempunyai jasa besar kepada negara. Hal ini penting supaya kebajikan keluarga para seniman ini akan terjaga meskipun jasad mereka sudah bersemadi. Mungkin dengan cara ini, masyarakat akan lebih menghargai peranan orang seni kita. Selain itu, hal ini juga mungkin dapat menyingkirkan tanggapan bahawa semua orang seni itu kaya. Bagi orang seni, hal ini menjadi iktibar kepada mereka untuk memikirkan masa hadapan mereka khasnya ketika mereka sudah 'tidak laris lagi di pasaran seni' atau apabila mereka sudah tiada lagi di dunia ini.


(C) WITER GUNIK

Tiada ulasan: