Isnin, 18 Mei 2009

REMAJA WANITA DAN PENCAK BELA DIRI


KEJADIAN rogol melibatkan dua orang remaja perempuan bersaudara (sepupu) yang dirogol secara bergilir-gilir oleh sembilan orang lelaki di sebuah bangsal getah berhampiran Pusat Perkelahan Lata Ulu Lawin, Grik  dekat sini, 13 Mei 2009 yang lalu amat mengejutkan kita.  

Dalam musibah itu, Berita Harian melaporkan (19 Mei 2009) bahawa mangsa yang masing-masing berusia 16 dan 17 tahun keluar dari rumah keluarga mereka di Kati, Kuala Kangsar apabila seorang daripadanya menghubungi teman lelakinya untuk mengajak makan di pekan Lenggong dan dibawa membonceng motosikal oleh teman lelaki mangsa dan rakannya. Malangnya, mereka dibawa ke Lawin Selatan, Grik sejauh lebih 50 kilometer dari rumah mereka. Sumber polis berkata, apabila tiba di bangsal ladang getah itu kira-kira jam 10.30 malam, kedua-dua gadis berkenaan dirogol teman lelaki dan rakannya. Beberapa ketika kemudian, tujuh lagi lelaki yang menaiki motosikal tiba di situ dan merogol mereka secara bergilir-gilir

Laporan rasmi  oleh Datuk Chor Chee Heung (Timbalan Menteri Dalam Negeri) di Dewan Negara pada 2 April  2009 menyatakan bahawa kes rogol di negara ini telah meningkat 300 peratus. 

Pertambahan itu merujuk kepada kes rogol pada tahun 2007 yakni sebanyak 1,241 kes dan mendadak mencapai 4,959 kes bagi tahun 2008. Dalam dua bulan pertama bagi tahun 2009 ini sahaja, sebanyak 769 kes rogol telah dilaporkan. Tidakkah ini satu petanda awal tentang akan berlakunya sekali lagi pertambahan luar biasa dalam kes rogol di negara kita bagi tahun 2009?    Statistik tersebut merupakan igauan ngeri untuk semua rakyat Malaysia yang berfikiran waras.  Benarkah isu rogol seolah tidak mempunyai penyelesaiannya? Jika benar, siapakah yang sepatutnya dibebankan dengan kegagalan usaha pencarian penyelesaian tersebut? 

Kelemahan di pihak wanita yang selalu dibangkitkan ialah:  a) kecenderungan wanita remaja sekarang untuk keluar malam; b) sikap dan perasaan mudah percaya terhadap teman lelaki; dan c) terpedaya kerana pengaruh ubat khayal seperti dadah. Sesungguhnya, tiga perkara ini wajar dijadikan sebagai alasan bagi melihat persoalan pokok dalam insiden itu.

Dalam pada itu, timbul pula pertanyaan: Apakah kejadian itu berlaku jika kedua wanita malang itu mengetahui cara mempertahankan diri?  Bagaimanakah wanita yang kudratnya lemah mampu menyelamatkan diri apabila berhadapan dengan ancaman lelaki durjana? Jawapannya ialah dengan memiliki pengetahuan pencak bela diri. Sama ada pencak bela diri itu silat, shorinji kempo, karate, taekwondo, aikido, hapkido atau sebarang 'pencak yang lain', yang utama di sini ialah mereka mampu mempertahankan dan menyelamatkan diri.

Kes rogol melibatkan pelaku dan mangsa remaja bukan isu baru. Seruan tentang betapa pentingnya mempelajari pencak bela diri juga bukan baru. Bagaimanapun, masyarakat kita kurang memberi perhatian yang khusus. Hal ini mungkin berlaku kerana kita beranggapan yang terlibat itu bukan kita. Kita menjadi lupa betapa dunia sekarang berbeza dengan dunia 10 tahun yang lalu. Nilai-nilai kemanusiaan sudah kian terhakis. Nafsu kebinatangan mengaburi mata sehingga adakalanya kita terkejut pelaku terhadap kejadian rogol ini melibatkan pihak yang ada kaitan darah dengan mangsa rogol itu sendiri. Insiden rogol yang disebutkan di atas merupakan satu contoh kejadian 'rogol secara berkumpulan', perkara yang jarang kita dengar sebelum ini dalam masyarakat kita. Pengaruh media massa yang kini sukar ditapis dan dibendung pengaruhnya telah menumbuhkan 'pengikut jahil' terhadap perkara yang sebelum ini hanya kita dapat dengar dan mungkin tatap di kaca televisyen. 

Mungkin agak keterlaluan meminta Kementerian Pelajaran mewajibkan pelajar wanita memilih pencak bela diri sebagai kegiatan kokurikulum. Bagaimanapun, jika hal ini satu-satunya jalan akhir bagi membantu menjaga keselamatan dan kebajikan para wanita remaja kita, pada hemat saya, opsyen ini harus diberi perhatian yang mendalam.

Kita tidak nafikan bahawa kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia dan badan-badan agama di negara ini telah dan sentiasa berusaha menanamkan nilai-nilai murni termasuklah nilai menghormati wanita. Perkara yang selalu dibincangkan di kedai-kedai kopi ialah: apakah usaha tersebut gagal?

Tanpa menafikan pengaruh faktor-faktor 'lain' terhadap peningkatan kes rogol, ibu bapa dan guru diharapkan mendorong anak-anak mereka untuk menyertai organisasi pencak bela diri di sekolah atau di kawasan tempat tinggal. Dunia ini semakin kasar dan hilang pertimbangan moral dan akhlak. Bahan lucah dapat dicapai oleh anak-anak dengan mudah dan lebih kerap di luar pengetahuan golongan tua. Perkara yang dikejar kebanyakannya menjurus kepada kekayaan material dan keseronokan hidup semata sehingga adakalanya keghairahan terhadap dua perkara ini memaksa mereka menepis nilai-nilai ketimuran yang pernah leluhur kita banggai. Memingit anak-anak di rumah sebagai cara 'sebelum merdeka' untuk mempertahankan kemurnian anak-anak adalah tidak praktikal pada masa sekarang.  Dengan kerencaman dunia sekarang, kita juga tidak dapat menjamin mereka akan sentiasa bersama-sama teman apabila berada di luar; akan ada masa mereka terpaksa menguruskan sesuatu seorang diri tanpa kehadiran ibu bapa atau rakan-rakan.

Apalah gunanya jika anak yang kita jaga sebaik mungkin sejak kecil tiba-tiba dikhabarkan ditemui dalam keadaan pengsan (atau meninggal dunia!) kerana diperkosa lelaki durjana? Kepada anak-anak, ibu bapa dan guru-guru sudah sewajarnya menanamkan nasihat agar sentiasa berwaspada hatta terhadap orang yang dikenali. Pada hemat saya, kewanitaan seseorang perempuan tidak akan terjejas hanya kerana dia pandai menendang atau menumbuk. Jika kaedah karate itu terlalu kasar pada anggapan kita untuk anak gadis kita, mengapa tidak kita galakkan dia menyertai kelas yang lembut tetapi tetap berkesan sebagai 'human weapon' seperti aikido? Kita juga wajar menepis kebimbangan kononnya anak-anak kita akan 'menjadi samseng' apabila mempunyai kemahiran pencak bela diri. Maaf, setahu saya setiap 'martial arts' ini mempunyai rukun dan etika tersendiri yang lazimnya positif dan membentuk disiplin kendiri yang tinggi pada pengamalnya. (Jika ibu bapa dapat meluangkan masa bertanya kepada guru-guru disiplin di sekolah, pasti mereka akan terkejut apabila mendapati pelajar yang lazimnya terbabit dalam pergaduhan di sekolah itu ialah pelajar yang bukan ahli kepada persatuan pencak bela diri!) Perkara penting di sini ialah kita sebenarnya ada pilihan persatuan pencak bela diri mana yang harus disertai oleh anak-anak kita mengikut kesesuaian dan berdasarkan pertimbangan kita sebagai ibu bapa. Masalahnya ialah kita tidak mengganggap kemahiran membela dan mempertahankan diri itu satu yang cukup penting. Berapa ramaikah dalam kalangan kita yang menyedari betapa golongan wanita yang terjebak dalam kancah bohsia, pelacuran atau 'sugar daddy' ini ada yang asalnya bermula sebagai remaja yang menjadi mangsa rogol?


Sediakan payung sebelum hujan; beringat sebelum kena. Semarakkan keinginan anak-anak remaja kita untuk mendekati pencak bela diri demi manfaat yang tidak kita sangka-sangka pada masa yang kita tidak duga sama sekali. Percayalah, sekelumit ilmu dunia pencak bela diri tidak pernah merugikan.

(C) WITER GUNIK

Tiada ulasan: