Ahad, 3 Mei 2009

ODOI ODU OH GRANDMA OH NENDA!


BENARKAH cinta hanya wujud dalam kalangan orang muda? Apakah makna kasih sayang kepada orang tua? Mestikah ketuaan disamakan dengan penyisihan dalam masyarakat?

Menonton filem pendek karya Farizie Bin Morinding iaitu Odoi Odu (Oh Grandma atau Oh Nenda) adalah satu pengalaman yang menggetarkan jiwa. Perasaan teruja itu bukan hanya disebabkan reputasi filem pendek itu yang telah menggondol hadiah wang tunai RM5000, piala dan geran pembikinan filem sebanyak RM 100 000.00 di samping memenangi tiga kategori lain iaitu Pengarah Terbaik, Cerita Terbaik dan Pelakon Terbaik. Perasaan itu lahir kerana filem pendek itu memaparkan sesuatu yang akrab dengan citra kehidupan masyarakat bumiputera Borneo. Meskipun fokus lebih kepada kehidupan seorang wanita malang dalam masyarakat Kadazandusun namun ada ikatan ghaib yang telah berjaya 'diaurakan' oleh Farizie yang memberikan kepada kita kesimpulan: Akhirnya telah lahir filem yang hampir berjaya menterjemahkan kesukaran masayarakat desa Borneo dalam filem.  

     
Naratif filem ini dipersembahkan dengan cemerlang oleh lakonan Lukiah Bte Mahadi. Melalui lakonan mantap Lukiah ini, penonton dipersembahkan dengan kesunyian seorang perempuan tua yang juga janda. Kesedihan dan nostalgia terhadap arwah suami tercinta turut menggamit rasa kemanusiaan penonton. Mestikah ketuaan berlangsung dengan suasana penuh perasaan hiba?

Gambaran kedaifan yang dipaparkan mungkin terasa 'terlalu dilebih-lebihkan' oleh Farizie. Pada pendapat saya, gambaran kedaifan itu terlalu memualkan kerana saya secara peribadi meskipun  telah lebih tiga puluh tahun berkelana di bumi Ranau tidak pernah melihat kedaifan yang sedemikian rupa di bumi Ranau. Walaupun demikian, saya akur dengan daya kreatif Farizie yang berjaya menjadikan elemen itu sebagai penjala simpati terhadap nasib Odu. Saya lebih terpesona dengan kemiskinan perasaan kemanusiaan yang disampaikan oleh Farizie lewat kejiranan Odu yang melihat Odu sebagai si tua yang sasau dan sepatutnya disisihkan. Farizie berjaya mengkritik sikap segelintir masyarakat yang gagal melihat keresahan dan permasalahan warga tua; gagal menyelami suka duka warga tua.

Perkara yang paling penting dalam perkara ini ialah hakikat bahawa bakat-bakat muda seperti Farizie Bin Morinding sudah mula berani meneroka anugerah bakat yang ada untuk bersaing di persada seni tanah air. Kita hanya tertanya-tanya, mampukah Farizie menggunakan kelebihan kemenangan yang ada untuk menghasilkan filem lain yang kuat bahkan lebih perkasa daripada kewujudan Odoi Odu? (Mampukah beliau menerima kerjasama sekali lagi untuk menjayakan sekuel bagi Odoi Odu sebagaimana yang dicanangkan dalam media perdana?)

Kita masih teringat pantun yang beliau lafazkan pada malam beliau menerima anugerah kemenangan itu:
       
           'Kalau ada kali di bendang,
                  Kalau mandi jangan sendiri;
            Kalau ada umur yang panjang,
                 Izinkan sahaya berkarya lagi.'

Saudara Farizie: Teruskan perjalanan seni saudara. Mudah-mudahan jejak seni saudara akan dijejaki pula oleh ramai bakat terpendam di bumi Kinabalu ini. 

(C) WITER GUNIK

SUKAN LASAK PILIHAN BAGI YANG MACHO!

KENDERAAN 4X4 lazimnya amat menarik untuk ditonton. CAMEL Trophy ialah satu contoh aktiviti dalam takwim sukan lasak ini yang tak pernah gagal mencuri perhatian. Aktiviti ini memperlihatkan tahap kelasakan melibatkan kenderaan yang dianggap luar biasa. Kenderaan pacuan empat roda dipaksa bergelut dengan selut, pasir dan lumpur, serta berentap menjinakkan bukit dan pelbagai halangan fizikal.

Apabila melihat keasyikan para peminat dan terutama peserta (serta pemodal yang menaja mereka), timbul persoalan: berbaloikah kepuasan atau barangkali kemenangan yang dikecapi dengan segala kerosakan kenderaan yang terpaksa ditanggung?

Beberapa klip video berikut barangkali akan menyentap rasa ingin tahu sekali gus perasaan hairan anda tentang sukan ekstrem ini.

     
     
     
     

Ah, pedulilah jika anda sendiri 'enggan' turun padang di arena maut (?) ini. Sukan lasak memang hanya pilihan bagi yang macho dan tebal sakunya. Kononnya!

(C) WITER GUNIK