Isnin, 11 Mei 2009

SELAMAT HARI GURU, CIKGUKU!


"CIKGU, apa khabar?"
 
"Cikgu mengajar di mana sekarang?"

"Saya masih ingat lagi...."

Ungkapan penuh mesra di atas adalah satu perkara nan lumrah namun amat manis untuk didengar para guru. Apabila berhijrah atau berada di tempat lain dan orang mengetahui kita ini penjawat jawatan guru, seperkara yang selalu mengharukan hati para guru ialah ingatan manis dan layanan penuh hormat daripada ibu bapa dan bekas pelajar.

Saya kurang percaya guru semakin tidak dihormati. Mereka yang kurang dihormati itu 'bukan guru' dalam erti kata yang sesungguhnya: mereka ialah ahli MLM, ahli politik, pemain snooker (atau banyak lagi kecenderungan sebenar) yang 'berbulukan' pakaian seorang guru. Mereka sentiasa melihat profesion keguruan sebagai ruang untuk menambah kekayaan dan bukan sebagai ruang untuk berbakti kepada anak bangsa. Sikap menuntut sesuatu yang memang hak kita memang baik, tetapi lazimnya segelintir guru lebih melihat kepada imbalan yang diperoleh sebagai guru. Mereka inilah yang juga 'terlalu berkira' sehingga mereka tak sanggup untuk kerugian sedikit pun daripada Elaun Khidmat Awam mereka demi pelajar. Mereka inilah juga yang enggan untuk berhijrah ke kawasan yang lebih baik dengan alasan di bandar tiada imbuhan RM1500, RM100 atau RM500 bertopengkan kata-kata "aku hendak berkhidmat kepada penduduk luar bandar".  Mereka inilah juga yang adakalanya mengambil kesempatan menindas pelajar dengan yuran tidak masuk akal melalui aneka program 'motivasi' yang meragukan.  (Nota: saya tidak mengatakan semua guru; saya juga tidak mengatakan program motivasi itu tidak bagus). Sedih?  Golongan inilah yang disindir oleh Tan Sri P. Ramlee dalam salah sebuah filem tentang pemain muzik yang gagal sebagai guru kerana asyik dengan 'kerjaya' muziknya di Kelab Malam.  Malu?

Saya selalu tersentuh hati dengan kesanggupan para rakan guru yang sanggup berkorban demi kecemerlangan anak muridnya. Seorang rakan guru yang mengajar di salah sebuah sekolah menengah agama di Ranau mengatakan kepada saya hari ini (ketika bertemu di salah sebuah kedai fotostat) betapa apabila anak didiknya pada sesi SPM 2008 mencatatkan kecemerlangan luar biasa dalam subjek Bahasa Malaysia yang diajarnya, ada segelintar rakan sejawat yang mempersendakan: "Itu politik tu!" dalam lafaz kecurigaan 'ketulenan' hasil kecemerlangan tersebut. Namun, kata guru tersebut kepada saya: "Pada tahun 2008 saya selalu balik pukul tiga petang ke rumah dan hampir tidak sempat ke kantin sehingga isteri sayalah yang menghantar makanan kepada saya yang sibuk memeriksa latihan penulisan pelajar saya."

Benar, kecemerlangan yang disumbangkan guru sememangnya adakalanya tidak 'ternampak' oleh rakan-rakan sejawat sendiri meskipun rakan sejawatan di sekolah yang sama. Dalam hal ini, saya ingin melihat situasi ini sebagai satu gambaran kesibukan para guru pada masa kini. Situasi ini juga satu bayangan betapa kesibukan mencapai misi sekolah, jabatan dan kementerian menyebabkan guru-guru semakin banyak berkorban demi tugas yang diamanahkan.

"Guru Pembina Negara Bangsa" sebagai tema sambutan Hari Guru Kebangsaan 2009 sesungguhnya amat menepati peranan besar yang terletak di pundak para guru. Roh persekitaran yang berbeza dengan roh 20 tahun yang lalu telah menjadikan profesion perguruan menuntut guru-guru yang ampuh/teguh keguruannya bagi menjana rakyat Malaysia yang dapat dipertanggungjawabkan memperkasa negara demi memacu picu kemajuan negara. Benar pendapat Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom apabila beliau menyatakan bahawa tugas guru pada masa kini "....bukan sahaja mendidik dari segi akademik bahkan juga membina suatu bangsa negara, bangsa Malaysia yang bermodal insan, cintakan negara, mempunyai keyakinan tinggi, jati diri kukuh, berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai moral. Ia penting untuk hidup sebagai sebuah masyarakat penyayang, demokratik, liberal dan bertolak ansur, berfikiran dan berbudaya saintifik."

Kebanggaan sebagai guru sebenarnya terletak pada kepuasan apabila melihat anak didik kita/kami mencapai sesuatu yang lebih tinggi daripada keupayaan asal mereka; kepuasan apabila melihat dapat melangkaui tahap pencapaian keluarga mereka; melampaui tahap pencapaian guru-guru yang pernah bertungkus lumus berkongsi ilmu dengan mereka.

Dalam sambutan Hari Guru, entah pada sambutan Hari Guru yang ke berapa kita melihat ada keberanian kerajaan untuk mengisytiharkan Hari Guru sebagai Cuti Umum. Bukankah mengangkat status Hari Guru sebagai Cuti Umum akan lebih menyedarkan masyarakat awam dan masyarakat guru tentang peranan tak terkata para guru? Barangkali ini kurang wajar bagi sebahagian orang kerana kita para guru kononnya 'sudah banyak menikmati cuti'. Cadangan ini juga mungkin dianggap keterlaluan kerana kita para guru kononnya 'sudah mendapat pelbagai kemudahan dan dilumuri dengan program kebajikan'.  Namun, masih ramai juga yang secara jujur bersetuju jika Kabinet yang ada sekarang membuat proklamasi bersejarah: 16 Mei sebagai salah satu hari kelepasan awam dalam takwim tahunan kita!

Sebagai guru, saya selalu percaya guru memang penjana kepada negara bangsa. Tanggungjawab dan amanah itu dipikul sedemikian rupa dari dahulu sehingga kini demi melahirkan warga Malaysia yang ideal seperti yang tersurat dalam Falsafah Pendidikan Negara yang didasari dengan Lima Teras Rukun Negara.

Selamat Hari Guru kepada semua guru dan semua yang mahu berkongsi semangat keguruan dengan para guru. Mari  kita bersama menyokong, mendokong dan memperkasa misi unggul keguruan kita. 
     
Selamat Hari Guru ....

(C) WITER GUNIK