'HARAPKAN pagar, pagar makan padi', demikian salah satu daripada peribahasa yang lazim kita dengar.
Dalam
satu sesi pembelajaran bahasa, salah seorang pelajar saya bertanya:
"Cikgu, bagaimanalah agaknya pagar hendak memakan padi?" Sebenarnya,
pertanyaan itu adalah reaksi yang biasa (mungkin) sebab seingat saya
ketika berhadapan dengan peribahasa ini sebagai pelajar berpuluh tahun
dahulu, pertanyaan yang sama juga saya timbulkan dan ajukan kepada guru
bahasa saya.
Menghadapi pertanyaan itu, saya
memberikan justifikasi berdasarkan pemahaman saya yang saya warisi
daripada guru-guru bahasa saya dahulu:
"Penggunaan 'pagar' dan 'padi' dalam peribahasa itu adalah
kiasan sahaja. Dalam pertanian, petani lazimnya memagari sekeliling kawasan penanaman padi sebagai satu penghalang masuknya
haiwan seperti kerbau, lembu, kambing yang merosakkan tanaman padi
tersebut. Ini bermaksud, pagar itu 'diharapkan' sebagai pelindung bagi
tanaman berkenaan. Keadaan inilah yang menjadi sumber ilham masyarakat Melayu zaman dahulu bagi
mencipta peribahasa 'harapkan pagar, pagar makan padi' yang sebenarnya mendokong
maksud, harapan yang diletakkan pada bahu seseorang tetapi akhirnya
orang itu pula yang merosakkannya. Dengan kata lain, peribahasa harapkan
pagar, pagar makan padi itu bererti, orang yang kita percayai,
mengkhianati kita. Kita mengamanahkan atau memberi kepercayaan kepada seseorang, sebaliknya orang itu pula mengkhianati kepercayaan atau amanah yang kita berikan."
Perkara ini timbul kembali dalam kepala saya kerana sewaktu menyoroti
wikipedia,
saya membaca tentang spesis haiwan yang dipanggil oleh orang Melayu
sebagai ayam pegar. Di Indonesia, spesis ini mereka tidak panggil
sebagai ayam pegar; mereka memanggil spesis ini sebagai
burung pegar. Dalam kalangan masyarakat Kadazandusun di Sabah, spesis ini dipanggil sebagai
pekiak.
Berdasarkan maklumat dari wikipedia di atas, ayam pegar
ialah sejenis burung kuang yang terdapat di Semenanjung Tanah Melayu,
Borneo dan Sumatera. Nama saintifiknya ialah
Lophira ignita.
Haiwan ini disenaraikan dalam Appendiks III CITES di Malaysia; spesis
haiwan ini dilindungi di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972/Akta
Pemuliharaan Hidupan Liar 2010. Ayam pegar bersaiz antara 55 hingga 70
cm panjang, dengan panjang ekor 15-30 cm. Berat badannya antara 1.6 kg
hingga 2.6 kg. Pegar jantan lebih besar daripada pegar betina.
Kedua-dua jantina juga dapat dikenal pasti melalui jambul dan kulit muka
berwarna biru.
Ayam pegar memakan padi, daun muda, buah dan haiwan kecil.
Telur ayam pegar berwarna putih krim. Sebanyak 4-8 telur akan dieramkan
sehingga beberapa minggu. Anak pegar mempunyai bulu coklat kehitaman
di bahagian atas dan kelabu putih di bahagian bawah. Habitat popular
bagi ayam pegar ialah di hutan tanah pamah kecuali hutan paya gambut.
Wikipedia Indonesia pula menyatakan bahawa burung pegar atau ayam pegar adalah nama umum dari kelompok burung famili
Phasianidae ordo Galliformes,
termasuk burung-burung jenis kuau dan lain-lain. Spesis haiwan ini
dicirikan dengan sifat dimorfisme seksual yang kuat, warna spesis jantan
lebih cerah dan kaya warna serta memiliki ekor yang lebih besar dan
panjang. Ukuran tubuh jantan umumnya lebih besar dari pada betina.
Jantan tidak memiliki peranan dalam membesarkan burung pegar muda.
Burung pegar umumnya memakan biji-bijian dan beberapa memakan serangga.
Terdapat 35 spesis pegar daripada 11 genera.
Beberapa spesis sangat popular sebagai haiwan peliharaan, misalnya Pegar Emas.
Saya ingin menarik perhatian kita semua terhadap dua ayat yang saya
boldkan dalam cuplikan maklumat di atas: (a)
Ayam pegar memakan padi, daun muda, buah dan haiwan kecil dan (b)
Beberapa spesis sangat popular sebagai haiwan peliharaan, misalnya Pegar Emas.
Dua
ayat di atas inilah yang sebenarnya mengganggu fikiran saya dan
mengingatkan saya terhadap jawapan saya berkaitan dengan pertanyaan murid saya
dalam pembelajaran bahasa.
Bagaimana jika peribahasa itu sebenarnya berbunyi, 'harapkan pegar, pegar makan padi?' Dalam
sumber di atas, dinyatakan bahawa ayam pegar ini memakan padi, daun
muda, buah dan haiwan kecil. Menarik kerana, dikatakan bahawa ayam pegar
ini ada yang dijadikan sebagai haiwan peliharaan. Ini menimbulkan persoalan
lain, jika dipelihara, siapa yang memelihara? Apakah tujuan pegar dipelihara? Apakah untuk dagingnya? Di
Sabah, khususnya dalam masyarakat saya sendiri pada masa dahulu sebelum adanya penguatkuasaan undang-undang yang melindungi haiwan ini, pegar yang dipanggil
pekiak ini hanyalah salah satu daripada haiwan hutan buruan yang sedap sebagai lauk!
(Nota:
Saya
belum pernah mencicipi daging haiwan ini!). Bagaimana kalau yang
memelihara itu ialah petani? Jika benar, secara logik, sudah pasti
pegar digunakan bagi membantu petani menakutkan haiwan perosak padi
seperti tikus yang memang suka memakan padi. Secara logik juga,
disebabkan pegar yang menjadi pengharapan petani ini malah memakan padi
yang sepatutnya dilindungi daripada haiwan perosak, masyarakat Melayu
zaman dahulu (mungkin) mengambil ini sebagai satu kiasan bijaksana bagi
memperkatakan tentang perbuatan khianat oleh seseorang yang kita
harapkan. Bagi saya, 'pegar' lebih masuk akal berbanding 'pagar'. Apakah ada
sesiapa yang dapat menunjukkan kepada saya bagaimana 'pagar' memakan
padi?
Rupanya, isu ini sudah agak lama dibincangkan di beberapa buah blog. Salah satu
blog yang berkaitan tidak sahaja membincangkan tentang peribahasa,
harapkan pagar, pagar makan padi, bahkan turut membincangkan tentang peribahasa,
melepaskan batuk di tangga, yang katanya sepatutnya berbunyi, 'melepaskan batok di tangga'. Maklumat dari blog itu menyatakan bahawa kesilapan melibatkan dua peribahasa di atas berlaku dek kesilapan menterjemahkan ejaan jawi kepada tulisan rumi yang lazim.
Kita menunggu jawapan rasmi daripada Dewan Bahasa dan Pustaka bagi memperjelas hal ini kerana hal ini penting dalam konteks pewarisan peribahasa sebagai salah satu daripada kekayaan bahasa yang menggambarkan jati diri dan
worldview masyarakat Melayu.
Mungkin
ini dalam fikiran saya sahaja meskipun saya percaya ada ramai lagi guru bahasa yang mempunyai tanda tanya yang serupa. Sehingga kini, pertanyaan pelajar saya itu masih
terngiang:
"Cikgu, bagaimanalah agaknya pagar hendak memakan padi?"
(C) WITER GUNIK