Khamis, 29 Mac 2012

MENULIS! MENULIS!

TERLALU lama tidak menulis! Masih menulis tetapi kebanyakan tulisan banyak tersimpan dalam cakera keras komputer dalam bentuk draf. Apabila rakan bertanya lazimnya saya akan menjawab, "Masih menulis" namun saya tidak pernah berpuas hati dan kesannya saya masih anggap karya-karya saya masih status draf.

Blog? Kira-kira dua tahun saya tinggalkan. Menulis kembali dalam blog selalu saya letakkan dalam keutamaan kedua kerana keutamaan semasa adalah urusan di sekolah sebagai pengajar KM, BM dan Ketua Penasihat Kelab Catur.

Secara peribadi saya berazam untuk menjadikan tahun 2012 ini sebagai satu pelantar bagi penataran kegiatan saya sebagai penulis; kembali melayangkan karya untuk media sastera seperti Dewan Sastera di peringkat kebangsaan ataupun di peringkat negeri dengan majalah Wadah. Sesekali bertemu dengan rakan-rakan yang bertugas sebagai karyawan DBP (khususnya di DBP Kota Kinabalu, misalnya Sdr. Rushdi Awang atau Sdr. Salima Salinri- mereka antara yang rajin bertanya tentang karya baru), saya digamit keharuan kerana mereka masih kenal dengan sahabat sastera mereka yang sekian lama terperam dalam 'kerasnya' tuntutan tugas keguruan di sekolah. Semangat rakan-rakan baik dalam Kelab Penulis KDM juga menyemarakkan semangat untuk menulis! Terima kasih untuk dorongan daripada Sdr. Daniel Jebon Janaun atau Sdr. Henry Bating.

Harap saya juga akan mampu mengikutsertakan diri dengan sayembara penulisan sama ada di peringkat negeri atau kebangsaan. Apa salahnya bertanding untuk menguji kembali kemahiran yang ada? 2012 mungkin membawa banyak cerita baru yang dapat menjadi wadah bagi saya berkongsi buah fikiran dan pemikiran yang memerlukan keprihatinan banyak pihak.

(C) WITER GUNIK

Tiada ulasan: