BAKAT! Pagi ini saya terlihat satu link video berkenaan satu bakat besar yang menggerakkan hati saya menulis lagi di blog ini. Saya jarang teruja hanya kerana lagu namun link seperti yang saya berikan di bawah ini benar-benar 'sesuatu' yang menarik.
Klip video ini adalah klip video seorang pemudi kita bernama Eleliah Bianus dari Kampung Garas, Tambunan yang sedang bermain gitar mengalunkan sebuah lagu karyanya sendiri. Dia menyanyikan lagu itu dengan cukup santai dan seperkara yang menarik, dia penyanyi yang cukup bagus.
Sekian lama kita bersama
melayari bahtera cinta
kau berjanji akan setia
padaku selamanya
Entah bila kau ada di sisi
siksa bila kau tiada di sisi
Kerana kaulah yang
selalu di hatiku oohoo
Dan bila kau tiada di sampingku
memang benar kau tinggalkan aku
mana janji yang kauucap dulu
sungguh ku tidak sangka akhirnya begini
o kasih
aku harap kau kembalilah
dan jangan pergi tinggalkan aku
cintaku selalu adalah untukmu
untuk dirimu
o kasih
Selagi masih ada cinta dan rindu
selagi aku masih setia
aku menunggu hanya harap kau kembali
kepadaku
kembalilah kepada diriku
jangan pergi tinggalkan aku
dan bila kau tiada di sampingku
memang benar kautinggalkan aku
mana janji yang kauucap dulu
sungguh tidak kusangka akhirnya begini
aku harap kau kembalilah
dan jangan pergi tinggalkan aku
cintaku selalu adalah untukmu
untuk dirimu
selamanya
Menghayati klip video ini, pasti ramai yang bersetuju jika saya katakan bakat yang diperlihatkan oleh Eleliah Bianus ini jauh lebih baik daripada sebahagian penyanyi kita 'yang kononnya penyanyi level kebangsaan' namun sebenarnya ditawarkan tempat sebagai penyanyi disebabkan rupa semata. Malang benar kerana dalam kemilau dan gah dunia hiburan kita di Malaysia, masih ramai yang melihat kehebatan seorang penyanyi itu pada kecantikan wajah dan bukan pada suaranya.
Kalaulah Eleliah Bianus dengan bakat seperti ini di Barat, dia sudah menjadi perhatian media massa bahkan dikejar-kejar pula oleh para komposer dan syarikat rakaman. Mungkin kata-kata daripada Deepak Chopra sesuai untuk Eleliah Bianus dalam hal ini: “... You have a unique talent and a unique way of expressing it. There is something that you can do better than anyone else in the whole world--and for every unique talent and unique expression of that talent, there are also unique needs. When these needs are matched with the creative expression of your talent, that is the spark that creates affluence. Expressing your talents to fulfill needs creates unlimited wealth and abundance.”
Eleliah Bianus, dengan bakat sebesar ini, kau dapat pergi lebih jauh! Salam sukses untuk anda!
Atagak o pirotian, atagak o piiunungan, Atagak o piiunungan, atagak o pisokodungan, Atagak o pisokodungan, atagak o pibabasan,
Atagak o pibabasan, atagak o piobpinaian,
Nung atagak o piobpinaian, kopitongkiad o rikoton do rusodon.
- diwato do Dusun
ADA satu perkara yang sepatutnya menjadi berita paling menggembirakan bagi masyarakat KDM. Berita yang dimaksudkan adalah kewujudan sistem tulisan bagi masyarakat KDM: Gagarit do Dusun.
Sistem tulisan itu telah dicipta oleh salah seorang ilmuan KDM, Dr Mohd. Zakaria Ilyas yang menganggap Gagarit do Dusun itu sebagai satu anugerah Yang Maha Kuasa untuk masyarakat KDM; lisih do Minamangun kumaa dati. Siapakah Dr Mohd. Zakaria Ilyas? Beliau adalah penerima bagi beberapa anugerah kebesaran dari Kerajaan Sabah iaitu Ahli Setia Darjah Kinabalu, Ahli Darjah Kinabalu, dan Bintang Setia Kinabalu.
Dr Mohd. Zakaria Ilyas tamat belajar di GPS Tagudon Lama pada 1958 dan
melanjutkan pelajaran di Maktab Sabah. Sesudah selesai bersekolah di Maktab Sabah
(1964), beliau melanjutkan pengajian di Victoria University of Wellington dan berada
di situ sehingga 1970. Beliau sekali lagi melanjutkan pelajaran di peringkat
sarjana di Hawaii Pacific University dan tamat pada 1987. Pada tahun 1995,
beliau tamat belajar di Belford University, Amerika Syarikat di peringkat doktoral dalam bidang sosiologi dan antropologi. Beliau yang kini menetap di Kg. Tagudon Baru, Ranau dan di Kg. Kauluan-Kundasang, Ranau ini pernah menjadi Setiausaha Sulit kepada Menteri Kerajaan Tempatan Sabah (1982-1984). Sekarang beliau bergiat dalam Zakaria & Associates, Inc., firma konsultansi niaga milik beliau sendiri. Seperkara yang menarik juga dan perlu disebut di sini ialah Dr Mohd. Zakaria Ilyas merupakan juruhebah (DJ) pertama slot siaran bahasa Dusun yang bermula pada 1 Februari 1978 di RTM Sabah. Beliau menjadi DJ dari Febuari 1978 hingga April 1981.
Dalam satu sesi soal jawab saya secara online dengan beliau, Dr Mohd. Zakaria menerangkan bahawa beliau telah memulakan 'kerja' mengkaji tulisan ini ketika beliau mendalami Bahasa Inggeris di University Victoria, New Zealand pada tahun 1970 bersama dengan sahabat beliau sejak kecil iaitu Dr Othman Minuddin (Dr Othman Minuddin adalah salah seorang tokoh politik yang amat dikenali di daerah Ranau). Ini bermakna, 'kerja' mengkaji itu telah mengambil masa yang cukup lama, kira-kira 40 tahun. Dalam kata-kata beliau sendiri, menurut tokoh yang pernah berkhidmat sebagai pendidik di SMK Mat Salleh, Ranau ini lagi, beliau terdorong mencipta Gagarit do Dusun ini demi "menunjukkan kepada dunia bahawa ada bangsa Dusunkadazan yang tinggal di dalamnya. Harapan saya ialah ingin melihat Tinaruh Dusunkadazan dikenali oleh masyarakat lain sebagai bangsa yang bijak pandai serta patriotik kepada bangsanya sendiri."
Peri pentingnya sistem tulisan dapat ditelusuri daripada fakta penggunaan sistem tulisan yang telah digunakan oleh banyak tamadun dunia sebagai sarana catatan pensejarahan.
Kewujudan sistem tulisan sememangnya seiring dengan perkembangan ketamadunan manusia dan diakui sebagai salah satu daripada ciri ketamadunan bangsa itu sendiri.
Berdasarkan maklumat yang dapat ditafsirkan daripada inskripsi dan rekod-rekod yang ditemui oleh para ahli arkeologi, kita yang hidup pada masa kini dapat mengetahui upacara keagamaan (misalnya catatan pada dinding kuil dan zinggurat di Sumeria), kegiatan ekonomi (misalnya catatan pada 'Rosetta Stone' dan rekod urusan jual beli, hutang dan pesanan komoditi di rumah-rumah berhala di Mesir), sistem undang-undang (misalnya Code of Hammurabi), perkembangan ilmu pendidikan (misalnya rekod perubatan di Mesopotamia yang mengandungi tidak kurang daripada 600 koleksi ubat dan merekod perkembangan bidang perubatan), karya kesusasteraan (misalnya Legenda Etana dan Legenda Adapa di Sumeria), urusan pentadbiran (misalnya catatan undang-undang dan tanggung jawab pemerintahan pada tiang-tiang batu Asoka), dan urusan ketenteraan (misalnya teks 'Taittitiya Upanishad' dan 'Rig-Veda' yang mencatatkan raja sebagai pemimpin dalam tentera). Benarlah pendapat Darcy Ribeiro (1922-1997), sistem tulisan merupakan lambang dan manifestasi sesebuah bangsa.
