Sabtu, 20 Oktober 2012

PERIBAHASA: "CIKGU, BAGAIMANALAH AGAKNYA PAGAR HENDAK MEMAKAN PADI?"

'HARAPKAN pagar, pagar makan padi', demikian salah satu daripada peribahasa yang lazim kita dengar.

Dalam satu sesi pembelajaran bahasa, salah seorang pelajar saya bertanya: "Cikgu, bagaimanalah agaknya pagar hendak memakan padi?" Sebenarnya, pertanyaan itu adalah reaksi yang biasa (mungkin) sebab seingat saya ketika berhadapan dengan peribahasa ini sebagai pelajar berpuluh tahun dahulu, pertanyaan yang sama juga saya timbulkan dan ajukan kepada guru bahasa saya.

Menghadapi pertanyaan itu, saya memberikan justifikasi berdasarkan pemahaman saya yang saya warisi daripada guru-guru bahasa saya dahulu: "Penggunaan 'pagar' dan 'padi' dalam peribahasa itu adalah kiasan sahaja. Dalam pertanian, petani lazimnya memagari sekeliling kawasan penanaman padi sebagai satu penghalang masuknya haiwan seperti kerbau, lembu, kambing yang merosakkan tanaman padi tersebut. Ini bermaksud, pagar itu 'diharapkan' sebagai pelindung bagi tanaman berkenaan. Keadaan inilah yang menjadi sumber ilham masyarakat Melayu zaman dahulu bagi mencipta peribahasa 'harapkan pagar, pagar makan padi' yang sebenarnya mendokong maksud, harapan yang diletakkan pada bahu seseorang tetapi akhirnya orang itu pula yang merosakkannya. Dengan kata lain, peribahasa harapkan pagar, pagar makan padi itu bererti, orang yang kita percayai, mengkhianati kita. Kita mengamanahkan atau memberi kepercayaan kepada seseorang, sebaliknya orang itu pula mengkhianati kepercayaan atau amanah yang kita berikan."

Perkara ini timbul kembali dalam kepala saya kerana sewaktu menyoroti wikipedia, saya membaca tentang spesis haiwan yang dipanggil oleh orang Melayu sebagai ayam pegar. Di Indonesia, spesis ini mereka tidak panggil sebagai ayam pegar; mereka memanggil spesis ini sebagai burung pegar. Dalam kalangan masyarakat Kadazandusun di Sabah, spesis ini dipanggil sebagai pekiak.



Berdasarkan maklumat dari wikipedia di atas, ayam pegar ialah sejenis burung kuang yang terdapat di Semenanjung Tanah Melayu, Borneo dan Sumatera. Nama saintifiknya ialah Lophira ignita. Haiwan ini disenaraikan dalam Appendiks III CITES di Malaysia; spesis haiwan ini dilindungi di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972/Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010. Ayam pegar bersaiz antara 55 hingga 70 cm panjang, dengan panjang ekor 15-30 cm. Berat badannya antara 1.6 kg hingga 2.6 kg. Pegar jantan lebih besar daripada pegar betina. Kedua-dua jantina juga dapat dikenal pasti melalui jambul dan kulit muka berwarna biru. Ayam pegar  memakan padi, daun muda, buah dan haiwan kecil. Telur ayam pegar berwarna putih krim. Sebanyak 4-8 telur akan dieramkan sehingga beberapa minggu. Anak pegar mempunyai bulu coklat kehitaman di bahagian atas dan kelabu putih di bahagian bawah. Habitat popular bagi ayam pegar ialah di hutan tanah pamah kecuali hutan paya gambut.


