Rabu, 17 Jun 2009

MENANGANI TEKANAN!

TEKANAN (stress) merupakan satu masalah universal. Setiap kita, pada masa-masa tertentu dalam takah hidup kita pasti akan berasakan betapa kehidupan ini terlalu berat (dan mungkin juga kejam) untuk kita. Pada ketika itu, segala sesuatu yang kita lakukan serba tidak kena dan menimbulkan persoalan serta seribu perasaan yang seolah akan menyebabkan kita gagal mengendalikan diri.

Tekanan mampu melumpuhkan daya kewarasan kita. Disebabkan faktor inilah juga kita melihat ada rakan atau orang yang kita hormati dek keupayaan kerjanya yang luar biasa, tiba-tiba berubah total hanya kerana mengalami tekanan. Pada peringkat tekanan yang tegar, hal ini membuat kita berasakan betapa asingnya perlakuan atau tindakan yang kita lihat dilakukan oleh berkenaan.

Bagaimanakah cara untuk mengatasi (saya lebih gemar menggunakan istilah 'menakluki!) tekanan? Terdapat beberapa cadangan yang biasa disyorkan oleh para pakar. Salah satu daripada syor tersebut ialah menyibukkan diri anda. Apabila anda sibuk diyakini anda akan berupaya mengesampingkan untuk seketika tekanan yang sedang anda alami. Logik bagi cadangan ini mudah: anda akan terlupa perkara yang menjadi tekanan kepada anda apabila anda tidak cukup tangan dengan apa yang anda lakukan.

Beriadah juga satu cara yang positif untuk mengurangkan tekanan. Bersenam atau melibatkan diri dalam kegiatan seperti aktiviti martial arts pasti akan menjadi terapi yang akan memberi anda kebaikan sampingan selain mengatasi tekanan yakni kemahiran mempertahankan diri. Pilihan lain: berkhemah, memancing, mendaki gunung, berbasikal.... Menghairankan juga sebenarnya mengapa dalam keletihan kita kita berasa lega seolah-olah 'sakit kepala' itu ikut sama mengalir bersama-sama dengan peluh kita!

Tekanan juga dapat anda atasi dengan menjadikan persoalan yang menjadi momokan dalam diri anda itu sebagai suatu yang kelihatan 'ringan' kepada anda. 'Ringan' di sini bermaksud anda perlu melihat perkara yang menimbulkan pergumulan dalam diri anda itu dari persepsi yang berupaya menimbulkan kelucuan kepada anda. Lebih lucu lebih kuranglah tekanan!
   
"Kamu tertekan?"

"Siapa kata?"

"Saya. Kamu nampak tertekan."

"I don't suffer from stress. I'm a carrier."

Alangkah selesanya jika setiap kita ada kemampuan untuk 'menjadikan tekanan itu lucu' untuk kita?

Apakah anda pernah mendengar kisah seorang wanita yang mengalami tekanan kerana kehilangan suami tersayang? Suami kepada wanita tersebut telah meninggal dan peristiwa malang itu telah menjadi satu pukulan yang 'maha perit' ke atas wanita berkenaan. Malangnya, dalam kesedihan mendalam dek kehilangan suami tercinta itu, wanita berkenaan tidak mampu untuk menangis. Akibatnya fatal: wanita itu kehilangan batas kesedaran dan kewarasannya dan hidupnya berakhir di Hospital Bahagia.... Disebabkan hal yang sama juga, kita sekurang-kurangnya mengerti mengapa perasaan kehilangan terhadap seseorang jika tidak ditangani dengan bijaksana pasti akan menjadi perkara yang menimbulkan tekanan kepada kita!

Nasihat yang paling penting kepada anda jika anda mengalami tekanan ialah syor agar anda tahu cara melepaskan tekanan itu. Selagi cara itu positif dan anda dapat kawal, maka ya, sila teruskan cara pilihan anda. Ada sahabat baik saya 'mengadu' pada 'kertas' untuk persoalan dan masalah yang dihadapi. Katanya, "Memang sakit apabila meluah dengan 'kertas'; rasanya mahu menangis saja, tetapi saya tahu saya akan lebih sakit jika menangis.... Saya sudah puas menangis...." Ya, biarkan air mata kita membantu kita menyejukkan tekanan kita dalam caranya yang semula jadi itu.

Tekanan juga dapat 'dilepaskan' dengan mengadu kepada seseorang yang rapat dengan anda: ibu, bapa, abang, adik dan seumpamanya. Jika anda berasakan anda tidak mampu berkongsi masalah itu meskipun dengan ahli keluarga sendiri, mengapa tidak berkongsi masalah itu dengan Sang Pencipta melalui doa? Dia selalu pendengar yang baik untuk semua masalah kita. Dia melihat kita, memahami kita seadanya, di mana juga kita berada. Dia teman yang maha setia melebihi siapapun juga yang kita pernah kenal.

"Ketika saya bergelut dengan perasaan saya terhadapnya, saya memaksa diri saya mendengar lagu-lagu rohani!" Apakah perakuan seperti ini biasa anda dengar atau anda sendiri pernah amalkan? Benar, mendengar lagu-lagu yang positif (apapun bentuknya) adalah satu terapi yang sihat untuk anda juga.

Mungkin anda seperti saya dalam usaha menakluki tekanan yang ada, sama-sama berkata: "Please keep me daily, Lord, in your perfect peace. Amen."



(C) WITER GUNIK

Sabtu, 13 Jun 2009

KANAK-KANAK & ORANG DEWASA

SOALAN bonus yang saya peroleh daripada seorang rakan baik saya minggu ini ialah: Kenapa orang dewasa @ ibu bapa memandang rendah terhadap kanak-kanak. Orang dewasa menganggap kanak-kanak itu tidak tahu apa-apa. Tidakkah kanak-kanak itu sebenarnya ‘istimewa’?
Saya kurang bersetuju sebenarnya dengan istilah ‘memandang rendah’. Bagi saya apabila orang dewasa khususnya ibu bapa mengemukakan pandangan yang berbeza dengan alur pemikiran seseorang kanak-kanak, hal itu lebih disebabkan kebimbangan mereka terhadap kanak-kanak itu. Betapa tidak, kanak-kanak dengan pertimbangan naif yang tidak matang selalu tidak menyedari marabahaya yang ada di sekeliling mereka. Faktor usia dan kurangnya pengalaman juga menjadikan mereka terdedah pada hal-hal berbahaya yang ‘mungkin’ di luar perhitungan mereka sebagai kanak-kanak.

Persoalan yang lazimnya timbul ialah kanak-kanak (bahkan segelintir anak-anak remaja!) dek faktor kekurangan pengertian, mereka kerap menyimpulkan ibu bapa pandangan yang berbeza itu sebagai seperkara yang identik dengan ‘tidak mengasihi mereka’.

Orang dewasa atau ibu bapa pun sebenarnya sentiasa dalam pergumulan tentang bagaimana cara sebaik-baiknya berurusan dengan kanak-kanak & anak-anak. Perkara yang paling sukar untuk dilakukan oleh orang dewasa/ibu bapa, pada hemat saya, ialah membina kefahaman dalam diri kanak-kanak itu bahawa mereka ‘kasar’ dan lazimya ‘kurang kompromi’ terhadap kanak-kanak kerana mereka mengasihi kanak-kanak.

Kelebihan bagi orang dewasa @ ibu bapa ialah disebabkan pengalaman dan kedewasaan mereka, mereka berupaya membuka hati untuk belajar tentang banyak hal daripada kanak-kanak. Kasih sayang dalam dunia kanak-kanak biasanya murni tanpa dicemari prejudis, darjat, batas usia, politik atau agama. Kanak-kanak juga lebih mudah menikmati saat-saat gembira berbanding orang dewasa. Kita yang dewasa adakalanya tumpul ‘sense of humor’ disebabkan pelbagai persoalan kita sebagai manusia dewasa. Mereka istimewa kerana mereka tidak perlu menganalisis tentang apa perlu dilakukan. Mereka hanya sibuk melayani perasaan ingin tahu tentang hal-hal yang ada di sekeliling mereka. Kanak-kanak juga ada ketabahan yang tersendiri sebagai kanak-kanak. Apabila kanak-kanak belajar berjalan, mereka tekal dengan usaha itu. Mereka jatuh dan berdiri lagi sebelum akhirnya mereka mampu berjalan dengan pantas. Sebagai dewasa, apakah kita masih mempunyai ketekalan seperti itu?

Saya percaya melayan orang muda mesti didasari dengan kasih sayang yang murni yang didasari kefahaman betapa pendisiplinan harus bergerak seiring. Kanak-kanak dan anak-anak mungkin tidak menyedari sebab mengapa ibu bapa mempamerkan kombinasi tegas-penuh pengertian. Ini bermaksud, jika ibu tegas, bapa penuh pengertian atau jika bapa tegas maka ibu penuh pengertian. Ketika saya terkial-kial sebagai bapa baru dahulu, seorang tua menasihati saya: Jika anak-anak kita takut dengan kita sebagai bapa dan ibunya, kepada siapa lagi mereka mengadu? Maksudnya orang dewasa @ ibu bapa mesti bijaksana menyeimbangkan pada isu-isu dan permasalahan tertentu supaya sentiasa ada salah seorang daripada ibu bapa yang menjadi tempat mengadu.

Kanak-kanak mesti diberi peluang dan kebebasan untuk melakukan sesuatu yang mereka lakukan. Bagaimanapun, mereka juga pada masa yang sama mesti dibimbing sebijaksana yang mungkin supaya memahami bahawa hal itu mesti dilakukan dengan penuh disiplin. Tiada masalah dalam penetapan syarat kepada kanak-kanak. Sang Pencipta juga memberi kebebasan kepada Adam dan Hawa ’memakan’ apa sahaja di Taman Eden.. Firman-Nya: : "Semua pohon dalam taman ini boleh kaumakan buahnya dengan bebas, tetapi pohon pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat itu, janganlah kaumakan buahnya, sebab pada hari engkau memakannya, pastilah engkau mati."

Saya melihat banyak ketegasan yang terlambat. Jika anda mengasihi kanak-kanak, pastikan mereka mendapat dan faham mesej itu seawal yang mungkin. Ada lebih banyak contoh kanak-kanak yang membesar dengan baik dan menjadi ‘seseorang yang berjaya dalam hidup’ meskipun ada tekanan daripada ibu bapanya berbanding kanak-kanak yang ‘dilimpahi kasih sayang yang membabi buta’.

Salomo menyatakan: Train up a child the way he should go; and when he is old, he will not depart from it (Proverbs 22:6). Dalam bahasa jalanan kita mungkin dapat katakan: If you love your kids, love them enough to beat them so that they don't grow up to be idiots.

Kenapa orang dewasa @ ibu bapa memandang rendah terhadap kanak-kanak. Orang dewasa menganggap kanak-kanak itu tidak tahu apa-apa. Tidakkah kanak-kanak itu sebenarnya ‘istimewa’? Jawapannya mungkin dapat dirangkumkan begini: Sebab orang dewasa @ ibu bapa mencintai kanak-kanak itu dalam pertimbangan dan cara mereka yang tersendiri sebagai ibu bapa yang yakin bahawa kanak-kanak itu adalah anugerah Sang Pencipta yang mesti dibimbing dan dididik sebijaksana serta semampu mereka sebaik-baiknya.


(C) WITER GUNIK

Selasa, 2 Jun 2009

ENGGAN MENJADI MANUSIA BARU?

'BARU'- gema perkataan ini mendera benak saya sepanjang minggu ini. Seseorang yang saya anggap dekat dengan hati saya mengatakan: Saya perlu menjadi 'baru'. Meskipun sukar, saya mesti juga menjadi 'baru'.

Akal saya mengatakan: "Ya, saya mahu menjadi baru". Bagaimana seandainya pada masa yang sama hati saya mengatakan: "Saya enggan menjadi baru?"

Mengapa agaknya kita adakalanya enggan menjadi baru? Apa yang ada pada masa lalu itu sehingga kita enggan untuk menjadi orang yang baru? Ingatan yang manis? Benar, proses untuk berubah menjadi manusia baru ini memang tidak mudah dan memerlukan waktu yang lama serta sangat menyakitkan. Saya lazimnya panjang akal dengan melihat tekanan yang saya hadapi dari sudut yang mampu 'menimbulkan kelucuan kepada saya'. Berjaya? Berkongsi kelucuan, ya (ketika ini saya menjadi teringat akan takdir watak Gemini Man yang ada 'wit' tersendiri) namun dalam hati: Odoi, tundu-unduku!

Seorang penternak ayam secara kebetulan menemui sebiji telur burung helang dan meletakkan telur itu pada eraman seekor induk ayam. Telur burung helang itu akhirnya menetas lalu membesar bersama anak-anak ayam yang lain. Sepanjang hidupnya, burung helang itu melakukan persis seperti yang ayam-ayam lain lakukan yakni mengais bumi mencari cacing dan serangga, berketak dan sesekali mengembangkan sayap dan melayah beberapa kaki di udara. Tahun demi tahun dan kini burung helang itu sudah tua. Suatu hati, burung helang melihat seekor burung terbang yang tampak amat hebat di angkasa. Burung yang tampak hebat di angkasa itu melayang melawan arus angin dengan kehebatan sayap keemasannya yang perkasa. Burung helang itu bertanya kepada ayam-ayam yang lain: “Apa tu?” Salah seekor rakannya menjawab: “Itu burung helang. Burung helang tempatnya di langit. Tempat kita di bumi – kita kan ayam....” Sehingga ke nafasnya yang terakhir, burung helang itu hidup dan mati sebagai seekor ayam, seperti yang difikirkannya.

Kisah burung helang yang hidup dan mati sebagai ayam itu amat menyedihkan. Kita (saya) tidak ingin menjalani hidup yang kehilangan jati diri sehingga gagal melihat potensi semula jadi kita (saya) yang sedia ada. Sesekali dalam hidup kita ini, kita memang akan ‘berurusan’ dengan kebetulan yang mungkin akan meninggalkan kesan mendalam dalam kehidupan kita namun mestikah kita membiarkan diri kita ‘kehilangan hati’? Kita tidak mahu menjadi helang yang menerima kehilangan jati diri sehingga gagal mengembangkan potensi yang dianugerahkan Sang Pencipta kepada kita.

Apapun, demi 'sahabat' baik saya itu, saya akan selalu katakan, biarpun perit, pedih, saya terima cabaran menjadi 'baru'. Mari kita takluki hari-hari yang akan kita hadapi ini dengan kekuatan peribadi kita. Mungkin pada suatu hari nanti, kita akan bersama-sama terbang di jagat raya ini meskipun berlainan sarang.



(C) WITER GUNIK