Dr Mohd. Zakaria Ilyas adalah genius sebab berjaya mewujudkan satu 'tataba' kepada jati diri masyarakat KDM. Usaha beliau ini tentunya bertitik tolak daripada kecintaan sejati terhadap kelangsungan masyarakat KDM di peta tamadun manusia.
Meskipun populariti sistem tulisan tersebut belum meluas (ketika catatan di blog ini ditulis), namun kewujudan sistem itu telah pun hangat dibincangkan dalam laman web sosial terutamanya Facebook dalam kalangan masyarakat KDM yang tertarik dengan Gagarit do Dusun.
OKK Sepikit Kabindong
Dr Mohd. Zakaria Ilyas mengakui bahawa beliau telah mencipta tulisan ini setelah mendengar kisah tentang sistem tulisan purba KDM yang dipanggil sebagai Gagarit do Dusun (aksara purba Dusun) dan Pongintob do Dusun (Nombor purba Dusun) yang telah diceritakan oleh OKK Sepikit Kabindong. OKK Sepikit Kabindong, penjawat Ketua Daerah di Mahkamah Anak Negeri, Ranau (1970-an-1980-an), adalah seorang tokoh yang sangat dihormati oleh masyarakat KDM di Ranau dan salah satu daripada ikon penting dalam sejarah perkembangan Ranau serta dianggap sebagai salah seorang daripada pakar rujuk tentang tradisi dan adat istiadat masyarakat KDM di Ranau. Malangnya, kajian seterusnya yang dilakukan oleh Dr Mohd. Zakaria Ilyas menyimpulkan bahawa tidak terdapat bukti yang menyokong tentang kewujudan tulisan purba KDM tersebut. Meskipun demikian, cerita oleh OKK Sepikit Kabindong itu telah menimbulkan dorongan yang amat kuat kepada Dr Mohd. Zakaria bagi mencipta sistem tulisan KDM versi moden sehingga akhirnya wujudlah Gagarit do Dusun seperti yang beliau war-warkan pada tahun 2012 ini sebagai satu perkongsian yang amat bermakna bagi masyarakat KDM.
Perkara yang menarik dalam penciptaan Gagarit do Dusun ini adalah kemunculan sistem tulisan itu berlaku pada marcapada ini, detik yang menyaksikan kebangkitan pelbagai pembaharuan dalaman yang mahu melihat KDM memiliki kembali 'tataba' sebagai 'pasok' dan 'ladsong' di bumi Kinabalu ini. Adakah tamadun kita baru bermula sekarang? Tentunya tidak sebab kita ada sejarah Nunuk Ragang yang hebat yang terakam melalui cerita-cerita lisan yang kita warisi daripada leluhur kita.
Saya sebagai salah seorang daripada anggota masyarakat KDM, sangat yakin bahawa kita sedang berada pada landasan yang betul bagi melestarikan kewujudan kita di muka bumi ini. Meskipun ada 'suara keraguan' pihak tertentu tentang upaya Gagarit do Dusun sebagai satu sarana pembelajaran bahasa KDM di sekolah-sekolah namun hal itu, pada hemat saya, berlaku kerana mereka belum mengenali dan cuba mengenali Gagarit do Dusun. Dalam sebarang usaha kita selepas ini bagi menyebarluaskan pengetahuan tentang Gagarit do Dusun itu, pandangan yang optimis bahkan yang skeptikal terhadap Gagarit do Dusun ini perlu diambil kira. Melalui piisaan, pisompuruan, pogitatabangan, dan pisokudongan, Gagarit do Dusun pasti dapat dipermantap dan disebarluaskan kepada generasi KDM yang ada. Kata orang tua-tua kita: Soira po'd sayahan o sudampapon? Inilah detiknya bagi kita miiso, misompuru, mogitatabang, dan misokodung bersandarkan falsafah mitayung pasi dan mogisosondih lihawah.
Alaid poimpasi nung aiso kolubukan,
Andang do matai aiso kaandaman,
Alaid tolohing nung aiso tanom,
Andang rumobuk aiso potungkuson do sinakagon.
Sesungguhnya, Gagarit do Dusun adalah harta yang kita akan wariskan kepada generasi KDM. Tamadun Mesir telah memberikan heroglif, Sumeria telah memperkenalkan ideogram, China pula menggunakan piktograf sementara tamadun Yunani menggunakan Phoenicia. Kini, melalui anugerah yang disampaikan oleh Pencipta kepada Dr Mohd. Zakaria Ilyas, giliran kita berkongsi Gagarit do Dusun sebagai satu sumbangan abadi Kadazandusun terhadap ketamadunan manusia sejagat.
APABILA bulan Mei menjelang, ketika lebih muda daripada usia sekarang, saya selalu memikirkan betapa masyarakat KDM terlalu gemar dengan pesta pora. Pemikiran itu menyebabkan saya menjadi dingin terhadap sambutan Tadau Kaamatan; saya bukanlah salah seorang daripada KDM yang teruja dengan kemeriahan Tadau Kaamatan. Jati diri Kaamatan yang ada sekarang bagi saya mengelirukan dan memberikan isyarat kebudayaan yang mengelirukan kepada generasi sekarang. Lebih kalut lagi kerana isyarat kebudayaan inilah yang diwar-warkan di media massa perdana dan kebanyakan media tempatan.
Salah seorang rakan menghantar SMS pada pagi Tadau Kaamatan (yang kemudiannya saya forwardkan kepada beberapa rakan rapat) yang berbunyi:
"Kuhulur salam bersama TAJAU, kumohon restu bersama PUSAS, tanda sayangku sejernih MONTOKU, setulus ikhlas seputih SAPOL; Kumohon ampun SEPULUH TIGA kerana salah dan silapku sekabut LIHING, sehitam STOUT; maaf kupinta sampai KALAPIK. Walaupun KEGUTAN kutetap ucapkan KOTOBIAN TADAU KAAMATAN 2012."
Kemesraan dan rasa persahabatan rakan-rakan dalam KDM pada musim Tadau Kaamatan memang lazimnya menggembirakan. Terima kasih meskipun saya bukanlah menyambut Tadau Kaamatan dalam erti kata yang sebenarnya.
Satu reaksi rakan-rakan yang bukan KDM menjelang Tadau Kaamatan yang biasa saya dengar ialah: "Tadau Kaamatan? Cuti? Aramai ti...." Saya sebenarnya sangat tersinggung dengan pernyataan seperti ini. Mengapa? Hal ini demikian kerana kata-kata itu mengandung prasangka betapa intimnya masyarakat KDM ini dengan minuman keras. Pada masa dahulu, ya. Sekarang? Tidak. Saya anti minuman keras KDM sebenarnya meskipun saya biasa dengan bau minuman tradisi KDM (saya berterima kasih kepada 'cara hidup' bapa saya yang telah merimbunkan perasaan anti minuman keras ini). Saya sentiasa menganggap diri saya sebagai generasi KDM yang menolak minuman keras seperti lihing, kinomol, montoku dan yang seumpamanya. Saya tidak menganggap satu kehilangan kendatipun minuman ini tidak disajikan setiap kali ada mitatabang atau majlis-majlis keramaian yang saya hadiri. Kita tidak wajar pula menyalahkan masyarakat lain di negara ini yang menghubungkan kita dengan minuman keras jika kita sendiri tidak bekerjasama memperbetul persepsi negatif itu.
Perkara kedua yang menyakitkan hati dan menjadi fokus tulisan ini ialah tentang penganjuran Unduk Ngadau. Ada sumber tertentu yang mengatakan bahawa meskipun pada masa kini Unduk Ngadau ini diterima umum sebagai jati diri KDM namun sebenarnya Unduk Ngadau ini sebenarnya bukan kebudayaan KDM. Mungkin penyelidikan yang lebih mendalam diperlukan bagi memastikan sama ada Unduk Ngadau ini benar-benar salah satu elemen tradisi dalam kebudayaan KDM atau sekadar 'keaiban terselubung' yang dibudayakan dengan maksud tertentu oleh penjajah dalam masyarakat KDM. Saya tidak pasti namun hal ini mungkin ada kebenarannya apatah lagi mengingat KDM sebagai warga Borneo yang cenderung pemalu. Saya sehingga kini sukar melihat ciri Kinomulok dalam diri peserta Unduk Ngadau yang ada. Perkara yang saya nampak hanyalah kelemahan generasi muda kita bertutur dalam bahasa KDM, kegagalan peserta Unduk Ngadau bercakap tentang aspek-aspek budaya KDM (termasuklah kegagalan bercakap tentang isu-isu kemanusiaan sejagat semasa) yang adakalanya dibauri skandal 'penajaan' oleh orang-orang tertentu terhadap peserta Unduk Ngadau.
Dalam pengertian yang lazim, Tadau Kaamatan merupakan 'satu pengucapan tradisi terhadap semangat padi yang dinamai sebagai "Bambarayon" atas tuaian yang diperoleh pada musim menanam padi pada musim berkenaan'. Pada masa kini, tafsiran itu mungkin berubah sedikit sebagai
'satu simbol pengucapan tradisi terhadap semangat padi yang dinamai sebagai "Bambarayon" atas tuaian yang diperoleh pada musim menanam padi pada musim berkenaan' . Benar, sambutan Tadau Kaamatan hanyalah simbol sebab masyarakat KDM sama ada Muslim atau Kristian tidak ada yang menyembah Bambarayon.
Dalam konteks masyarakat berbilang etnik di Malaysia, Tadau Kaamatan adalah hari memperkasa persefahaman dan kesatuan hati dalam masyarakat KDM. Tadau Kaamatan juga satu jati diri yang menunjukkan betapa KDM adalah masyarakat petani (mongindumo) yang telah bergelut dengan pertanian (bukan hanya menanam padi sawah/huma bahkan juga meliputi kegiatan pertanian lain).
Sekarang, mungkin kerana 'perasaan kehilangan terhadap jati diri', saya mempunyai persepsi yang agak berbeza tentang Tadau Kaamatan. Saya mula melihat Tadau Kaamatan sebagai salah satu daripada aspek budaya KDM yang wajar dihidupkan. Tidak syak lagi, Tadau Kaamatan adalah salah satu daripada saki baki kebudayaan KDM yang masih dapat kita lihat. Dunia bobolian kian punah lantaran dilema pertentangan antara kecintaan terhadap budaya VS kecintaan terhadap nilai keagamaan. Sedar atau tidak sedar, kita melihat betapa kebudayaan KDM yang biasa kita lihat di Sabah pada masa dahulu kian bertukar dengan unsur kebudayaan asing. Asing di sini merujuk kepada unsur kebudayaan bukan Borneo yang dahulunya tidak kita nampak. Adakalanya kita keliru (mungkin dikelirukan lebih tepat, kata sebahagian rakan) tentang konsep Kebudayaan Kebangsaan. Bagi yang fanatik, mereka akan melihat berlaku 'penyingkiran halus' terhadap elemen kebudayaan KDM. Unduk Ngadau, sebagai acara popular dalam sambutan Tadau Kaamatan, wajar pula dilihat secara lebih kritis dan tidak diterima seadanya sahaja.
Saya tertanya-tanya apakah ada dalam kalangan peserta Unduk Ngadau itu yang kenal apa itu karabou, mindagus, mamaradu, linggaman, tangkob, terutip, basung, saab? Masih fahamkah mereka akan apa yang dimaksudkan sebagai tempurion, mongomot, mongogik, meniri? Masih berupayakah peserta Unduk Ngadau ini menggunakan tukadan, dan haraban dalam pertuturan? Masih mampukah mereka menjawab sundait jika ditanya? Masih kenalkah mereka tentang sugawil? Berupayakah mereka bercerita tentang watak-watak dalam cerita dongeng tradisi kita?
Unduk Ngadau, pada hari ini, tidak lebih daripada satu peragaan terhadap kejelitaan wanita KDM. Majoriti peserta hanya bersandarkan rupa paras yang jelita. Sebahagian besar daripada mereka pandai pula menyebut tentang legenda Huminodun namun mereka sendiri tidak memahami apa yang mereka katakan. Lebih malang lagi, pernah berlaku kes, peserta Unduk Ngadau tidak pun mempunyai darah KDM! Hendak mengharapkan mereka pernah menanam padi pastilah mimpi yang indah! Koporis! Ada pula bisikan daripada sahabat yang menyatakan ada juga peserta Unduk Ngadau ini yang menjadikan pertandingan Unduk Ngadau ini bagi mendapatkan calon suami dalam kalangan VIP.
Penganjur Tadau Kaamatan di pelbagai peringkat di Sabah perlu mengambil pendekatan yang lebih positif bagi memartabatkan Tadau Kaamatan pada tempat yang sepatutnya; tempat yang lebih dihormati oleh masyarakat kita sendiri dan juga saudara kita yang bukan keturunan KDM. Para peserta Unduk Ngadau sebagai tumpuan popular dalam sambutan Tadau Kaamatan sepatutnya melalui pemilihan yang ketat dan perlu mempunyai dan diuji pula berkenaan pengetahuan dan amalannya tentang tradisi, bahasa, budaya dan termasuklah isu-isu semasa (politik, ekonomi, dan sosial) yang membelenggu masyarakat KDM yang memerlukan keprihatinan masyarakat KDM dan pihak-pihak yang berkenaan.
Secara peribadi, saya hanya akan teruja mahu menyaksikan Unduk Ngadau yang pandai mongomot dan penuh keperibadian murni sebagai sumandak yang mewakili keperibadian murni sumandak KDM yang dibanggakan sejak dahulu. Saya juga pasti bersemangat mahu mengenali Unduk Ngadau yang pandai bercakap mana-mana dialek KDM dan tahu pelbagai kosa kata yang ada kaitan dengan dunia pertanian yang memang menjadi roh asal kewujudan Tadau Kaamatan. Bukan Unduk Ngadau yang 'nombor satu' mokirayou di atas pentas dengan kemanjaan palsu, gerak yang memualkan, dengan senyuman kaku dan lirikan mata yang nyalang memalukan. Kadang-kadang menyakitkan juga apabila melihat 'kedudukan siku' dan gerak kaki semasa mereka menari Sumazau pun tidak betul.
Unduk Ngadau sepatutnya menjadi 'duta' bagi masyarakat KDM yang mampu mengangkat nama KDM dan bukannya rupawan yang kemudiannya dieksploitasi menjadi teman menari VIP pada majlis-majlis sosial kononnya atas nama 'tanggung jawab ratu' dan 'kebudayaan'. Janganlah terperangkap dalam kemilau mahkota Unduk Ngadau sehingga lupa akan obligasi sebagai wanita suri teladan yang membawa nama KDM. Miagal di boros di haraban tokou, kada i toroitan kou do binolou bolobou; ada kesempatan terbaik bagi melakukan yang terbaik bagi mengangkat nama KDM namun gagal kerana 'agayo tulu' setelah menjadi Unduk Ngadau.
Seorang sahabat yang lebih kejam dan sinis bertanya: "Apakah yang menyertai Unduk Ngadau itu masih sumandak dalam erti kata yang sebenarnya? Sumandak yang serba serbi masih murni dan terjaga?"
Tobpinaiku sakag KDM, siapalah saya bagi mencadangkan tafsiran baru, dan pembaharuan terhadap sambutan Tadau Kaamatan. Mari menjana sebanyak-banyak idea bagi mengembalikan salah satu tataba Nunuk Ragang melalui sambutan Tadau Kaamatan.
APABILA pelari pecut Sabah, Jarmella Washif menjuarai acara 100 meter kategori 15 tahun pada 22 Mei 2009 yang lalu, peristiwa itu memberi keterujaan yang tidak sedikit. Jarmella Washif mengungguli kategori perempuan 15 tahun ke bawah dengan catatan masa 12.67s mengalahkan Nur Amirah Aida Kamaruddin dari Pahang (12.91s) di tempat kedua dan M.Tanalaksiumy dari Pulau Pinang di tempat ketiga (12.93s). Apabila bersaing di peringkat kebangsaan pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) ke-51 seperti itu, dan berjaya pula bergelar juara, apakah lagi yang dapat kita berikan selain pujian kerana yang terbaik berjaya dinobatkan sebagai johan?
Salute kepada Pengetua SMK Lohan, Ranau, sekolah tempat Jarmella sedang belajar iaitu Tuan Majus Munsing dan barisan jurulatih sukan sekolah berkenaan atas kejayaan melahirkan seorang lagi Ratu Pecut tanah air. Kejayaan adik Jarmella Washif itu sebenarnya berjaya membuktikan bahawa keupayaan potensi seseorang pelajar dapat dirancang sedemikian rupa sehingga mencapai peringkat terbaik dan terarah kepada kecenderungan semula jadi pelajar itu. Peranan ayahnya, Encik Washif Jefri yang juga salah seorang jurulatihnya wajar dijadikan teladan kerana berjaya menyemai dan mengekalkan minat bersukan dalam diri Jarmella Washif sejak kecil sehinggalah sekarang. Sebagai ayah kepada Ratu Pecut baru ini, sudah tentu Encik Washif kini lebih yakin menyasarkan kejohanan pada skala yang lebih besar untuk Jarmella Washif.
Saya tinggal di kawasan SMK Lohan dan setiap hari melihat dedikasi guru-guru sukan SMK Lohan pagi dan petang bertungkus lumus melatih para atletnya. Seawal jam lima pagi setiap pagi, sehingga ke hari ni, atlet SMK Lohan sudah berada di padang untuk siri latihan kecergasan terancang yang mereka usahakan. Saya kurang cenderung bagi acara padang dan disebabkan ketidakcenderungan ini saya sentiasa berasa kagum yang tidak sedikit dengan dedikasi mereka yang berlatih tak kenal jemu termasuk pada masa cuaca yang mendung dan hujan lebat.
Saya suka untuk mencatatkan semula ulasan Pengetua SMK Lohan, Tuan Majus Munsing sebaik sahaja tujuh atlet SMK Lohan memperoleh emas dalam Kejohanan MSSM peringkat Negeri di Kompleks Sukan Likas Sabah akhir bulan Mac yang lalu. Menurut beliau, “Ibu bapa memainkan peranan yang penting. Selain itu, persediaan awal juga memberi sumbangan kepada kejayaan atlet. Usaha mencapai kecemerlangan dalam sukan, sama halnya dengan berusaha dalam akademik. Jika anda mahu mencapai keputusan yang baik dalam pembelajaran anda, anda mesti belajar bersungguh-sungguh; jika anda mahu mencatat kecemerlangan dalam sukan anda perlu berlatih sepanjang masa."
Kecemerlangan Jarmella Washif ini melengkapkan satu lagi titik kecemerlangan warga Lohan Ranau di peringkat kebangsaan. Jika pada Mac yang lalu kita dikejutkan kejayaan Farizie Morinding mengungguli Astro Kirana Short Film Awards, sekarang ini terpesona dengan kejayaan Jarmella Washif.... Jangan lupa pada hari pertama kejohanan ini (21 Mei 2009) ini, seorang lagi warga SMK Lohan iaitu Addyshem Daimes menjuarai acara Merejam Lembing dengan rejaman sejauh 53.10m. Wow, kepada Tuan Majus Munsing, Cikgu Adzain Biun, Cikgu Jasli Mian, Cikgu Maiali Jainol dan Encik Washif Jefri yang melatih dan mengiringi atlet elit SMK Lohan, mudah-mudahan akan ada lagi kejutan daripada kontinjen Ranau yang mewakili Sabah di Stadium Bukit Jalil selepas ini!
Teruskan Jarmella Washif, warga Ranau ingin melihat anda menjadi 'lebih besar' dalam dunia sukan yang anda minati dan cintai ini!