Wikipedia Indonesia pula menyatakan bahawa burung pegar atau ayam pegar adalah nama umum dari kelompok burung famili Phasianidae ordo Galliformes, termasuk burung-burung jenis kuau dan lain-lain. Spesis haiwan ini dicirikan dengan sifat dimorfisme seksual yang kuat, warna spesis jantan lebih cerah dan kaya warna serta memiliki ekor yang lebih besar dan panjang. Ukuran tubuh jantan umumnya lebih besar dari pada betina. Jantan tidak memiliki peranan dalam membesarkan burung pegar muda. Burung pegar umumnya memakan biji-bijian dan beberapa memakan serangga. Terdapat 35 spesis pegar daripada 11 genera. Beberapa spesis sangat popular sebagai haiwan peliharaan, misalnya Pegar Emas.



Saya ingin menarik perhatian kita semua terhadap dua ayat yang saya boldkan dalam cuplikan maklumat di atas: (a) Ayam pegar  memakan padi, daun muda, buah dan haiwan kecil dan (b) Beberapa spesis sangat popular sebagai haiwan peliharaan, misalnya Pegar Emas.

Dua ayat di atas inilah yang sebenarnya mengganggu fikiran saya dan mengingatkan saya terhadap jawapan saya berkaitan dengan pertanyaan murid saya dalam pembelajaran bahasa. Bagaimana jika peribahasa itu sebenarnya berbunyi, 'harapkan pegar, pegar makan padi?' Dalam sumber di atas, dinyatakan bahawa ayam pegar ini memakan padi, daun muda, buah dan haiwan kecil. Menarik kerana, dikatakan bahawa ayam pegar ini ada yang dijadikan sebagai haiwan peliharaan. Ini menimbulkan persoalan lain, jika dipelihara, siapa yang memelihara? Apakah tujuan pegar dipelihara? Apakah untuk dagingnya? Di Sabah, khususnya dalam masyarakat saya sendiri pada masa dahulu sebelum adanya penguatkuasaan undang-undang yang melindungi haiwan ini, pegar yang dipanggil pekiak ini hanyalah salah satu daripada haiwan hutan buruan yang sedap sebagai lauk! (Nota: Saya belum pernah mencicipi daging haiwan ini!). Bagaimana kalau yang memelihara itu ialah petani? Jika benar, secara logik, sudah pasti pegar  digunakan bagi membantu petani menakutkan haiwan perosak padi seperti tikus yang memang suka memakan padi. Secara logik juga, disebabkan pegar yang menjadi pengharapan petani ini malah memakan padi yang sepatutnya dilindungi daripada haiwan perosak, masyarakat Melayu zaman dahulu (mungkin) mengambil ini sebagai satu kiasan bijaksana bagi memperkatakan tentang perbuatan khianat oleh seseorang yang kita harapkan. Bagi saya, 'pegar' lebih masuk akal berbanding 'pagar'. Apakah ada sesiapa yang dapat menunjukkan kepada saya bagaimana 'pagar' memakan padi?



Rupanya, isu ini sudah agak lama dibincangkan di beberapa buah blog. Salah satu blog yang berkaitan tidak sahaja membincangkan tentang peribahasa, harapkan pagar, pagar makan padi, bahkan turut membincangkan tentang peribahasa, melepaskan batuk di tangga, yang katanya sepatutnya berbunyi, 'melepaskan batok di tangga'. Maklumat dari blog itu menyatakan bahawa kesilapan melibatkan dua peribahasa di atas berlaku dek kesilapan menterjemahkan ejaan jawi kepada tulisan rumi yang lazim.


Kita menunggu jawapan rasmi daripada Dewan Bahasa dan Pustaka bagi memperjelas hal ini kerana hal ini penting dalam konteks pewarisan peribahasa sebagai salah satu daripada kekayaan bahasa yang menggambarkan jati diri dan  worldview masyarakat Melayu.

Mungkin ini dalam fikiran saya sahaja meskipun saya percaya ada ramai lagi guru bahasa yang mempunyai tanda tanya yang serupa. Sehingga kini, pertanyaan pelajar saya itu masih terngiang: "Cikgu, bagaimanalah agaknya pagar hendak memakan padi?"

 (C) WITER GUNIK

Tiada ulasan: